Sekali sekala, setelah letih mengkaji dan menulis, saya merehatkan minda dengan menonton filem (movie) bersama ahli keluarga. Saya tidak ke pawagam kerana lazimnya banyak maksiat yang berlaku di dalamnya, tetapi menonton di rumah melalui pemain DVD. Filem yang menjadi pilihan pula lazimnya yang memiliki pengajaran di dalamnya, agar dapat diambil iktibar ke arah pembaikan.

Baru-baru ini saya menonton sebuah filem DVD berkenaan pasukan polis di sebuah bandar kecil di Amerika Syarikat. Hampir semua kes jenayah di bandar tersebut melibatkan anak-anak muda, seperti jenayah pecah rumah, merompak kedai, pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta pergaduhan di antara kumpulan yang berbeza.

fatherson.jpeg

Setelah ditangkap dan disoal-siasat, didapati hampir kesemua anak-anak muda tersebut berasal dari rumahtangga yang bermasalah. Masalah yang dimaksudkan tidak semestinya ibubapa yang berada di ambang perceraian, tetapi lebih kepada ibubapa yang sibuk bekerja sehingga tidak meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Selain itu terdapat juga ibubapa yang tidak memahami cabaran-cabaran anak mereka di usia remaja, lalu kerap menimbulkan konflik antara mereka dan anak-anak. 

Semua ini menyebabkan anak-anak mencari jalan lain bagi meraih perhatian (attention) dan kefahaman (understanding), dan di sinilah mereka mula menemui jalan-jalan yang sebenarnya mengarah ke aktiviti jenayah.

Lebih mencabar, di kalangan anggota polis bandar tersebut ada juga yang – tanpa disedari – anak-anak mereka turut terlibat dalam kes-kes jenayah. Sebabnya, ayah mereka terlalu sibuk mengurusi kes-kes jenayah sehingga mengabaikan anak-anak sendiri.

Hikmah atau pelajaran yang cuba ditonjolkan oleh filem ini adalah, hendaklah ibubapa – khususnya ayah – memainkan peranan yang lebih aktif dan bijak terhadap keluarganya. Antara kata-kata yang kerap kali disebut dalam filem tersebut adalah: “If only fathers play their role as fathers, most of the crimes in this town will be gone” (Seandainya para ayah memainkan peranan mereka sebagai seorang ayah, nescaya kebanyakan jenayah di bandar ini akan lenyap)

 

Wahai Ayah, Kalian Akan Disoal.

Apa yang cuba diketengahkan oleh filem tersebut sememangnya telah ditekankan oleh Islam sejak awal. Pertama sekali, seorang suami dan ayah adalah ketua keluarga yang di Akhirat kelak akan disoal kepimpinannya. Rasulullah bersabda: 

Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya. [Shahih al-Bukhari, no: 4801]

Aspek terpenting yang perlu diperhatikan oleh seorang ayah ialah agama anaknya. Apabila dikatakan agama, ia bukanlah “sudah khatam al-Qur’an atau belum?” sebagaimana yang lazim ditekankan oleh masyarakat kita. Namun apa yang perlu dididik dan ditekankan oleh seorang ayah ialah aqidah anaknya dan manhaj anaknya dalam beragama.

Berkenaan aspek agama ini, Allah telah mengingatkan: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [al-Tahrim 66:06]

 

Bagaimana Anak-Anak Kita?

Sebaik saja selesai filem tersebut, saya terkenangkan diri saya sendiri sebagai seorang ayah. Dalam kesibukan bekerja sebagai juruterbang, pengkaji, penulis, penceramah dan bergilir di antara isteri-isteri, bagaimana dengan keadaan anak-anak saya? Apakah saya meluangkan masa yang berkualiti bersama mereka? Adakah saya memahami cabaran-cabaran yang mereka hadapi sebagai remaja? 

Bagaimana pula dengan anak-anak anda wahai para pembaca yang saya hormati sekalian? Dalam rangka kesibukan bekerja mencari nafkah, apakah kita sudah meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak? Penting untuk dibezakan antara kualiti dan kuantiti. Sebahagian ayah ada yang meluangkan banyak masa bersama anak, namun masa tersebut ialah dengan menonton 22 orang mengejar sebuah bola pada pukul 3 pagi.

Dalam rangka kita sibuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat, baik dalam bentuk lisan atau penulisan, dalam bentuk kuliah atau artikel, apakah kita sudah memberi didikan agama kepada anak-anak kita? Janganlah urusan pendidikan agama anak-anak diserahkan kepada ustaz dan ustazah, padahal kitalah sebagai seorang ayah yang sepatutnya melaksanakan tanggungjawab ini.

Soalan-soalan di atas saya tinggalkan terbuka, kerana saya sendiri sebagai seorang ayah tidak dapat menjamin bahawa saya telah melakukan peranan saya dengan sempurna. Apa yang penting, hendaklah kita para ayah membahagikan masa dan tenaga yang seadilnya kepada anak-anak. Usah ditunggu panggilan talifon daripada pihak polis umpama filem di atas sebelum kita hendak berubah.