SMS Asnani Kepada Ikhwan:

Abg…dh 6 ptg. Dh keluar ofis ke x? JANGAN asyik overtime je. Nanti g Tesco atau Giant,

belikan lampin utk Aina. Huggies je, sz S. Jgn beli yang murah2.

 

SMS Ikhwan Kepada Asnani:

Ya, kat ofis. Tengoklah…bila nak balik, baliklah. Kerja byk. U duk rumah je, g lah beli sendiri.

 

Di atas adalah contoh komunikasi SMS (Sistem Pesanan Ringkas) antara pasangan suami isteri Ikhwan dan Asnani.

texting.jpeg

 Ikhwan bekerja dan kerana kesibukan tugas, masih di pejabat meskipun waktu sudah mencecah enam petang. Asnani juga bekerja namun kini dalam rangka cuti bersalin kerana baru melahirkan cahaya mata mereka yang pertama, Aina Farhana.

Jika dicermati SMS di atas, agaknya ia adalah satu kebiasaan. Tiada apa-apa yang salah, tiada apa-apa yang hendak dibangkitkan. Akan tetapi, sebagai bakal suami isteri yang cemerlang, sudah tentu kita tidak mahu berada di tahap sekadar “kebiasaan”. Kita ingin kecemerlangan dalam pelbagai aspek, termasuklah komunikasi di antara suami dan isteri. Bagaimana kita boleh perbaiki komunikasi di atas, meskipun hanya melalui SMS? Berikut saya berikan beberapa cadangan. 

 

Ringkas Tetapi Jangan Terlalu Ringkas.

Memang, SMS bererti Sistem Pesanan Ringkas. Kita menyampai sesuatu mesej yang ringkas atau pendek kepada orang lain. Lawan kepada ringkas ialah tulisan umpama cerpen yang panjangnya dua tiga mukasurat kertas A4.

Akan tetapi dalam rangka menyampaikan mesej yang ringkas, cuba elakkan menggunakan ejaan yang ringkas. Menulis dengan ejaan yang penuh dan ayat yang sempurna mencerminkan kesungguhan kita dalam berkomunikasi. Ia menggambarkan kita benar-benar memaksudkan apa yang hendak disampaikan. Kesungguhan ini akan dapat dikesan serta ditangkap oleh orang yang menerima SMS dan ini tentu dihargainya. Seterusnya dia akan membalas SMS tersebut dengan yang seumpama atau yang lebih baik lagi.

 

Memberi Salam.

Sekalipun hanya SMS, jangan memandang ringan etika memberi salam. Rasulullah berpesan: Tidaklah kalian akan memasuki syurga sehinggalah kalian beriman dan tidaklah kalian beriman sehinggalah kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kalian sesuatu yang jika kalian lakukan nescaya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian. [Shahih Muslim, no: 54]

Oleh itu berilah salam dan berilah secara bersungguh-sungguh: “Assalamu’alaikum”. Elakkan memberi salam separuh jalan seperti “Asm”, “Akum”, “Salam”, “asSalam” atau apa-apa lain yang seumpama. Juga elakkan dari menjawab separuh jalan juga umpama “wslm”.

Tidak ketinggalan, jika hendak diberikan apa-apa ucapan taiplah secara penuh umpama “Selamat pagi” atau “Good night”. Elakkan “Slm pg” atau “night” sahaja.

 

Gunakan Gambar.

Ketahuilah bahawa apabila dua orang berkomunikasi, 60% maklumat sampai melalui gaya badan (body language), 30% melalui perbezaan nada suara sementara hanya 10% melalui perkataan yang diucapkan.

Nah! Apabila dua orang saling berSMS, mereka berkomunikasi hanya melalui perkataan yang mampu menyampaikan 10% sahaja daripada maklumat sebenar yang ingin disampaikan. Ini adalah cara komunikasi yang amat tidak berkesan.

Oleh itu untuk bagi meningkatkan keberkesanan komunikasi melalui SMS, lazimkan diri melampirkan gambar, menyertakan smiley atau menggunakan tanda tertentu yang mewakili wajah yang tersenyum dan sebagainya.

 

Gembirakan, Walau Pun Melalui SMS.

Jangan memandah rendah kepada kemampuan SMS. Walau pun ia sekadar mesej-mesej yang ringkas, ia mampu menggembirakan atau menyedihkan, memotivasikan atau memalaskan, menenangkan atau menggusarkan.

Merujuk kepada suasana Ikhwan dan Asnani dalam contoh di atas, apa yang mereka berdua sangat inginkan pada waktu lewat petang itu ialah kefahaman dan penghargaan daripada pasangan masing-masing. Ikhwan sibuk dengan tugas di pejabat, Asnani sibuk dengan tugas menjaga bayi di rumah. Ikhwan keletihan untuk singgah membeli lampin bagi Aina, Asnani tidak dapat keluar rumah memandu untuk membeli lampin kerana baru saja melahirkan Aina.

Menyatakan penghargaan (appreciation) sebenarnya merupakan sesuatu yang ditekankan dalam Islam. Menyatakan penghargaan termasuk dalam rangka berterima kasih dan dalam perkara ini Rasulullah telah bersabda: Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia. [al-Adab al-Mufrad, no: 218]

 

Baiklah, berdasarkan tiga cadangan di atas, bagaimanakan Asnani dan Ikhwan dapat memperbaiki SMS mereka agar mencapai kecemerlangan dalam berkomunikasi? Berikut saya berikan contohnya:

SMS Aslina Kepada Ikhwan:

Assalamu’alaikum abang, terima kasih bekerja keras untuk Aina dan Nani. Semoga

Allah membalas segala usaha abang. Oh ya, lampin yang Nani pesan pagi tadi,

abang tak payah beli. Nani dah pesan kepada jiran sebelah yang kebetulan nak

keluar ke Tesco. Nanti abang balik kita makan malam bersama ya.

 

SMS Ikhwan Kepada Asnani:

Wa’alaikumussalam sayang. Terima kasih juga kerana menjaga Aina. Abang dan

Aina saayyaang kepada mama. Wah! Masih sempat memasak ya? Hati-hati,

jangan banyak bergerak kerana masih dalam pantang. Macam ini kalau abang

balik sekarang, tiba tiba rasa lapar. Kerja tak habis ini abang sambung esok pagi insya-Allah.