Dua tiga hari yang lepas, saya memiliki beberapa temujanji. Bagi setiap temujanji saya dan pihak yang akan bertemu telah menetapkan waktunya dan bersetuju untuk berjumpa pada waktu tersebut. Semua temujanji tersebut melibatkan sesama umat Islam. Tahukah anda apakah ciri istimewa berkenaan temujanji sesama umat Islam di Malaysia?

on_time.jpeg

Ya, kebanyakan mereka tidak menepati waktunya.

Alhamdulillah di pihak saya, saya berusaha sebaik mungkin untuk menepati masanya apabila membuat temujanji. Jika berjanji untuk berjumpa pada pukul tiga petang, maka saya akan pastikan saya berada di tempat yang dijanjikan pukul tiga petang. Sejak awal saya telah mengkaji perjalanan ke tempat yang dijanjikan dengan menggunakan Google Maps. Jika tempat itu agak sukar, maka saya memasukkan alamatnya ke dalam sistem GPS di dalam kereta. Berdasarkan kajian dan persediaan ini, saya dapat menjangkakan berapa lama tempoh memandu ke tempat tersebut. Kemudian saya tambah sepuluh atau lima belas minit bagi memastikan saya tidak terlewat kerana kesesakan lalu lintas atau kesukaran mencari tempat memakir kenderaan.

 

Kadangkala, saya juga pernah terlewat. Namun kelewatan ini saya ubati dengan menghubungi pihak yang saya berjanji dengannya dan memaklumkan kelewatan saya. Seterusnya apabila tiba, sekali lagi saya meminta maaf kerana lewat. Demikian cerita di pihak saya. Masya Allah, la quwwata illa bilLah.

 

Ciri Temujanji Umat Islam Malaysia

Sayang sekali, pada pengamatan saya, merupakan satu ciri yang sebati ke atas kebanyakan umat Islam di Malaysia bahawa mereka tidak menepati masa yang dijanjikan. Jika telah dijanjikan pukul tiga petang misalnya, amat jarang mereka menepati waktu tersebut. Apa yang lazim saya temui ialah mereka lewat. Ada yang lewat sepuluh minit, ada yang lewat tiga puluh minit, bahkan ada yang lewat sejam lebih.

Lebih disayangkan, mereka tidak merasa telah melakukan apa-apa kesalahan di sebalik kelewatan tersebut. Apabila mereka tiba di tempat yang dijanjikan, mereka terus memberi salam dan berbual seperti biasa, seolah-olah kelewatan mereka itu bukanlah satu kesalahan.

Kelewatan yang begitu lazim seperti di atas bukan sahaja berlaku di kalangan umat Islam yang awam, tetapi juga berlaku di kalangan umat Islam yang khusus seperti para agamawan, ketua jabatan dan wakil-wakil pemerintah.

Anehnya, kelewatan seperti ini jarang-jarang berlaku apabila saya memiliki temujanji bersama mereka yang belum beragama Islam. Bahkan apabila kami berjanji untuk bertemu pada pukul tiga petang misalnya, masing-masing telah pun sampai di tempat yang dijanjikan pada pukul dua lima puluh lima petang. Kenapa agaknya?

 

Masa Dan Islam.

Pada analisa saya, ada beberapa sebab mengapa kebanyakan umat Islam di Malaysia tidak tahu menepati masa. Pertama, kita jarang-jarang menghadiri solat jamaah dan bertakbir bersama imam di rakaat pertama. Solat berjamaah di masjid atau surau tepat pada waktunya – sebagaimana ulas Maulana Asri satu masa yang lalu – sebenarnya mendidik umat Islam untuk mengurusi waktunya.

Sesiapa yang mendisiplinkan dirinya untuk solat berjamaah dan bertakbir bersama imam di rakaat pertama lazimnya memiliki pengaturan dan disiplin waktu yang baik. Ini kerana apa jua yang dilakukannya akan disusun tertib dan prioritinya agar dia dapat menghadiri solat berjamaah tepat pada waktunya. Atas kebiasaan menyusun tertib dan prioriti inilah, dia juga akan dapat memenuhi sesuatu temujanji tepat pada waktunya.

Kedua, kebanyakan kita tidak menghargai masa. Ramai di antara kita yang membazir masa atau membiarkan masa berlalu dengan aktiviti sia-sia seperti bersembang kosong di kafeteria, melayari rangkaian sosial, bermesyuarat demi mesyuarat, menonton orang lain bersukan dan pelbagai lagi. Memandangkan masa bukanlah sesuatu yang bernilai, maka tiada usaha dilakukan bagi menepati masa. 

Ketiga, ada di antara kita yang menghargai masa. Namun tidak memiliki disiplin atau kesungguhan untuk mengurusi masa (time management). Kebanyakan perkara dilakukan pada saat akhir dan kerap kali apa yang dilakukan adalah dalam suasana terburu-buru kerana mengejar masa.

 

Waktu Islam Atau Waktu Malaysia?

Saya teringat beberapa tahun yang lalu apabila saya membuat temujanji untuk bertemu dengan seorang rakan yang bernama Shah Kirit Kakulal Govindji. Kami berjanji untuk bertemu pada pukul lapan malam. Lalu beliau bertanya kepada saya: “Lapan malam waktu Islam atau waktu Malaysia?”

“Err…apa tu?” saya bertanya penuh kehairanan.

“Owh. Waktu Islam ertinya tepat lapan malam. Waktu Malaysia ertinya lapan suku atau lapan setengah malam. Boleh juga bererti sembilan malam” Shah Kirit menjelaskan.

Saya ketawa sambil mengangguk-angguk faham, lantas menjawab: “Lapan malam waktu Islam insya-Allah”.

Ayuh! Kita semua menjadikan waktu yang dijanjikan sebagai waktu Islam. Ayuh kita berusaha menepati waktu tersebut sebaik mungkin. Andai terlewat, maka khabarkanlah kelewatan itu lebih awal dan mohon maaflah. Jangan menjadikan kelewatan satu kebiasaan sehingga menjadi ciri khusus umat Islam Malaysia.