Angka 1.4 juta yang saya maksudkan merujuk kepada negara Iraq. Dalam satu kiraan, dianggarkan sebanyak 1.4 juta warga Iraq telah meninggal dunia sejak negara Iraq dijajah oleh Amerika Syarikat dan sekutunya pada tahun 2003.

          Ketika saya terbaca akan jumlah kematian ini, segera terlintas di fikiran saya apakah yang menyebabkan semua ini berlaku. Saya tidak terus menuduh pentadbiran Amerika Syarikat sebagai bertanggungjawab atas jumlah ini, tidak juga ke atas bangsa Yahudi. Pada saya terdapat beberapa faktor lain yang telah membantu, memudah dan meyokong mereka sehingga akhirnya memangsakan 1.4 juta warga Iraq. Faktor-faktor itu terletak di kalangan umat Islam sendiri, iaitu:

          Mempercayai Berita Dari Orang Fasik.Sama-sama kita mengetahui peringatan daripada Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” [al-Hujurat 49:06]

          iraq_honesty.jpgDalam konteks Iraq, ayat di atas dibaca sebagai berikut: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu agensi-agensi perisikan negara kufar dengan berita bahawa Iraq memiliki senjata kemusnahan besar-besaran (WMD: Weapons of Mass Destruction), maka selidikilah kebenarannya, supaya dengan sebab kejahilan kamu, kamu tidak menyokong gerakan sekutu tentera kufar yang ingin menjajah negara umat Islam sehingga akhirnya kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

          Di kalangan umat Islam, ada yang menyokong penjajahan oleh tentera bersekutu semata-mata kerana menerima berita agensi perisikan mereka bahawa Iraq memiliki WMD. Terbukti beberapa ketika selepas penjajahan tahun 2003 itu bahawa Iraq tidak memiliki apa-apa senjata WMD. Seandainya umat Islam sejak awal menyelidik laporan dari agensi-agensi perisikan tersebut, nescaya mereka tidak akan terjebak dalam kesalahan menyokong penjajahan tentera kufar ke atas bumi Islam.

          Bersekutu Dengan Pihak Kufar.Dalam sebuah ayat yang lain Allah telah mengingatkan kita: “Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” [al-Anfal 8:73]

         Teringat saya bahawa sebelum Amerika Syarikat melancarkan penjajahan mereka ke bumi Iraq, mereka menghantar wakil-wakil pentadbiran negara untuk menemui para pemimpin negara lain. Wakil-wakil itu mengemukakan bukti bahawa konon Iraq memiliki WMD dan seterusnya menjemput negara-negara tersebut untuk bersekutu dengan Amerika Syarikat. Seingat saya, kebanyakan negara Islam mempercayai konon Iraq memiliki WMD, namun mereka tidak turut serta menjadi sekutu Amerika Syarikat.

          Ini baik tetapi tidak cukup baik, kerana negara-negara umat Islam – sebagaimana ayat 73 surah al-Anfal di atas – sepatutnya membentuk sekutu yang membela Iraq dan mempertahankannya dari serangan sekutu kufar. Sayang sekali ini tidak berlaku, maka “…berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar” sebagaimana yang masih berlaku sehingga hari ini di bumi Iraq.

          Menentang Pemerintah Muslim.Sebahagian umat Islam yang menyokong penjajahan Iraq tidak menyandarkannya ke atas faktor WMD sahaja, tetapi juga ke atas faktor kepimpinan. Berita yang banyak tersebar ialah konon Saddam Hussein ialah seorang pemimpin yang zalim. Maka ramai yang mengganggap jika beliau dapat ditumbangkan dan diganti dengan pemimpin baru secara demokrasi, kezaliman ke atas rakyat Iraq akan berhenti.

          Salah. Rasulullah SAW telah mengingatkan: “Ketahuilah! Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu). [Shahih Muslim, 1855-2]

          Termasuk kemaksiatan kepada Allah ialah memimpin secara zalim. Sungguhpun begitu, kezaliman pemimpin tidak menghalalkan rakyatnya untuk menarik ketaatan daripadanya. Ia juga tidak menghalalkan umat Islam untuk menyokong kejatuhan pemimpin itu. Kezaliman rakyat menarik ketaatan dari pemimpin memberi kesan yang jauh lebih buruk dari kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin itu sendiri. Ini dapat diperhatikan hampir setiap hari di bumi Iraq sehingga ke hari ini.

          Akhir kata, sama-samalah kita renung. 1.4 juta umat Islam Iraq yang terbunuh, adakah ia dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang kufar, atau adakah kita umat Islam turut memiliki saham di dalamnya? Seterusnya, apakah yang perlu kita lakukan untuk mengelak kesalahan yang sama dari berulang…sekalipun di Malaysia?