Dalam sebuah hadis yang panjang, A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan:

Pada satu ketika para isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang berkumpul dan berada di sisi baginda tanpa ada seorangpun yang tidak hadir. Maka datanglah Fatimah dengan berjalan kaki yang mana cara jalannya sama – tidak berbeza sama sekali – dengan cara jalan Rasulullah. Ketika melihatnya, baginda menyambutnya dengan mengucapkan: “Selamat datang wahai puteriku” lalu mempersilakannya duduk di sebelah kanan atau kiri baginda. 

Kemudian baginda membisikkan sesuatu kepadanya sehingga dia (Fatimah) menangis tersedu-sedu. Ketika melihat kesedihan Fatimah, maka sekali lagi Rasulullah membisikkan sesuatu kepadanya sehingga dia ketawa. 

Maka saya (A’isyah) bertanya kepada Fatimah: “(Wahai Fatimah), sesungguhnya Rasulullah telah memberikan keistimewaan kepadamu dengan membisikkan suatu rahsia di hadapan para isteri baginda sehingga kamu menangis kesedihan.” Setelah Rasulullah berdiri dan berlalu dari tempat itu, sayapun bertanya kepadanya: “(Wahai Fatimah), sebenarnya apakah yang dikatakan Rasulullah kepadamu?”  Fatimah menjawab: “Sungguh saya tidak mahu menyebarkan rahsia yang telah dibisikkan oleh Rasulullah.”

Setelah Rasulullah wafat, saya menghampiri Fatimah seraya bertanya kepadanya: “(Wahai Fatimah), aku meminta kepadamu berdasarkan hak atas ke atasmu, khabarkanlah kepadaku apa yang diperkatakan (dibisikkan) oleh Rasulullah kepadamu.” 

Fatimah menjawab, (Wahai Ummul Mukminin), sekarang – setelah Rasulullah wafat – saya akan memberitahukannya kepadamu. Adapun bisikan pertama, baginda mengkhabarkan kepada saya: 

“Bahawa malaikat Jibrail dan baginda biasanya bertadarus al-Qur'an satu atau dua kali dalam setiap tahun. Akan tetapi kini baginda bertadarus kepadanya (Jibrail) sebanyak dua kali. Sungguh aku (Rasulullah) tahu bahwa ajalku telah dekat. Oleh itu (wahai Fatimah), bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik pendahulumu adalah aku.”

Mendengar bisikan itu, maka sayapun menangis seperti yang kamu lihat dulu. Ketika Rasulullah melihat kesedihan saya, maka baginda berbisik kepada saya buat kali kedua: “Wahai Fatimah, apakah kamu reda menjadi pemimpin para isteri orang-orang mukmin atau pemimpin wanita-wanita umat ini?” Lalu sayapun tertawa seperti yang kamu lihat. [Shahih Muslim, no: 4487/2450]

Dalam hadis ini, terserlah keutamaan Fatimah binti Rasulullah di mana beliau telah dimuliakan sebagai pemimpin para isteri orang-orang beriman atau pemimpin wanita-wanita umat ini. Ini adalah satu keutamaan yang tiada tandingannya.

Akan tetapi berdasarkan keutamaan ini jugalah, pihak yang tidak bersetuju dengan poligami beralasan bahawa jika pemimpin para isteri orang-orang beriman tidak dapat menerima dirinya dimadu, maka bagaimana pula dengan wanita-wanita biasa umat ini? Jika pemimpin wanita-wanita umat ini bimbang dengan fitnah poligami ke atas dirinya dan agamanya, bagaimana pula dengan wanita-wanita biasa umat ini?

Dikatakan terdapat sebuah hadis yang mengisahkan bahawa apabila Ali bin Abi Thalib ingin bernikah lagi dengan memadukan Fatimah, Fatimah telah pergi mengadu kepada ayahnya – Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Atas aduan ini, Rasulullah melarang Ali memadukan Fatimah kerana fitnah, kebimbangan dan kesakitan emosional yang dihadapi oleh Fatimah. Benarkah terdapat hadis sedemikian? Marilahkita merujuk kepada hadis yang sebenar.

 

Hadis Yang Sebenar Lagi Lengkap

al-Miswar bin Makhramah menerangkan: Ali bin Abu Thalib pernah melamar puteri Abu Jahal ketika dia beristerikan Fatimah binti Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ketika berita tersebut didengar oleh Fatimah, beliau mendatangi Nabi seraya berkata: “Sesungguhnya kaummu berbicara bahwa kamu tidak marah demi puteri kamu. Sekarang ini Ali akan menikahi puteri Abu Jahal.” 

Miswar melanjutkan: Kemudian Nabi berdiri dan saya mendengar baginda membaca syahadah. Setelah itu baginda bersabda: “Sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-‘Ash bin al-Rabi’ (dengan Zainab binti Muhammad), (apabila) dia berbicara denganku, dia berkata benar (jujur) kepadaku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah darah dagingku. Oleh karena itu, aku tidak suka apabila orang-orang memfitnahnya. Demi Allah, sungguh tidak boleh dihimpun (dimadu) antara puteri Rasulullah dengan puteri musuh Allah oleh seorang suami untuk selama-lamanya.” al-Miswar berkata: Akhirnya Ali membatalkan lamarannya. [Shahih Muslim, no: 4485/2449]

Perhatikan aduan yang dibuat oleh Fatimah bukanlah perihal Ali yang mahu bernikah lagi, tetapi perihal sikap orang ramai yang menuduh konon Rasulullah tidak ambil peduli Ali akan memadukannya dengan puteri musuh Allah. Fatimah mengadu: “Sesungguhnya kaummu berbicara bahwa kamu tidak marah demi puteri kamu. Sekarang ini Ali akan menikahi puteri Abu Jahal.”

Sikap atau tuduhan orang ramai ini merupakan fitnah kepada Fatimah. Ia akan menyebabkan Fatimah berprasangka ayahnya tidak peduli tentangnya dan pergeseran hubungan antara anak dan ayah boleh menjejaskan nilai agama seorang anak. Padahal yang benar Rasulullah sentiasa prihatin lagi mengambil berat hal-ehwal puterinya. Oleh itulah setelah mendapat aduan Fatimah, Rasulullah terus berdiri dan bersabda kepada orang-orang yang membuat fitnah tersebut: “Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah darah dagingku. Oleh kerana itu, aku tidak suka apabila orang-orang memfitnahnya.” 

 

Fitnah, Kebimbangan Dan Kesakitan Fatimah

Berhubung dengan kes lamaran Ali ini jugalah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian daripadaku, sesungguhnya aku bimbang terjadi fitnah pada agamanya.” [Shahih Muslim, no: 4484/2449] Baginda juga bersabda: “Membimbangkan aku apa yang membimbangkannya (Fatimah) dan menyakiti aku apa yang menyakitinya.” [Shahih Muslim, no: 4482/2449] Fitnah, kebimbangan dan kesakitan apakah yang dimaksudkan oleh Rasulullah?

Bagi mendapatkan jawapannya, perhatikan bahawa apabila Rasulullah ingin membela Fatimah daripada fitnah, kebimbangan dan kesakitan, baginda bersabda di hadapan orang ramai. Ini menunjukkan sumber fitnah, kebimbangan dan kesakitan ialah orang ramai itu sendiri. Seandainya sumber fitnah, kebimbangan dan kesakitan ialah kerana Ali yang ingin berpoligami, memadai Rasulullah berbicara kepada Ali seorang sahaja.

Oleh itu sekali lagi ditegaskan bahawa fitnah, kebimbangan dan kesakitan yang dimaksudkan ialah tuduhan orang ramai konon ayahnya (Rasulullah) tidak mengambil peduli tentang Fatimah.

Ada yang berkata, ketika mensyarahkan hadis-hadis di atas Imam al-Nawawi berpendapat Rasulullah melarang Ali berpoligami kerana bimbang terjadinya fitnah rasa cemburu dalam diri Fatimah. Apa yang benar adalah, Imam al-Nawawi mengemukakan tiga pendapat yang menafsirkan hadis tersebut. Ia dapat diringkaskan sebagai berikut. Pertama: Ia menyakiti Fatimah dan dibimbangi berlaku fitnah kecemburuan ke atas Fatimah. Kedua: Ia adalah keutamaan yang Allah kurniakan kepada Fatimah, sehingga dengan itu beliau tidak layak dihimpunkan dalam satu keluarga poligami bersama puteri musuh Allah. Ketiga: Ia adalah hukum Allah di mana haram menghimpunkan dalam satu keluarga poligami seorang puteri Rasul Allah dan seorang puteri musuh Allah. Di antara tiga tafsiran ini, yang benar adalah pendapat yang ketiga kerana ia selari dengan hadis-hadis di atas. 

 

Fitnah Terkini Ke Atas Fatimah

Apabila segelintir orang masa kini menuduh Fatimah binti Rasulullah tidak sanggup dirinya dimadukan sehingga mengadu kepada ayahnya, mereka sebenarnya turut membuat fitnah kepada beliau (Fatimah). Sesiapa yang memfitnah ahli keluarga Rasulullah bererti menyakiti Rasulullah. Sesiapa yang menyakiti Rasulullah, dia tergolong dalam ayat berikut: Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. [al-Ahzab 33:57]

Semoga kita semua lebih berhati-hati apabila membicarakan hal-ehwal ahli keluarga Rasulullah. Tidak mengapa jika diri sendiri tidak bersedia hidup di alam poligami. Namun janganlah pula memfitnah ahli keluarga Rasulullah demi menjustifikasikan ketidak-sediaan tersebut.