Soalan:

Saya akan bernikah tidak lama lagi dan merasa berdebar-debar berkenaan lafaz akad nikah. Ini kerana sejak umur kecil saya menghadapi masalah untuk bercakap secara lancar, iaitu apa yang disebut sebagai “gagap”. Boleh bantu saya dalam menghadapi masalah ini?

 

Jawapan:

Sejauh kajian saya, tidak diketahui apa-apa ayat al-Qur’an atau hadis-hadis Rasulullah yang menerangkan lafaz akad nikah. Akad nikah ialah satu perjanjian di mana wali (ayah) menikahkan anak perempuannya kepada seorang lelaki. Perjanjian ini boleh dibuat dalam apa-apa bahasa dan susunan ayat, asalkan difahami oleh semua pihak yang terbabit.

Oleh itu sudah memenuhi syarat akad nikah apabila wali berkata: “Saya nikahkan anak saya Fatimah binti Muhammad dengan Abdul Rahim bin Mansur”. Lalu pengantin lelaki menjawab: “Saya terima”. Ada pun selain itu:

  • Tidak perlu berjabat tangan semasa mengucap dan menjawab lafaz akad nikah. Memadai semua pihak yang terbabit duduk berhadapan sehingga semua pihak dapat mendengar dan faham lafaz akad nikah.
  • Tidak perlu menyebut jumlah mas kahwin atau mahar. Apa yang perlu dilakukan ialah menyerahkan mas kahwin tersebut.
  • Pengantin lelaki tidak perlu mengucapkan lafaz akad nikah. Memadai dengan jawapan “Saya terima”, “Ya, saya terima” atau apa-apa lain yang menandakan pengantin lelaki faham dan menerima perjanjian nikah tersebut.
  • Wali tidak semestinya melafazkan akad nikah dengan satu nafas dan pengantin lelaki tidak semestinya menjawab dengan satu nafas.
  • Tidak mengapa jika ada jarak masa antara lafaz akad nikah oleh wali dan jawapannya oleh pengantin lelaki. Apa yang penting pengantin lelaki menjawab dalam majlis tersebut, bukan ditangguh hingga hari esok.
  • Kehadiran dua orang saksi adalah sebagai bukti bahawa wali telah menikahkan anak perempuannya kepada pengantin lelaki. Bukanlah peranan saksi untuk menentukan sama ada lafaz akad nikah tersebut adalah sah atau tidak sah.

Sayang sekali disebabkan adat tradisi dan tokok tambah pihak agamawan, pelbagai syarat telah dikenakan sehingga menyukarkan proses akad nikah. Semua syarat-syarat tambahan ini tidak berasal dari Islam, bahkan bertentangan dengan ruh Islam. Rasulullah menekankan: Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan. [Shahih al-Bukhari, no: 69]

Pun begitu, kita di Malaysia masih perlu mengikuti syarat-syarat tambahan tersebut kerana jika enggan, lafaz akad nikah tersebut akan dianggap tidak sah oleh jurunikah. Kita berdoa kepada Allah agar pihak yang diberi amanah untuk mengurusi proses pernikahan ini dapat mengkaji semula segala prosedur dan syarat mereka ke arah kemudahan dan kegembiraan.

Merujuk kepada masalah atau cabaran yang saudara hadapi, maka saya cadangkan agar dikhabarkan lebih awal kepada jurunikah masalah gagap yang dihadapi. Selain itu dicadangkan juga berlatih jawapan lafaz akad nikah agar lebih lancar dan mudah. Jangan lupa untuk berdoa kepada Allah agar semuanya menjadi mudah lagi lancar, dengan izin dan kuasa-Nya.