Soalan: 

Saya sedang hamil sekarang ini dan doktor telah mengesahkan saya akan mendapat anak perempuan, insya-Allah dan alhamdulillah. Saya dan suami sedang memilih nama yang sesuai untuk puteri kami, namun belum dapat menemukan sesuatu yang sesuai. Malah agak keliru kerana sangat banyak nama-nama baik yang dicadangkan dalam buku-buku. Bolehkah saudara cadangkan kepada kami beberapa nama yang terbaik untuk bakal puteri kami?

 

Jawapan:

Nama yang terbaik boleh memiliki dua pengertian. Pertama, nama yang memiliki maksud yang baik dan inilah yang lazim dicadangkan oleh buku-buku yang khusus berkenaan nama-nama bayi. Kedua, nama yang dimiliki oleh insan terbaik dan ini jarang disebut-sebut atau dicadangkan. Oleh itu saya lebih cenderung untuk mencadangkan nama-nama yang dimiliki oleh insan yang terbaik di sisi Allah dan Rasulullah.

Terdapat lima nama, iaitu:

Pertama ialah Asiyah isteri Fir’aun. Meskipun hidup bersama suami yang amat zalim lagi menganggap dirinya tuhan, Asiyah tetap bersabar dalam keimanannya kepada Allah Subhanahu waTa'ala.

Kedua ialah Maryam, ibu kepada Nabi ‘Isa ‘alaihis salam.

Ketiga ialah A’isyah binti Abu Bakar, isteri Rasulullah. Cara sebut yang tepat ialah A-i-syah (tiga sebutan yang dipisahkan).

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Manusia yang sempurna dari kalangan lelaki banyak dan tidak ada manusia yang sempurna dari kalangan wanita kecuali Asiyah isteri Fir’aun dan Maryam binti ‘Imran (ibu Nabi ‘Isa). Dan keistimewaan A’isyah (binti Abu Bakar) dibandingkan wanita-wanita lain adalah bagaikan keistimewaan makanan tsarid terhadap makanan yang lain. (Shahih al-Bukhari, no: 3159/3411. Tsarid adalah sejenis bubur yang dibuat daripada daging dan roti, dianggap makanan terbaik pada zaman Rasulullah).

Keempat ialah Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda pernah bersabda: Sesungguhnya wanita yang paling baik (pada masa lalu) ialah Maryam binti Imran (ibu Nabi ‘Isa) dan wanita yang paling baik (sesudah masa itu) ialah Khadijah binti Khuwailid. [Shahih Muslim, no: 3358/2430]

Kelima ialah Fatimah binti Muhammad, puteri Rasulullah. Baginda pernah bersabda tentang Fatimah: Wahai Fatimah, apakah kamu reda menjadi pemimpin para isteri orang-orang mukmin atau pemimpin wanita-wanita umat ini? [Shahih Muslim, no: 4487/2450]

Demikianlah lima insan terbaik di sisi Allah dan Rasulullah. Saya cadangkan dipilih salah satu daripada nama-mana mereka, baik Asiyah, Maryam, Khadijah, A’isyah atau Fatimah. Moga dengan menggunakan nama insan yang terbaik, puteri puan insya-Allah akan membesar menjadi insan yang terbaik seperti mereka juga.