Soalan:

Bolehkah dua pasangan bercinta sebelum bernikah? Ada yang berkata ia diharamkan selagi belum bernikah, benarkah?

Nik, Pasir Mas, Kelantan.

 

Jawapan:

Jika hendak bercinta sebelum bernikah, hendaklah disusun pada tertib terbawah selepas cinta kepada Allah, Rasulullah, ibubapa dan sesama umat Islam. Cinta kepada Allah dan Rasulullah hendaklah berada di tangga paling atas agar pasangan yang belum bernikah tidak akan melakukan sesuatu maksiat yang melanggar hukum-hakam Allah dan Rasulullah, yakni agama Islam.

Cinta kepada ibubapa hendaklah juga diunggulkan agar masing-masing tidak derhaka kepada ibubapa dalam persoalan pilihan pasangan, tarikh pernikahan dan sebagainya. Cinta kepada sesama umat Islam tetap berada di tangga lebih tinggi agar pasangan tidak lalai dengan percintaan antara satu sama lain sehingga mengabaikan kepentingan dan urusan sesama umat Islam. Kedudukan cinta kepada pasangan pada tertib terbawah menyebabkan masing-masing pasangan tidak akan mengabaikan kecintaan mereka kepada Allah, Rasulullah, ibubapa dan umat Islam.

Realiti alam cinta membuktikan bahawa amatlah sukar untuk bercinta mengikut tertib di atas sebelum pernikahan. Alam cinta juga akan mengaburi pandangan sehingga seseorang itu tidak dapat melihat kelemahan dan kekurangan calon pasangannya. Hanya selepas nikah barulah kelihatan kekurangan tersebut dan bermulalah penyesalan dan perselisihan faham.

Maka disebabkan kesukaran dan kekaburan inilah ramai orang yang sudah berpengalaman menasihatkan, jangan bercinta sebelum bernikah.