Soalan 1: Membayar Hutang Lapuk.

Saya ada meninggalkan hutang kad kredit dan telefon. Kini timbul keinsafan untuk melangsaikan hutang tersebut dan bertaubat untuk tidak mengulanginya. Apakah cara yang terbaik untuk menjelaskan hutang tersebut memandangkan hutang itu sudah lapuk dan saya pun tidak tahu ke mana harus saya buat penjelasan tersebut. Tolong beri nasihat.

 

Jawapan:

Ini soalan yang baik. Menjadi satu kebiasaan orang ramai masa kini untuk berhutang, tanpa mereka menyedari natijah jika hutang tersebut tidak dibayar balik sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Islam memandang berat hal ini dan memberi ancaman di Hari Akhirat ke atas orang yang meninggal dunia dengan hutang yang masih belum dilunaskan.

Bahkan jika seseorang itu melakukan amal shalih yang paling utama – yakni turun di medan perang untuk berjihad di jalan Allah lalu gugur, hutangnya akan menghalangnya daripada meraih keutamaan mati syahid. Rasulullah mengingatkan:

Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya, bahawa seseorang yang terbunuh di jalan Allah lalu hidup, kemudian terbunuh lagi lalu hidup, kemudian terbunuh lagi lalu hidup (mati syahid tiga kali) padahal dia memiliki tanggungan hutang, dia tidak akan memasuki syurga sehinggalah hutang itu dibayar. [Shahih Sunan al-Nasa‘e, no: 4698]

Merujuk kepada hutang yang sudah lapuk, ia tetap merupakan hutang yang mesti dilunaskan. Anda telah memulakan langkah pertama untuk cuba melunaskannya, dan ini adalah sikap yang betul. Ini kerana sesiapa yang berazam untuk melakukan perkara baik, maka Allah akan membantunya dan ini termasuklah dalam urusan melunaskan hutang. Rasulullah menjanjikan:

Sesiapa yang mengambil harta orang (berhutang) dan berkeinginan untuk membayarnya, Allah akan (membantu dia) membayarnya dan sesiapa yang mengambil dan ingin membinasakannya (tidak berhajat untuk membayar balik), Allah akan (membantu dia) untuk membinasakannya. [Shahih al-Bukhari, no: 2387]

Seterusnya hendaklah segera melaksanakan azam tersebut, jangan menangguh-nangguhkannya. Rasulullah berpesan: Seandainya aku memiliki emas semisal bukit Uhud (jumlahnya), aku tidak senang seandainya emas itu masih ada padaku selama tiga hari melainkan aku gunakannya untuk membayar hutang. [Shahih al-Bukhari, no: 2389]

Dalam kes di atas misalnya, anda boleh pergi ke ibu pejabat syarikat kad kredit dan telekomunikasi terbabit dan memaklumkan status anda yang pernah memiliki akaun bersama mereka dan ada baki yang masih belum dibayar. Nescaya mereka dapat mengesan akaun anda dan baki yang belum dibayar.

Akhir sekali, hendaklah anda berdoa kepada Allah agar diringankan serta dibebaskan daripada lilitan hutang. Rasulullah mengajar kita sebuah doa: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kesusahan, kesedihan, kelemahan, kemalasan, (sikap) kedekut, (sikap) pengecut, lilitan hutang dan dikuasai oleh orang lain. [Shahih al-Bukhari, no: 6363]

 

 


 

Soalan 2: Menceritakan Masalah Rumahtangga.

Apakah hukumnya jika kita bercerita mengenai masalah rumah tangga kita kepada orang yang kita percaya, contohnya kawan karib?

 

Jawapan:

Rumahtangga ialah satu rahsia di antara suami dan isteri. Menceritakannya bererti membocorkan rahsia rumahtangga dan ini sudah tentu tidak akan disukai oleh mana-mana pasangan suami-isteri yang ingin berterusan memelihara ikatan perkahwinan mereka.

Sudah terlalu banyak kes rahsia rumahtanggan diceritakan kepada orang yang dianggap “dipercayai” dan atas tujuan mencari “solusi” kepada sesuatu masalah. Namun akhirnya apa yang diceritakan itu menjadi gosip di pejabat dan kalangan rakan-rakan. Lebih memburukkan, menjadi kelaziman manusia menambah garam dan lada ke atas satu cerita untuk menambah perisa, sehingga apa yang pada awalnya satu cerita biasa menjadi satu isu yang sensasi.

Selain itu, rakan yang dipercayai tidak semestinya rakan yang bijak dalam memberi solusi rumahtangga. Memang, dia ingin membantu namun tidak boleh ditolak kebarangkalian bantuannya itu menghasilkan lebih duka berbanding suka.

Oleh itu elakkan daripada menceritakan rahsia atas masalah rumahtangga. Jika dirasakan sangat memerlukan nasihat atau panduan, berjumpalah dengan individu yang arif lagi berpengalaman dalam urusan rumahtangga. Kearifan dan pengalaman akan menyebabkan individu tersebut memberi nasihat yang betul serta menyimpan rahsia yang dibincangkan bersama.

 

 


 

Soalan 3: Mesin Basuh Pakaian.

Saya agak musykil mengenai pembasuhan pakaian menggunakan mesin basuh. Apakah hukum mencuci pakaian dengan menggunakan mesin basuh?  Apakah caranya itu menyucikan di sudut kaca mata Islam?

 

Jawapan: 

Pakaian yang hendak dibasuh dengan mesin basuh terbahagi kepada dua jenis. Pertama, pakaian yang tidak diketahui terkena najis, maka boleh terus masukkan dalam mesin untuk dibasuh. Kedua, pakaian yang terbukti secara nyata terkena najis, maka hendaklah dibersihkan kesan najis itu secara berasingan, kemudian barulah dimasukkan dalam mesin pembasuh bersama pakaian yang lain. Basuhan dengan mesin adalah mencukupi lagi suci dari sudut Islam.

Jika ragu-ragu sama ada pakaian terkena najis atau tidak, seperti percikan air kencing atau duduk di tempat yang kotor, maka yang diambil ialah ia tidak bernajis dan dibasuh dengan cara pertama. Ini kerana mengikuti kaedah hukum, semua benda adalah suci melainkan terbukti secara nyata bahawa ia terkena najis.

Jika ada agamawan yang mempersoalkan kebersihan cucian dengan mesin pembasuh, maka yang sepatutnya dipersoalkan ialah ilmu agamawan tersebut, baik ilmu agamanya dan ilmu teknikalnya.