Soalan:

Saya hampir-hampir putus asa melayan kerenah suami saya. Kadang-kala dia panas baran, kadang-kala dia bad mood, kadang-kala dia ingin bersendirian sahaja. Ada juga saat-saat dia ceria tetapi ini jarang-jarang berlaku. Saya bimbang perangainya ini mempengaruhi anak-anak kami pula. Bagaimana nak ubah suami saya ini?

Jawapan:

Membaca soalan di atas, saya teringat kepada sebuah kisah sahih di kalangan sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Anas bin Malik menceritakan: Anak Abu Thalhah daripada isterinya Ummu Sulaim meninggal dunia, lalu Ummu Sulaim berkata kepada ahli-ahli keluarganya: “Jangan beritahu Abu Thalhah tentang anaknya sampai aku yang memberitahukan kepadanya.” 

Ketika Abu Thalhah pulang, Ummu Sulaim menawarkan kepadanya makan malam, lalu dia makan dan minum. Kemudian Ummu Sulaim berdandan cantik yang belum pernah ia berdandan secantik itu. Lalu suaminya menyetubuhinya. 

Tatkala Ummu Sulaim melihat suaminya telah puas dan tenang, dia berkata: “Wahai Abu Thalhah, apa pendapatmu jika ada suatu kaum meminjamkan sesuatu kepada sebuah keluarga, lalu mereka meminta balik pinjaman itu. Apakah keluarga itu boleh menafikan permintaan balik mereka itu?” Abu Thalhah menjawab: “Tidak.” 

Ummu Sulaim berkata: “Maka bersabarlah dan berusahalah meraih pahala di atas kematian puteramu (kerana anak umpama pinjaman daripada Allah, lalu Allah telah mengambilnya balik).” Abu Thalhah lalu marah dan berkata: “Engkau biarkan aku (tidak mengetahui hal ini) hingga aku dalam keadaan hadas besar, kemudian baru engkau mengkhabari tentang nasib anak aku?” 

Abu Thalhah pun bergegas berjumpa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan mengkhabarkan apa yang terjadi kepadanya. (Rasulullah tidak menyalahkan Ummu Sulaim, sebaliknya) mendoakan: “Semoga Allah memberkati kalian berdua dalam malam kalian itu.” Akhirnya, Ummu Sulaimpun hamil lagi. [Shahih Muslim, hadis no: 4496/2144]

Dalam kisah di atas, mungkin – saya ulangi – mungkin Abu Thalhah memiliki satu sikap yang seandainya dikhabarkan secara terus kematian anaknya, akan menimbulkan suasana yang memudaratkan. Maka isterinya Ummu Sulaim mengambil jalan hikmah, iaitu menyajikan makan dan minum kepada beliau. Seterusnya berhias dengan baik serta melakukan hubungan seks. Perkara-perkara ini, makan, minum, berhias dan berhubungan seks adalah di antara yang amat disukai oleh hampir semua suami.

Jika diamati kisah di atas juga, boleh dikatakan Ummu Sulaim sudah biasa melakukan semua itu sehingga pada saat berlaku sesuatu yang amat menyedihkan hatinya sebagai seorang ibu, dia masih dapat melakukannya dengan baik. Amat baik sehingga suaminya tidak mengesan apa-apa perbezaan. Seandainya Ummu Sulaim tidak biasa melakukannya, pasti sukar untuk tiba-tiba berbuat demikian pada malam kematian anaknya.

Ummu Sulaim juga bijak berkata-kata. Dia tidak terus mengkhabarkan berita kematian anak, sebaliknya memulakannya dengan sebuah perumpamaan: “Wahai Abu Thalhah, apa pendapatmu jika ada suatu kaum meminjamkan sesuatu kepada sebuah keluarga, lalu mereka meminta balik pinjaman itu. Apakah keluarga itu boleh menafikan permintaan balik mereka itu?”

Justeru meskipun Abu Thalhah marah apabila akhirnya dikhabarkan berita kematian anaknya, ia bukanlah kemarahan yang besar lagi memudaratkan.

Demikianlah usaha besar Ummu Sulaim sebagai seorang isteri sehingga ia menjadi salah seorang wanita yang disebut sebagai ahli syurga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menerangkan: Syurga pernah diperlihatkan kepadaku, lalu aku melihat isteri Abu Thalhah. Kemudian aku mendengar suara gesekan sandal di depanku yang ternyata adalah langkah Bilal. [Shahih Muslim, no: 4495/2457]

Kembali kepada soalan puan di atas, daripada berharap suami berubah, apa kata puan yang berubah. Di sini saya tidak menyalahkan puan sahaja. Apabila ada rumahtangga yang bahagia, ia bererti kedua-dua suami dan isteri telah memainkan peranan masing-masing dengan baik. Akan tetapi jika ada rumahtangga yang tidak bahagia, ia bererti kedua-dua suami dan isteri tidak memainkan peranan masing-masing dengan baik.

Memandangkan puan yang memulakan pertanyaan, saya sarankan puan yang memulakan peranan ke arah pembaikan. Baiki diri sendiri terlebih dahulu. Secara langsung atau tidak langsung, cepat atau bertahap-tahap, suami akan mengesan perubahan pada diri puan dan dengan itu akan berminat ke arah perubahan. Boleh juga menasihati suami dengan bijak lagi hikmah sebagaimana Ummu Sulaim memberikan perumpamaan kepada suaminya sebelum mengkhabarkan kematian anak mereka.

Mulakan dengan mengkaji ilmu rumahtangga. Banyak buku-buku dalam jurusan ini, baik dari penulis tempatan mahupun luar negara. Boleh juga berbincang dengan kaunselor yang amanah lagi jujur.  Ramai suami isteri yang mengaji tinggi-tinggi dalam pelbagai jurusan, tetapi amat jahil dalam jurusan rumahtangga. Padahal kejayaan rumahtangga adalah adalah asas kepada kejayaan dalam pelbagai jurusan yang lain.