Soalan:

          Dalam rangka membuat persediaan sebagai seorang isteri, saya terbaca beberapa pendapat berkenaan tanggungjawab isteri di rumah. Satu pendapat mengatakan tanggungjawab isteri hanyalah melayan kehendak seks suami manakala selainnya adalah tanggungjawab suami. Maka suamilah menguruskan kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak, membasuh pakaian dan menyapu lantai. Atau pilihan lain, suami menyediakan pembantu rumah untuk menguruskan kerja-kerja rumah. Pendapat kedua mengatakan tanggungjawab isteri ialah menguruskan kerja-kerja rumah. Pendapat manakah yang benar dalam Islam?

 

Jawapan:
          Dalam Islam, apabila kita berhadapan dengan dua atau lebih pendapat berkenaan hukum agama, maka penyelesaiannya ialah mengambil pendapat yang paling menepati al-Qur’an dan Sunnah. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa 4:59]

          Merujuk kepada soalan di atas, Rasulullah telah bersabda: “Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.” [Shahih al-Bukhari, no: 4801]

          Dalam hadis di atas, nyata bahawa Islam telah meletakkan tanggungjawab kepimpinan urusan rumah dan anak-anak ke atas seorang isteri. Maka sebagai pemimpin, isterilah yang bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja rumah. Tentu saja suami membantu sama, akan tetapi bantuan suami lebih dari aspek penyediaan nafkah – yakni belanja kewangan untuk kelengkapan rumah, peralatan menguruskan kerja rumah dan barangan pasar serta runcit. Penyediaan nafkah belanjawan ini merupakan tanggungjawab yang diwajibkan ke atas suami sebagaimana firman Allah:

         “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan sebahagian dari harta mereka (ke atas keluarga yang menjadi tanggungannya).” [al-Nisa’ 4:34]

          Adapun pembantu rumah, ia tidak termasuk tanggungjawab atau sebahagian dari nafkah suami. Ketika Rasulullah memperolehi beberapa tawanan perang, anaknya – Fathimah – datang mengadu tentang tangannya yang menjadi kasar (atau keletihan) kerana menguli tepung bagi membuat roti untuk suaminya, Ali bin Abi Thalib. Fathimah amat berharap Rasulullah dapat memberikan salah seorang tawanan perang untuk dijadikan pembantu rumahnya. Namun Rasulullah tidak memberikan, sebaliknya mengajar beberapa kalimah zikir berupa Subhanallah (33 kali), Alhamdulillah (33 kali) dan Allahu Akbar (34 kali) untuk dibaca sebelum tidur. [Shahih al-Bukhari, no: 4942]

          Berdasarkan hadis ini, seandainya menguruskan kerja-kerja rumah bukan tanggungjawab seorang isteri, tentu Rasulullah akan menerangkannya kepada Fathimah. Seterusnya baginda akan memberikan salah seorang tawanan perang yang diharapkan, menyuruh Ali bin Abi Thalib menguruskan kerja-kerja rumah atau menyuruh Ali mengupah seorang pembantu rumah.

          Dalam sebuah hadis lain, Jabir bin Abdullah mengkhabarkan kepada Rasulullah bahawa dia baru menikahi seorang janda. Apabila Rasulullah bertanya kenapa janda yang menjadi pilihannya, Jabir menjawab bahawa ayahnya baru meninggal dunia dan beliau memerlukan seorang yang wanita dewasa bagi mengurus dan mendidik adik-beradik perempuannya. Rasulullah bersetuju dengan keputusan beliau itu dengan bersabda: “Semoga Allah memberkati kamu.” [Shahih Muslim, no: 2664]

          Dalam hadis ini sekali lagi terdapat petunjuk di mana tanggungjawab seorang isteri ialah di rumah mengurus dan mendidik kanak-kanak. Seandainya tugas didikan bukan tanggungjawab isteri, tentu Rasulullah akan membetulkan keputusan Jabir.

          Demikian beberapa hadis sahih yang sempat saya kemukakan secara ringkas bagi menerangkan bahawa tanggungjawab isteri ialah menguruskan kerja-kerja rumah. Pendapat yang mengatakan tanggungjawab isteri hanyalah melayan kehendak seks suami adalah tidak benar. Ia hanya merujuk kepada satu-dua hadis sambil mengabaikan banyak hadis yang lain. Terakhir, amat penting untuk para isteri dan  bakal para isteri untuk tidak memandang kerja-kerja rumah sebagai sesuatu yang remeh lagi tidak berstatus. Sebaliknya pandanglah ia sebagai satu ibadah kepada Allah, satu ibadah yang sebenarnya agak mudah tetapi mampu menjana pahala yang besar.