Bulan ini kita menyambung kisah Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail di Kota Mekah, bagi melengkapkan penukilan mutiara-mutiara pengajaran daripada kisah yang benar lagi menarik ini. Kisah ini masih daripada sumber rujukan yang sama, yakni bahagian akhir daripada hadis Shahih al-Bukhari, no: 3113/3364.

Setelah Nabi Ibrahim menyuruh Ismail mengekalkan isterinya yang terbaru, beliau meninggalkan mereka lagi untuk waktu tertentu sebagaimana dikehendaki Allah. Setelah itu Nabi Ibrahim datang kembali, saat itu Ismail sedang mengasah anak panahnya di bawah sebatang pohon dekat telaga Zam Zam. Ketika Ismail melihatnya, dia segera berdiri menyambutnya dan berbuat sebagaimana layaknya seorang ayah terhadap anaknya dan seorang anak terhadap ayahnya (seperti bersalaman dan berpelukan).

 anakdanibu.jpeg

(Imej daripada bharian.com.my

Kemudian Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Ismail, Allah memerintahkanku dengan satu urusan.” Ismail berkata: “Lakukanlah apa yang diperintahkan Rabb-mu.” Ibrahim berkata lagi: “Apakah kamu akan membantu aku?” Ismail berkata: “Ya, aku akan membantumu.” Ibrahim berkata: “Allah memerintahkan aku agar membangunkan rumah (yakni Ka’bah) di tempat ini.” Ibrahim menunjuk ke suatu tempat yang agak tinggi berbanding sekelilingnya.

Di tempat itulah kedua-duanya membina asas Ka’bah, Ismail bekerja mengangkut batu-batu sedangkan Nabi Ibrahim menyusunnya (membangunkannya). Ketika binaan sudah tinggi, Ismail datang membawa batu ini lalu meletakkannya untuk Nabi Ibrahim agar beliau dapat naik di atasnya sementara Ismail memberikan batu-batu seterusnya. Kedua-duanya bekerja sambil mengucapkan doa: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” [al-Baqarah 2:127] Kedua-duanya terus saja membina sehingga mengelilingi Ka’bah dan kedua-duanya terus saja membaca doa: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” 

 

Beberapa Mutiara Pengajaran

Demikianlah asal usul kisah pembinaan Ka’bah sejak zaman Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Sejak itu, bangunan Ka’bah pernah beberapa kali mengalami kerosakan lalu dibina dan dibaiki. Akan tetapi asasnya tetap sama, iaitu apa yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Dalam kisah ini terdapat beberapa mutiara pengajaran, iaitu:

 

Sikap Anak Kepada Ibubapa

Perhatikan bagaimana Ismail menyambut kedatangan ayahnya, Nabi Ibrahim. Ismail ketika itu sedang mengasah anak-anak panahnya, lalu apabila saja melihatnya ayahnya beliau terus bangun untuk menyambutnya.

Hadis di atas tidak menerangkan secara terperinci apakah yang sebenarnya dilakukan oleh Ismail bagi menyambut kedatangan ayahnya. Namun adalah selamat untuk dikatakan bahawa mereka bersalaman dan berpelukan sebagaimana layaknya seorang anak dan ayah.

Di sini terdapat pengajaran penting adab seorang anak kepada ibubapanya. Jangan seorang anak leka dengan urusannya sehingga mengabaikan kedatangan ibubapa mereka. Termasuk ciri anak yang soleh ialah memuliakan dan menghormati ibubapa. Salah satu cara memuliakan dan menghormati ibubapa ialah menyambut kedatangan mereka meskipun sedang sibuk dengan sesuatu urusan.

 

Pentingnya Peranan Seorang Ibu

Jika kita membaca keseluruhan kisah Ismail, dapat difahami bahawa beliau ditinggalkan oleh ayahnya (Nabi Ibrahim) sekian lama di Kota Mekah bersama ibunya, Hajar. Bahkan mereka ditinggalkan sejak Ismail masih menyusu badan.

Nabi Ibrahim hanya menziarahi mereka sekali setiap bulan, itupun dengan waktu ziarah yang amat pendek. Ini diterangkan dalam riwayat berikut: Biasanya Ibrahim menziarahi Hajar setiap bulan dengan menaiki Buraq. Beliau bertolak pada waktu pagi ke Mekah, kemudian (pulang) untuk berehat pada waktu siang di rumahnya di Syam. [Riwayat Muhammad bin Ishaq al-Fakihi dalam Akhbar Makkah, jld. 5, ms. 121 dan darjatnya dinilai hasan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 17, ms. 367 (syarah kepada hadis no: 3364-3365)]

Sejak Ismail masih menyusu badan sehingga sudah dewasa, yang membesarkannya, mengasuhnya dan mendidiknya ialah ibunya, Hajar. Hasil usaha keras Hajar berseorangan, Ismail membesar bukan sekadar menjadi insan biasa, tetapi menjadi insan yang memulia dan menghormati ayahnya, siap sedia membantu ayahnya dan siap sedia akur kepada apa yang Allah perintahkan.

Di sini jelas tergambar besarnya peranan seorang ibu dalam menyiapkan generasi pelapis yang sentiasa dalam keadaan siap sedia membantu Islam serta umatnya. Sayang sekali pada masa kini, sebahagian ibu begitu sibuk dengan kerjaya atau mendandan rambut sehingga peranan mendidik anak diserahkan kepada pembantu dari negara jiran atau pusat-pusat asuhan. Moga kisah di atas dijadikan iktibar agar ibu-ibu membahagikan masa yang baik antara mendidik anak, kerjaya dan rehat.

 

Tidak Lekang Daripada Berzikir dan Berdoa

Ketika Ismail bersama ayahnya sedang membina Ka’bah, mereka tidak leka, tidak lalai dan tidak lekang daripada berdoa kepada Allah: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” [al-Baqarah 2:127]

Ini adalah satu sikap mulia yang patut kita semua contohi. Doa dan zikir tidaklah terhad ketika selepas solat, tetapi diluaskan kepada pelbagai aktiviti lain meskipun kerja berat seperti membuat binaan. Hanya pastikan doa dan zikir tersebut berdasarkan tunjuk ajar al-Qur’an dan al-Sunnah supaya kita benar-benar meraih manfaat daripadanya.