Soalan 1: Suami Menolak Ajakan Isteri.

Apa yang saya tahu, jika isteri menolak ajakan suami untuk membuat hubungan seks, maka malaikat akan melaknat isteri sehingga subuh. Akan tetapi bagaimana pula sebaliknya jika suami yang menolak ajakan isteri untuk membuat hubungan seks, adakah suami akan dilaknat oleh malaikat juga? Tolong jelaskan apa yang mengganggu diri saya.

Syieda, Puchong, Selangor.

 

Jawapan:

Hadis-hadis Rasulullah dalam persoalan ini hanya menyentuh kepentingan isteri memenuhi ajakan suami untuk membuat hubungan seks dan ancaman kepada isteri yang enggan. Setahu saya, tiada hadis yang menyentuh kepentingan suami memenuhi ajakan isteri untuk membuat hubungan seks dan ancaman kepada suami yang enggan. Ini berlaku kerana lazimnya suami yang memiliki daya keinginan seks yang tinggi manakala isteri pula sibuk dengan urusan lain sehingga tidak memerhatikan keinginan seks suami.

 

Pun begitu, ini tidaklah bererti suami boleh mengabaikan ajakan isteri kerana dari sudut hukum agama, isteri memiliki hak yang sama dengan kewajipannya. Oleh itu jika isteri berkewajipan memenuhi ajakan suami, suami juga berkewajipan memenuhi hak atau ajakan isteri untuk melakukan hubungan seks. Semua ini berdasarkan firman Allah: Dan para wanita (isteri) mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma’ruf. [al-Baqarah 2:228]

Merujuk kepada persoalan ini, saya lebih cenderung untuk berfikir kenapa suami enggan memenuhi ajakan isteri berbanding kenapa tiada hadis-hadis yang mengancam suami yang enggan. Apabila suami enggan, maka sebabnya boleh dibahagikan kepada dua faktor: Faktor luaran dan dalaman.

Faktor luaran ialah tekanan hidup, kesibukan kerja, himpitan ekonomi atau apa-apa lain yang memenuhi fikirannya. Faktor-faktor luaran ini menyebabkan suami kerap kali tidak berminat untuk melayani ajakan isteri, bahkan suami sendiri tidak mengajak isterinya melakukan hubungan seks.

Faktor dalaman ialah penampilan isteri, kehadiran anak-anak dalam bilik yang sama dan cuaca yang panas. Semua ini menyebabkan suami tidak selesa untuk menerima ajakan isteri.

Justeru yang sepatutnya difikirkan oleh isteri ialah bagaimana untuk memahami faktor luaran dan mengubah faktor dalaman. Semua ini akan dapat membantu suami menerima ajakan isteri untuk melakukan hubungan seks.

 

 

 

Soalan 2: Membuang Jari Yang Lebih

Anak perempuan saya dilahirkan dengan mempunyai jari lebih di setiap tangannya. Sekarang dia berumur 18 bulan. Doktor menyarankan agar jari lebih itu dibuang, supaya besar nanti dia tidak berasa rendah diri atau malu diejek kawan-kawan. Saya dalam dilema apakah keputusan tersebut bertentangan dengan syariat agama Islam.

 

Jawapan:

Dibolehkan mengubah anggota badan yang tidak normal agar ia kelihatan normal. Anggota tersebut boleh jadi tidak normal kerana kecacatan, penyakit atau kemalangan. Semua ini tidak termasuk dalam larangan mengubah ciptaan Allah. Apa yang dilarang oleh Islam ialah mengubah anggota yang nomal semata-mata untuk menambah kecantikannya.

Sebagai contoh, ada seorang sahabat Rasulullah bernama Arfajah bin As’ad yang tercedera hidungnya ketika peperangan. Maka Rasulullah menyuruhnya membuat hidung palsu yang diperbuat daripada emas [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4232]. Membuat hidung palsu termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah sementara logam emas pula dilarang ke atas orang lelaki. Akan tetapi ia tetap dibolehkan kerana dilakukan bukan kerana kecantikan tetapi kerana membetulkan kecederaan agar kelihatan normal.

Oleh itu dibolehkan membuat pembedahan bagi membuang lebihan jari di tangan anak. Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang memahami apa yang dihadapi oleh para hamba-Nya.

 

 

 

Soalan 3: Asuh Anak Untuk Solat.

Anak kedua saya seorang lelaki dan bakal berusia 7 tahun hujung tahun ini. Dia sudah boleh mengerjakan solat dengan bacaan yang lengkap. Masalahnya setiap kali solat berjemaah sekeluarga, dia akan bermain dan enggan membaca bacaan yang sepatutnya dibaca. Sudah puas saya menasihatkan dia dan memberitahu akan kewajipan bersolat. Sekejap sahaja dia mengikutnya. Bagaimanakah cara terbaik untuk mengasuh anak agar tahu tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim?

Mariana, Seremban 2, Negeri Sembilan.

 

Jawapan:

Kanak-kanak amat suka apabila dia mendapat perhatian orang-orang dewasa. Mereka akan melakukan apa saja untuk mendapat perhatian. Ini termasuklah membuat perkara-perkara yang tidak disukai oleh ibubapanya, kerana dengan melakukan perkara tersebut mereka akan mendapat perhatian ibubapa dalam bentuk nasihat dan teguran. Bahkan ada yang menyukai ibubapa memarahi mereka, kerana ketika sedang marah ibubapa sedang bercakap dengan mereka, memandang kepada mereka dan berhenti daripada apa-apa urusan lain semata-mata untuk fokus kepada mereka.

Apabila solat berjamaah, semua ahli keluarga sedang khusuk solat sehingga kanak-kanak merasakan dirinya tidak mendapat perhatian. Maka mereka akan cuba bermain-main dan enggan solat kerana perbuatan tersebut akan meraih perhatian ibubapa.

Oleh itu dalam kes di atas, cadangan saya ialah tidak mengajak anak untuk solat berjamaah. Sebaliknya suruhlah anak solat bersendirian sementara anda duduk di sebelah memerhatikannya dari takbir hingga salam. Jika semuanya baik dan betul berilah pujian dan perhatian. Jika ada yang kurang, jangan beri apa-apa perhatian, tinggalkan beliau berseorang untuk beberapa ketika yang lama. Melalui cara ini anak akan tahu bahawa untuk meraih perhatian ibubapa bukanlah dengan cara enggan solat, tetapi melaksanakan solat dengan baik dan betul.