Pa & Ma (September 2010).

Soalan 1: Suami Panas Baran.

Saya sudah berumahtangga hampir 7 tahun dan telah dikurniakan 3 orang anak. Masalah saya, suami seorang yang panas baran dan cepat naik tangan. Saya sudah semakin hilang sabar dengan kelakuannya. Apakah nasihat tuan supaya suami akan berubah lebih baik dengan anak-anak dan saya?

Isteri malang, Selayang.

M

Jawapan:

Suami panas baran boleh disebab oleh dua faktor, luaran (external) dan dalaman (internal). Faktor luaran melibatkan tempat kerjanya seperti tekanan dari pihak atasan, kegagalan suami menyiapkan kerja seperti diharapkan majikan, persaingan tidak sihat daripada rakan sekerja dan seterusnya. Boleh juga melibatkan sesuatu yang berkaitan dengan kerjanya, umpama kesesakan lalulintas pergi dan balik kerja, juga kos minyak dan tol. Semua ini menyebabkan suami rasa tertekan hingga akhirnya "melepaskan" tekanan itu kepada isterinya.

Isteri boleh membantu suami mengurangkan tekanan ini dengan kerap memberi motivasi kepada suami dalam kerjanya, mengungkapkan rasa berterima kasih kepada suami atas jerih payahnya mencari nafkah - sekalipun sedikit - untuk keluarga dan mendengar dengan penuh perhatian apa-apa keluhan suami terhadap kerjanya. Faktor luaran tidak terhad kepada kerja suami tetapi juga boleh melibatkan sesuatu yang lain seperti masalah yang dihadapi oleh ahli keluarga suami. Justeru penting bagi isteri untuk cuba mengetahui faktor luaran yang memberi tekanan kepada suami lantas cuba membantu dengan memberikan motivasi dan sokongan. Faktor dalaman merujuk kepada suasana kehidupan sekeluarga. Kadangkala ada beberapa sikap isteri yang tidak disenangi oleh suami sehingga menyebabkan suami naik marah, seperti:

  • Isteri kerap meminta itu dan ini manakala suami dalam keadaan kewangan yang agak sempit.
  • Isteri terlalu asyik bermain dan melayan anak-anak hingga mengabaikan bermain-main dan melayan suami dengan mesra.
  • Isteri terlalu mengawal pergerakan suami atau mudah lagi pantas cemburu kepada tindak-tanduk suami yang sedikit mencurigakan.
  • Isteri tidak melaksanakan peranannya sebagai pemimpin di rumah sehingga akhirnya menimbulkan suasana tidak selesa bagi suami.
  • Isteri itu sendiri yang panas baran sehingga kemarahan kecil oleh suami dibalas dengan kemarahan daripada pihak isteri juga. Ini seterusnya dibalas kembali oleh suami dengan kemarahan yang lebih besar.

Justeru hendaklah isteri mengenal apa dan di mana kelemahannya dan cuba memperbaikinya. Kenalilah kelemahan dengan menuntut ilmu dalam subjek rumahtangga, hubungan suami-isteri dan perbezaan antara sikap lelaki dan sikap wanita. Jangan hanya bergantung kepada cara bertanya kepada isteri lain kerana kerap kali ia berakhir dengan masing-masing isteri menceritakan keburukan suami masing-masing tanpa solusi yang dapat mengubahnya

M

M

Soalan 2: Membaca al-Qur’an Dengan Tajwid Yang Salah.

Saya lazim membaca al-Qur'an tetapi tidak pasti sama ada tajwid bacaan saya adalah betul atau tidak. Apakah hukumnya?

Amirah, Sungai Besi.

M

Jawapan:

Tidak mengapa jika membaca al-Qur’an dengan tajwid yang tidak betul asalkan seseorang itu sentiasa berusaha untuk memperbaikinya. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang membaca al-Qur’an dan dia mahir dengan bacaannya itu, maka dia beserta para malaikat yang mulia lagi taat. Sedangkan orang yang membaca al-Qur’an dengan tersekat-sekat dan terasa sukar baginya maka dia mendapat dua pahala.” [Shahih Muslim, no: 798]

Namun, berdasarkan hadis di atas, membaca al-Qur’an dengan disertai oleh para malaikat tentu lebih utama. Oleh itu jika anda tidak pernah mempelajari tajwid, maka berusahalah untuk belajar di kelas-kelas tajwid al-Qur’an yang sedia ada. Jika anda pernah mempelajari tajwid, maka usahakanlah agar bacaan anda disemak sekali-sekali oleh orang lain yang mahir dalam bidang tajwid.

M

M

Soalan 3: Solat Jamak Di Kampung.

Bolehkah saya solat jamak apabila pulang ke kampung saya sendiri? Bolehkah diterangkan tentang solat jamak dan qasar serta syarat-syarat perlaksanaannya agar saya dapat mengamalkannya?

Aida, Selangor.

M

Jawapan:

Sama ada di kampung, di rumah sendiri, di pejabat atau di tempat lain, seseorang itu dibolehkan menjamak solatnya jika dia menghadapi kesukaran untuk melaksanakan solat fardhu di dalam waktunya. Kemudian Islam untuk kita menjamakkan solat tidak disyaratkan oleh suasana musafir, mukim atau mastautin. Jika dirujuk kepada hadis-hadis yang sahih, Rasulullah SAW pernah menjamak solat ketika di Madinah, tanpa baginda musafir. [Sahih Muslim, no: 705]

Bezakan bahawa ini hanya merujuk kepada menjamakkan solat. Iaitu solat tetap dilaksanakan dalam jumlah rakaat yang penuh, hanya dihimpunkan bersama dalam waktu solat yang lain. Umpama solat Zuhur dan Asar dihimpunkan bersama (4+4=8 rakaat) dalam waktu Zuhur (jamak taqdim) atau waktu Asar (jamak takhir). Atau solat Maghrib dan Isyak dihimpunkan bersama (3+4=7 rakaat) dalam waktu Maghrib (jamak taqdim) atau waktu Isyak (jamak takhir).

Lebih lanjut berkenaan solat jamak dan qasar, jemput mengkaji buku sahabat saya Mohd. Yaakob bin Mohd. Yunus yang berjudul Solat Jamak dan Qasar Adalah Sedekah Allah. Sila rujuk www.hafizfirdaus.com