Dalam peluang kali ini, saya ingin berkongsi tiga kisah benar berkenaan orang yang berbuat baik. Perbuatan baik tersebut dilakukan bukan kerana mengharapkan imbalan, bukan kerana ejen jualan sekian-sekian produk dan bukan untuk mendapat nama. Ia semata-mata atas dasar berbuat baik. 

giving_from_the_heart.jpg 


Kisah pertama berlaku ketika saya ingin membeli tiket memakir kenderaan. Mesin tiket itu beroperasi tanpa pengendali di mana kita sendiri yang memasukkan syiling, menaip nombor kenderaan dan mengambil tiket yang keluar untuk diletakkan di cermin depan kereta. Cara seperti ini merupakan kelaziman di bandar-bandar besar, khasnya Lembah Klang.

 

Mengorek-ngorek kocek saya, tiada duit syiling yang ditemui. Sambil memandang-mandang ke kedai-kedai berhampiran, hati saya mengeluh: “Ahh! Susah juga nak tukar duit seringgit kepada syiling kerana kebanyakan kedaipun kekurangan duit syiling.” Tiba-tiba datang seorang budak berumur belasan tahun yang memakai seluar pendek dan t-shirt Pagoda: “Takde syiling ke?”

 

“Hmm..ya, takde syiling” jawab saya penuh waspada. Entah siapa pula yang datang ni. “Tak apa saya ada syiling lebih, kita tukar dengan duit seringgit OK?” “OK”, jawab saya ringkas, masih berwaspada sambil mengamati budak itu dari atas ke bawah, bawah ke atas. Budak itu mengambil sebuah kotak mancis dari kocek seluarnya dan dikeluarkan beberapa syiling yang mencukupi jumlah satu ringgit. “Terima kasih” saya ucapkan setelah berlaku pertukaran antara kami. “Sama-sama” jawabnya sambil terus berjalan.

M 

Saya masih tercegat di situ. Pertama kali saya berjumpa orang yang menjadikan kotak mancis sebagai dompet menyimpan duit syiling. Namun di sebalik itu, hatinya tetap mulia untuk membantu saya yang tidak dikenalinya. Alhamdulillah.

 

                                                                   *****

 

Jalan berhampiran kawasan sekolah pada lewat petang Jumaat itu dipenuhi kereta yang bergerak perlahan-lahan, bersesak-sesak. Sama ada bekerja keras atau lembut, masing-masing pemandu hanya fokus kepada ingin pulang ke rumah setelah seharian di pejabat. Nun jauh di hadapan kelihatan seorang anak murid berbaju melayu yang ingin melintas jalan. Dengan beg sandang yang kelihatan lebih berat berbanding dirinya, jelas kelihatan kehampaan pada raut wajah. Sudah agak tentu dia menunggu lama di situ tanpa dapat melintas jalan.

 

Tiba-tiba sebuah kereta di hadapan berhenti mengejut sehingga menyebabkan kereta-kereta di belakang juga berhenti. Terus timbul pertanyaan: “Ada insiden kereta mencium kereta ke?” Ternyata tidak. Pemandu kereta yang berhenti itu keluar dari kenderaannya, terus mengambil tangan anak murid yang ingin melintas dan memimpinnya melintasi jalan. Kemudian dia mengangkat tangan umpama polis trafik kepada lalulintas yang bertentangan arah, menyuruh mereka berhenti lalu memimpin tangan anak murid itu sehinggalah sampai ke seberang jalan. Akhirnya dia melintas kembali, memasuki kereta yang masih terbuka pintunya dan meneruskan pemanduan.

 

                                                                  *****

 

Kereta yang sekali sekala terasa terapung-apung di atas air menyebabkan kedua-dua tangan saya memegang stering dengan kejap. Iklim hujan lebat di lebuhraya menuju ke KLIA menyebabkan jalan dinaiki air sekadar seinci dua. Cara terbaik untuk memandu dalam suasana terapung-apung ini ialah kejap memegang stering agar kereta terus ke hadapan. Jangan diubah arah stering kerana perubahan yang sedikit akan menyebabkan kereta berputar seperti gasing.

 

Dalam kesamaran hujan lebat, ternampak sebuah kereta di hadapan yang mula mengelongsor ke kiri ke kanan umpama seekor ular, lalu akhirnya berpusing dua pusingan dan tersadai di tepi jalan. “Kereta nampaknya OK, tetapi bagaimana dengan penghuninya?” bisik hati saya kecemasan. Akan tetapi dalam pakaian seragam yang sudah bersiap sedia untuk memulai penerbangan, bagaimana hendak saya bantu? Kerisauan saya terubat apabila melihat sebuah kereta lain berhenti di tepi jalan. Dengan menggunakan payung, pemandunya berlari-lari anak untuk melihat keadaan penghuni kereta yang terbabas itu. “Alhamdulillah, ada insan yang sudi membantu sekalipun dalam keadaan cuaca seperti ini” lintas hati saya kelegaan.

 

Demikianlah tiga kisah benar berkenaan insan yang berbuat baik sesama insan yang sememangnya ditekankan oleh Islam. Bahkan dinyatakan dalam sebuah hadis yang sahih bahawa iman terdiri daripada tujuh puluh bahagian dan salah satu daripadanya ialah menjauhkan duri dari jalan yang merupakan lalu lintas orang ramai. Pengajaran yang ingin disampaikan oleh hadis ini bukan sekadar menjauhkan duri tetapi ciri orang beriman yang lazim berbuat baik kepada insan, haiwan dan alam.

M

Semoga tiga kisah di atas menjadi pemagkin dan motivasi kepada diri saya dan para pembaca sekalian untuk berlumba-lumba berbuat kebaikan. Lakukannya kerana kita orang Islam, di mana berbuat baik merupakan salah satu ciri keimanan kita. Oh-ya! Saya terlupa untuk menerangkan, bahawa insan yang berbuat baol dalam kisah pertama dan kedua berbangsa Cina manakala dalam kisah ketiga berbangsa Punjabi.