Pa&Ma: Kemarahan manusia memang sukar dikawal. Bagaimana cara terbaik mengawal rasa marah terutama di kalangan ibubapa muda?

Semua orang ada sikap marah, hanya kadarnya yang berlainan antara sedikit atau banyak, cepat atau lambat. Marah itu sendiri terbahagi kepada dua, marah kerana faktor agama dan marah kerana faktor peribadi. A’isyah r.a., isteri Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Baginda tidak pernah merasa dendam kerana disakiti (hatinya) lalu membalas kepada orang yang menyakitinya kecuali jika hal itu merupakan pelanggaran terhadap larangan Allah (di mana) Rasulullah s.a.w. akan membalas kerana Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata.” [Shahih Muslim, no: 2328]

angry_daddy.jpg

 

Maka kita dibolehkan, malah patut marah kerana agama, asalkan sikap marah itu membuahkan hasil yang positif kepada agama dan umat. Ini adalah marah yang terpuji. Sebaliknya kita dilarang marah kerana faktor peribadi kerana ia adalah marah yang tercela. Ini kerana marah tersebut lazim timbul kerana perasaan tinggi diri yang ada dalam diri seseorang. Tidaklah seseorang itu akan marah jika pendapatnya tidak diterima melainkan sejak awal dia merasakan pendapatnya sahajalah yang terbaik. Tidaklah seseorang itu akan marah jika kedudukannya tidak dihormati melainkan sejak dini dia merasa ujub dengan kedudukannya itu. Tidaklah seseorang itu akan marah jika barangnya dicuri melainkan sejak saat pertama dia merasakan semua itu adalah miliknya dan bukan sesuatu yang dipinjamkan oleh Allah kepadanya.

Justeru bagi mengawal rasa marah, seseorang itu hendaklah sentiasa bersikap rendah diri (tawadhu’). Selain itu hendaklah dia berwaspada kerana marah juga berasal dari syaitan. Ia merupakan salah satu senjatanya untuk mengganggu umat Islam. Perhatikan hadis berikut:

Ketika aku sedang duduk bersama Nabi s.a.w., dua orang sedang  bertengkar sehingga salah seorang dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar. Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah “A’uzubillahi minash syaitan” nescaya kemarahannya akan hilang. [Shahih al-Bukhari, no: 3282]

Maka selain bersikap rendah diri, hendaklah seseorang itu melazimkan diri dengan amalan yang dapat menjauhkan dirinya dari pengaruh syaitan. Perkara ini boleh dirujuk dalam buku saya “Tujuh Tipudaya Syaitan Ke Atas Umat Islam”.

 

Pa&Ma: Seringkali apabila pasangan suami isteri bertengkar atau tidak sefahaman, mereka akan melepaskan rasa marah pada anak-anak yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa. Apakah kesannya pada si anak tersebut?

Bagi anak yang sudah mencecah umur dewasa, pertengkaran di antara ibubapa mereka mampu memberikan kesan psikologi yang berat. Maka bagaimana pula dengan anak-anak yang masih kecil? Tentu lebih berat.

Maka pertengkaran di antara suami isteri memang memberikan kesan buruk kepada anak-anak. Natijahnya, anak akan mengalami pelbagai kesan psikologi yang buruk, salah satu di antaranya ialah mereka juga akan terikut-ikut dengan sikap marah dan suka bertengkar yang mereka contohi daripada kedua ibubapa mereka. Akhirnya sesama rakan, sepupu atau terhadap guru, anak tersebut akan mudah panas baran dan suka bergaduh. Perkara ini akan berlanjutan hinggalah mereka dewasa.

Bagi ibubapa, kadangkala pertengkaran sukar dielakkan. Malah pertengkaran ada baiknya di mana masing-masing pihak melepaskan apa yang mereka tidak puas hati terhadap pasangannya yang selama ini terbuku di hati. Namun apabila ingin bertengkar, lakukanlah ia di luar pengetahuan anak-anak. Jangan bertengkar di hadapan mereka.

Jika pertengkaran tetap berlaku di hadapan anak-anak, hendaklah kedua-dua ibubapa secara bersamaan minta maaf kepada anak-anak. Yakni setelah pertengkaran reda dan selesai. Disyorkan juga selepas itu secara bersamaan ibubapa membawa anak-anak keluar sekeluarga seperti ke taman permainan, berkelah atau makan bersama. Ini akan memberi kesan positif kepada anak-anak bahawa pertengkaran itu hanya sementara dan bukan berpanjangan.

 

Pa&Ma: Adakalanya kita berusaha untuk mengawal rasa marah tetapi anak kita sendiri membuat perangai atau menjadi punca kita menjadi marah dan sukar mengawal perasaan hingga melepaskan kepada mereka. Jadi bagaimana tu?

Apabila ibubapa marah kepada anak, hendaklah bertanya kepada diri sendiri, apakah mereka marah untuk mendidik anak atau kerana anak tidak menghormati kedudukan mereka sebagai ibubapa? Kerap kali ia adalah sebab yang kedua dan ini adalah marah yang tercela sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.

Walaubagaimanapun diakui bahawa adakalanya sukar untuk mengawal marah. Keletihan di tempat kerja, tekanan pihak atasan dan pelbagai lagi menyebabkan ibubapa adakalanya “termarah” kepada kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak.

Bagi mengubati kesukaran ini, beranikan diri meminta maaf kepada anak-anak. Ya! Apabila kemarahan telah redha, bersemukalah dengan anak dan minta maaf kepadanya. Allah s.w.t. berfirman: “Dan apabila mereka marah, mereka memaafkannya”. [Surah al-Syura, ayat 37] Terangkan bahawa anda marah kerana sebab lain lalu secara tidak sengaja termarah anak itu. Jelaskan bahawa anda tetap sayang kepadanya dan akan berusaha untuk mengurangkan kejadian seumpama dari berulang.

 

Pa&Ma: Adakah tip-tip tertentu mengikut ajaran Islam yang boleh dijadikan panduan ibu bapa untuk mengawal perasaan marah mereka hingga boleh menjadikan anak sebagai mangsa.

Jika dirujuk kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w., ada beberapa tips iaitu:

[1] Mengenal asal-usul marah, bahawa ia berasal dari sikap tinggi diri yang ada pada seseorang.

[2] Menyedari peranan syaitan yang suka membuat manusia marah. Syaitan menunggu ketika manusia dalam keadaan lemah seperti letih, tertekan, terburu-buru dan sebagainya. Dalam keadaan seperti ini syaitan mencelah dengan cucukan sikap marah.

[3] Rasulullah s.a.w. pernah menerangkan bahawa orang yang kuat bukanlah mereka yang memenangi pertarungan gusti tetapi yang berjaya mengawal kemarahannya. [Shahih Muslim, no: 2608] Orang yang mudah marah, dia sebenarnya orang yang lemah sekalipun dalam beberapa aspek lain dia orang yang berjaya. Maka jadilah orang yang kuat, yakni orang yang dapat mengawal kemarahannya.

[4] Jika sedang marah, duduklah, Jika sedang duduk, baringlah: “Jika salah seorang dari kalian marah dalam keadaan berdiri maka hendaklah dia duduk agar marah hilang darinya. Jika tidak hendaklah dia baring.” [Sunan Abu Daud, no: 4782]

[5] Jika sedang bercakap, maka diamlah: “Jika salah seorang dari kalian marah, hendaklah dia diam.” [Musnad Ahmad, 1/239]

[5] Mengambil wudhu’: “Sesungguhnya marah berasal dari syaitan dan syaitan berasal dari api. Sesungguhnya api itu dipadam dengan air. Oleh kerana itu jika salah seorang dari kalian marah, hendaklah dia berwudhu’.”  [Sunan Abu Daud, no: 4784]

[6] Menginginkan balasan yang baik: “Seorang hamba tidak meneguk tegukan yang lebih baik di sisi Allah daripada tegukan marah yang dia tahan kerana mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla.” [Sunan Ibn Majah, no: 4189]

Seseorang pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Tunjukkan aku perbuatan yang memasukkan aku ke syurga.” Rasulullah menjawab: “Engkau jangan marah.” [Majma az-Zawaid 8/70]