Sempena tahun baru ini, saya yakin ramai yang membuat beberapa azam baru untuk kebaikan diri sendiri. Di antara azam-azam tersebut, saya ingin berkongsi sesuatu yang patut menjadi azam dan perhatian semua orang, yakni pengurusan masa.

Kenapa pengurusan masa? Ya, kerana dengan pengurusan masa yang baik, kemungkinan kita untuk mencapai dan menjayakan azam-azam tersebut adalah lebih tinggi. Tidak saja itu, kita akan dapat memperoleh kejayaan dalam kehidupan seharian baik di rumah mahu pun di pejabat. Jika kita tidak memiliki pengurusan masa yang baik, kemungkinan untuk mencapai dan menjayakan azam-azam tersebut adalah rendah, bahkan mungkin gagal sama sekali. 

timestop.jpeg

 

Jika dapat dibuat satu perumpamaan, maka masa adalah asas sementara kejayaan adalah binaan yang berdiri di atas asas tersebut. Jika kita memiliki asas yang baik, maka binaan yang berdiri di atasnya akan stabil lagi dapat menampung pelbagai muatan yang lain. Jika kita memiliki asas yang lemah, maka binaan yang berdiri di atasnya akan mudah bergoyang sehingga roboh. 

Demikianlah dengan masa, jika kita memiliki pengurusan masa yang baik, maka kehidupan ini akan menjadi kejayaan demi kejayaan dengan izin Allah. Sebaliknya jika kita tidak tahu menguruskan masa, maka kehidupan ini akan hanyut mengikuti arus kebiasaan. Saya yakin di kalangan para pembaca sekalian semuanya berazam menjadi individu yang berjaya lagi cemerlang dan tidak sekadar biasa-biasa sahaja. Kejayaan dan kecemerlangan pula diukur berdasarkan manfaat yang dapat diberikan kepada masyarakat, bukannya sijil-sijil yang bergantung indah di dinding.

 

Semua Orang Memiliki Waktu Yang Sama

Saya ada satu permintaan. Saya ingin meminta para pembaca semua melihat ke jam masing-masing, baik jam tangan, jam di meja tulis, jam tergantung di dinding atau jam di dalam telefon bimbit. Perhatikan bahawa meski pun jam-jam ini memiliki reka bentuk yang berbeza-beza, semuanya memiliki satu kesamaan. Kesamaan itu ialah, semua jam memiliki formula 60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam, 24 jam = 1 hari.

Semua orang memiliki waktu yang sama, namun setiap daripada mereka memiliki hasil kejayaan yang berbeza-beza. Orang yang berjaya tidak memiliki kelapangan 40 jam dalam sehari manakala orang biasa tidak terhad kepada 15 jam sehari. Apa yang membezakan dua kategori orang ini ialah pengurusan masa masing-masing. Orang yang berjaya memiliki pengurusan masa yang baik sementara orang biasa memiliki pengurusan masa yang tidak baik, bahkan mungkin tidak tahu apa-apa berkaitan pengurusan masa.

 

Waktu Bergerak Pada Kadar Yang Sama Bagi Semua Orang

Kembali kepada jam-jam yang memiliki pelbagai reka bentuk yang berbeza-beza, perhatikan bahawa semuanya bergerak pada kadar yang sama. Baik jam yang menggunakan jarum atau digital, semuanya bergerak pada kadar yang sama. Waktu tidak pernah berhenti, waktu tidak pernah menunggu sesiapa. Orang yang gagal ialah mereka yang kerap kali ketinggalan di belakang waktu, orang yang biasa lazimnya selari dengan pergerakan waktu sementara orang yang berjaya tentunya berada di hadapan waktu.

Demikianlah juga bagi orang yang berjaya, masa tidak pernah berhenti atau bergerak perlahan sehingga memberi kelapangan kepadanya. Bagi orang yang biasa, masa tidak pernah bergerak pantas sehingga memberikan kesempitan kepadanya. Masa tetap bergerak pada kadar yang sama. Berjaya atau tidak sekali lagi bergantung kepada pengurusan masa setiap individu.

 

Jangan Salahkan Masa

Dua fakta di atas berkenaan masa sengaja saya utarakan bagi memberi kesedaran kepada para pembaca sekalian bahawa masa tidak boleh disalahkan andai ada di antara kita yang kurang berjaya dalam kehidupan ini. Baik dalam tugas-tugas harian mahu pun azam-azam tahunan, baik dalam kesibukan keluarga, pembelajaran atau urusan pejabat, masa tidak boleh disalahkan. Apa yang boleh disalahkan ialah kegagalan diri kita sendiri untuk menguruskan masa dengan baik.

Oleh itu mulai saat ini, marilah kita memberi tumpuan yang khusus kepada masa. Sedar atau tidak, masa adalah satu intan permata yang dimiliki oleh semua orang, namun dibiarkan begitu sahaja. Sejak bayi sehinggalah ke dewasa ini, semua orang memiliki masa namun amat sedikit yang benar-benar memberi perhatian kepada masa dan berfikir bagaimana untuk menguruskan masa dengan sebaik-baiknya.

Cuba bertanya kepada diri sendiri, adakah kita mensia-siakan masa dengan bangun lewat pada hari cuti? Adakah kita membuang masa menonton orang lain bersukan di kaca TV? Ketika tersekat di dalam kesesakan lalu lintas atau ketika menunggu bas, apakah yang kita lakukan? Semua senario di atas dan banyak lagi semuanya melibatkan masa yang berlalu begitu saja tanpa dimanfaatkan dengan baik.

 

Kepentingan Pengurusan Masa

Moga sedikit perkongsian di atas dapat memberikan kesedaran kepada para pembaca sekalian akan kepentingan masa dan keperluan menguruskannya dengan baik. Kepentingan ini juga menyebabkan subjek pengurusan masa diberi tumpuan oleh para ilmuan sehingga mereka menulis buku yang tebal berkenaannya. Oleh itu tidaklah adil jika saya mengupas berkenaan pengurusan masa hanya dalam sebuah tulisan yang ringkas. Insya-Allah dalam beberapa ruangan seterusnya saya akan berkongsi tip-tip berkenaan pengurusan masa yang baik. Pastikan anda dapat meluangkan masa untuk membacanya.