Soalan:

Saya seorang wanita yang berumur 27 tahun. Saya ada satu cabaran, iaitu saya tidak minat kepada lelaki, apatah lagi untuk hidup bersama seorang lelaki sebagai pasangan suami isteri. Saya cuba membaca majalah Pengantin untuk mencari “minat” ke arah perkahwinan tetapi belum menemuinya. Boleh bantu cabaran saya ini?

Azura, Ipoh.

Jawapan:

Bagi mencari minat kepada lelaki dan alam perkahwinan, anda perlu merujuk kepada tujuan penciptaan lelaki dan wanita yang oleh Allah. Allah telah berfirman:

Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan dari itu pasangannya (suami isteri) untuk bersenang-senang (antara) satu diri kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah dia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika dia merasa berat (kandungannya itu) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata): Sesungguhnya jika Engkau (Allah) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur.” [al-A’raaf 7:189]

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa dia menciptakan manusia ini sebagai lelaki dan wanita, dengan hikmah agar mereka hidup bersenang-senang di antara satu sama lain sebagai suami isteri. Kemudian Allah menerangkan hikmah seterusnya, iaitu pasangan itu akan mendapat anak yang dengan itu akan berterusanlah zuriat manusia di bumi ini.

Berdasarkan ayat al-Qur’an di atas serta banyak yang lain, seseorang itu dapat menyedari bahawa kehidupan di dunia ini bukanlah secara rambang atau sesuka hati, akan tetapi memiliki tujuan dan hikmah oleh penciptanya, iaitu Allah. Di antaranya ialah kehidupan dalam suasana suami isteri dan memiliki anak. Apabila kita berusaha untuk berkahwin dan seterusnya berusaha untuk menjayakan kehidupan di alam perkahwinan sehingga ke akhir hayat atas kesedaran bahawa ia adalah tujuan Allah mencipta kita, maka ia termasuk dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah:

Dan Aku (allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepada-Ku.” [al-Zariyat 51:56]

Oleh itu perkahwinan bukan sekadar tujuan penciptaan manusia tetapi merupakan perintah daripada yang menciptanya:

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang shalih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” [al-Nur 24:32]

Apabila seseorang itu tidak berminat kepada lelaki, mungkin ada faktor-faktor di bawah sedar yang menghalanginya. Antaranya, sikap ayah, pakcik atau jiran yang tidak disenangi sejak kecil, pengalaman lama bersama rakan lelaki yang tidak jujur dan suasana kebanyakan lelaki masa kini yang tidak bertanggungjawab. Andai ini benar, maka ketahuilah bahawa kaum lelaki itu berbagai-bagai sikapnya, ada yang baik dan jahat, ada yang jujur dan khianat, ada yang bertanggungjawab dan lalai. Maka berusahalah mencari yang terbaik, nescaya anda menemuinya.

Apabila seseorang itu tidak berminat kepada alam perkahwinan, mungkin ada faktor-faktor di bawah sedar yang mempengaruhinya. Seperti alam rumahtangga ibubapa atau saudara-mara yang porak peranda, suami atau isteri yang dizalimi oleh pasangannya, suasana kos kehidupan yang tinggi dan tidak dilupai, kos perkahwinan yang tinggi. Andai ini benar, maka faktor-faktor di atas boleh diminimumkan jika pasangan memainkan peranan masing-masing berdasarkan ilmu dan kesabaran.

Akhir sekali jangan lupa berdoa kepada Allah, agar Allah memberikan anda minat kepada lelaki dengan cara yang syar’e, menemui calon suami yang terbaik dan dapat bersenang-senang dengannya di alam perkahwinan.