terror_in_many_languages.jpg

Peristiwa pengeboman dua buah hotel mewah di Jakarta beberapa bulan yang lalu menjadi fokus saya kali ini. Berita-berita perdana pantas menyandarkannya sebagai aksi terror daripada kalangan terroris Islam. Umat bumi secara umum, umat Islam secara khusus segera mengangguk kepala tanpa berfikir panjang.      


Peristiwa pengeboman dua buah hotel mewah di Jakarta beberapa bulan yang lalu menjadi fokus saya kali ini. Berita-berita perdana pantas menyandarkannya sebagai aksi terror daripada kalangan terroris Islam. Umat bumi secara umum, umat Islam secara khusus segera mengangguk kepala tanpa berfikir panjang.

Definisi aksi terror ialah satu tindakan ganas bertujuan melahirkan rasa takut kepada masyarakat. Rasa takut ini diupayakan demi mencapai sesuatu objektif, di mana objektif ini berbeza di antara individu, kelompok atau pihak. Persoalannya, benarkah apabila berlaku sesuatu aksi terror, ia semestinya diupayakan oleh kalangan umat Islam?

Kebanyakan sumber berita menyatakan “Ya, ia diupayakan oleh terroris Muslim.” Akan tetapi sama-sama kita ketahui bahawa hampir semua berita, sama ada dari aspek pemilikan atau sumber, dikuasai oleh kaum bukan Islam. Segelintir ada yang dimiliki atau bersumber daripada umat Islam. Namun jumlah yang kecil ini sering menyebabkan ia dihanyutkan ombak berita perdana milik bukan Islam. Atau ada juga yang hanya bertaklid kepada sumber bukan Islam tanpa semakan lanjut.

Sebenarnya ada beberapa kemungkinan yang perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu aksi terror disandarkan ke atas umat Islam. Pertama ialah kemungkinan aksi itu berasal dari kuasa-kuasa besar dalam rangka keinginan mereka untuk campur tangan pentadbiran sesebuah negara Islam. Mereka sendiri yang merencana aksi terror agar dapat dijadikan bukti kelemahan perisikan dan pertahanan negara terbabit. Seterusnya mereka akan memaksa negara itu menerima campur tangan mereka, bukan untuk memperbaiki tetapi mempengaruhi perisikan dan pertahanan negara.

Kedua, kemungkinan aksi itu direncana oleh pemilik bangunan untuk mengaut bayaran insuran berjumlah jutaan ringgit. Pada awalnya mereka sendiri yang membayar syarikat insuran caruman khas untuk merangkumi kerosakan aksi terror. Kemudian mereka merencana aksi terror agar mendapat balik bayaran berlipat kali ganda dari apa yang asalnya mereka carumkan. Dengan bayaran itu, mereka dapat membuat ubah suai serta hiasan dalaman yang baru, sekali gus memberi nafas yang baru kepada bangunan mereka. Dibiayai juga beberapa sistem keselamatan yang baru untuk memberi keyakinan kepada pengunjung bangunan bahawa aksi terror yang sama tidak akan berulang lagi.

Ketiga, ia mungkin berpunca daripada umat Islam. Bukan kerana ia ajaran Islam tetapi secara kebetulan yang mengupayakannya beragama Islam. Sebagai contoh, apabila ada umat Islam yang memungkiri janji, sikap ini tidak berasal dari ajaran Islam tetapi yang melakukannya secara kebetulan beragama Islam. Demikianlah juga, mungkin ada di kalangan umat Islam yang mengupayakan aksi terror. Akan tetapi mereka melakukannya lebih kepada sebab-sebab lain seperti balas dendam, tekanan jiwa atau ingin menjadi masyhur dalam suasana kehidupan yang serba merudum.

Keempat, ia mungkin berpunca daripada umat Islam atas tafsiran mereka terhadap ayat: “Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun (terror), disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya.” [Ali Imran, ayat 151]

Ada segelintir umat Islam yang memahami ayat di atas sebagai keizinan atau perintah untuk menakutkan orang bukan Islam dan umat Islam yang menyokong orang bukan Islam dengan aksi terror. Akan tetapi pemahaman ini tidak tepat kerana ayat di atas secara khusus merujuk kepada suasana peperangan di mana umat Islam pada saat itu memang diperintahkan melakukan apa jua aksi untuk menggerunkan musuh. Adapun secara umum di suasana selain peperangan, kita tetap dianjurkan menggerunkan orang bukan Islam melalui akhlak yang mulia, disiplin yang tinggi, persatuan yang kukuh, ilmu yang kehadapan, ekonomi yang maju, kelengkapan tentera yang canggih dan pelbagai lagi. Ia bukan dengan aksi terror seperti pengeboman yang mengorbankan orang serta harta awam.

Berdasarkan kemungkinan ketiga dan keempat, kesalahan melakukan aksi terror tidak boleh disandarkan ke atas Islam tetapi ke atas individu yang mengupayakannya. Nama Islam tidak boleh dikaitkan dalam aksi seperti ini. Lebih dari itu di antara semua kemungkinan di atas, kemungkinan keempat sangatlah kecil. Kemungkinan pertama, kedua dan ketiga jika dijumlahkan adalah jauh lebih besar berbanding kemungkinan keempat. Sayang sekali, kemungkinan keempatlah yang sering ditonjolkan sama ada oleh kalangan Islam atau bukan Islam.

Di sebalik semua ini, wujud beberapa aksi terror dalam sejarah yang bukan lagi satu kemungkinan. Seperti aksi terror yang dilakukan ke atas penduduk peribumi “Indian” apabila orang-orang Eropah menjelajah ke bumi Amerika. Atau aksi terror ke atas ratusan ribu, bahkan jutaan manusia apabila berlakunya perang dunia pertama dan kedua. Tidak ketinggalan aksi terror ke atas umat Islam di bumi Palestin.

Bahkan bersamaan dengan peristiwa pengeboman hotel mewah di Jakarta, sedang berlaku aksi terror yang jauh lebih hebat di bumi Afghanistan. Tentera kuasa-kuasa besar melakukan serangan hebat atas alasan membasmi saki-baki pejuang Taliban. Serangan ini tidak disebut sebagai aksi terror oleh pihak berita tetapi diberi nama indah “Peperangan Ke Atas Terroris”. Jumlah korban umat Islam Afghanistan yang besar hanya diberi liputan berita yang kecil sementara jumlah korban yang kecil di Jakarta diberi liputan berita yang besar. Semua ini menyebabkan kita tertanya-tanya, “Siapakah terroris yang sebenar?”