Para ilmuan yang kita kasihi membahagikan syirik kepada Syirik Besar dan Syirik Kecil. Syirik Besar ialah apa yang dapat membatalkan tauhid serta merta. Di antara Syirik Besar ada yang jelas kelihatan, seperti menyembah batu, pokok dan manusia. Ada yang tersembunyi seperti seorang yang Muslim tetapi pada waktu yang sama mengaku Nabi Isa’ ialah anak Allah. Contoh lain ialah orang yang melakukan sembelihan haiwan dengan membaca Basmalah tetapi dalam hatinya, sembelihan itu ditujukan kepada jin peliharaannya.

Syirik Kecil pula ialah apa yang pada asasnya tidak membatalkan tauhid tetapi mencemari kemurniaannya. Jika dibiarkan, lama kelamaan ia akan membesar dan membatalkan tauhid seorang muslim. Di antara Syirik Kecil ada yang jelas kelihatan, seperti memakai tangkal dan melafazkan sumpah di atas selain nama Allah. Ada yang tersembunyi seperti mentaati ulama’dengan membelakangkan al-Qur’an dan al-Sunnah, mencintai manusia bersamaan dengan mencintai Allah, riya’ dalam beribadah dan berkeyakinan doktor atau ubat sebagai penyembuh kepada penyakit.

La-ilaha-illaLah

Meskipun para ilmuan telah membahagikan syirik kepada besar dan kecil, ia tidaklah bererti kita boleh memandang ringan kepada syirik kecil. Jika diperhatikan ayat-ayat al-Qur’an yang memberi ancaman kepada syirik, ia tidak membezakan antara syirik besar dan kecil. Perhatikan beberapa firman Allah Subhanahu wa Ta'ala berikut ini:

Janganlah kamu mensyirikkan (Allah, kerana) sesungguhnya syirik adalah benar-benar kezaliman yang besar. [Luqman 31:13]

Seandainya mereka mesyirikkan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan. [al-An’aam 6:88]

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada (Nabi-nabi) yang sebelummu: “Jika kamu mensyirikkan (Allah), nescaya akan hapuslah amalanmu dan tentulah kamu menjadi dikalangan orang-orang yang rugi. [al-Zumar 39:65]

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik tetapi Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mensyirikkan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar. [al-Nisa’ 4:48]

Sesungguhnya orang yang mensyirikkan Allah, maka pasti Allah mengharamkan syurga kepadanya dan tempatnya ialah neraka, dan tidaklah bagi orang-orang zalim itu seorang penolong jua. [al-Maidah 5:72]

Dalam ayat-ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa syirik ialah satu kezaliman yang besar, membatalkan semua amal-amal soleh yang pernah dilakukan, tidak akan diampunkan oleh Allah dan diharamkan ke atas syurga pada Hari Akhirat kelak. Dalam ayat-ayat di atas, tidak dibezakan antara Syirik Besar atau Syirik Kecil.

 

Dalil Pembahagian Syirik Besar dan Syirik Kecil

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku bimbangi daripada perkara-perkara yang aku bimbang ke atas kalian ialah syirik kecil.”

Para shahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu wahai rasulullah?”

Rasulullah menjawab: “Riya’. Allah ‘Azza wa Jalla akan berkata pada Hari Kiamat ketika membalas amalan-amalan manusia: Pergilah kepada orang yang kamu menunjuk-nunjuk dahulu ketika di dunia dan lihatlah apakah kamu mendapat ganjaran dari sisi mereka?” [Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, hadis no: 22523/23630 dan dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan]

Berdasarkan hadis di atas, apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut “Syirik Kecil”, ia memberi isyarat bahawa syirik itu terbahagi kepada dua jenis, iaitu Syirik Besar dan Syirik Kecil. Pun begitu, ia tidaklah bermaksud seseorang itu boleh memandang ringan kepada Syirik Kecil. Perhatikan hadis berikut tentang balasan kepada orang yang melakukan syirik kecil – yakni riya’ – ketika beramal:

Daripada Sulaiman bin Yasar dia berkata, orang ramai berkumpul-kumpulan di sekitar Abu Hurairah, lalu berkata seseorang yang berasal dari Syam: “Wahai syaikh! Ceritakanlah sebuah hadis yang kamu dengar daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.” Abu Hurairah menjawab: “Baiklah, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Sesungguhnya orang yang paling awal diadili pada Hari Kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Dia dibawa (menghadap Allah) dan diperkenalkan nikmat­-nikmat (yang pernah diberikan kepadanya), lalu dia mengenalinya. Allah bertanya: “Apakah yang kamu amalkan di dunia?” Dia menjawab: “Saya berperang untuk-Mu sehingga mati syahid.” Allah berfirman: “Kamu berdusta! Akan tetapi kamu berperang agar dikatakan sebagai pemberani dan itu telah diperkatakan (oleh orang ramai).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya sehingga dilemparkan ke dalam neraka.

(Juga yang terawal ialah) seorang lelaki yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Qur’an. Dia dibawa (menghadap Allah) dan diperkenalkan nikmat­-nikmat (yang pernah diberikan kepadanya), lalu dia mengenalinya. Allah bertanya: “Apakah yang kamu amalkan di dunia?” Dia menjawab: “Saya mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca untuk-Mu al-Qur’an.” Allah berfirman: “Kamu berdusta! Akan tetapi kamu mempelajari ilmu supaya dikatakan sebagai seorang alim dan membaca al-Qur’an supaya dikatakan sebagai seorang qari dan itu telah diperkatakan (oleh orang ramai).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya sehingga dilemparkan ke dalam neraka.

(Juga yang terawal ialah) seorang lelaki yang dilapangkan Allah (rezekinya) dan dia mensedekahkan semua hartanya kepada golongan yang layak menerimanya. Dia dibawa (menghadap Allah) dan diperkenalkan nikmat­-nikmat (yang pernah diberikan kepadanya), lalu dia mengenalinya. Allah bertanya: “Apakah yang kamu amalkan di dunia?” Dia menjawab: “Saya tidak meninggalkan jalan yang Kamu sukai untuk diberikan sedekah padanya melainkan saya bersedekah padanya untuk-Mu.” Allah berfirman: “Kamu berdusta! Akan tetapi kamu melakukan itu supaya dikatakan dia seorang dermawan dan itu telah diperkatakan (oleh orang ramai).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya sehingga dilemparkan ke dalam neraka. [Shahih Muslim, no: 3527/1905]

Merujuk kepada hadis di atas, meskipun riya’ dikategorikan sebagai syirik kecil, orang yang melakukannya tetap diberi balasan yang berat pada Hari Akhirat kelak. Oleh itu syirik kecil bukanlah sesuatu yang boleh dipandang kecil atau ringan.

Seorang Muslim yang benar-benar mentauhidkan Allah akan berusaha sedaya mampu untuk mengenali keyakinan dan amalan yang merupakan syirik kepada Allah, kemudian berusaha untuk menjauhinya sejauh mungkin. Bukan sekadar tidak melakukannya, tetapi menjauhinya sejauh-jauhnya. Apa-apa jalan, ruang, pintu atau kemungkinan yang boleh membawa dekat kepada syirik kecil hendaklah ditutup serapat-rapatnya. Ini berdasarkan pesanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam sebuah hadis yang lain:

Biarkanlah aku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kalian tidak lain kerana soalan-soalan mereka dan penentangan mereka terhadap Nabi-Nabi mereka.

Maka apabila aku melarang kalian daripada sesuatu maka jauhilah ia dan apabila aku memerintahkan kalian dengan suatu urusan maka lakukanlah ia semampu kalian. [Shahih al-Bukhari, no: 6744/7288]