Saya membalik-balik mukasurat dua edisi lepas Majalah i sambil mengamati ruangan-ruangan yang terkandung majalah_i_hafiz_comel.jpgdi dalamnya. Edisi pertama memaparkan gambar seorang tokoh agama yang jelas terserlah kewibawaannya manakala edisi kedua memaparkan gambar seorang johan membaca al-Qur’an yang jelas terserlah kecomelannya. 

         Tujuan saya bukanlah untuk mencari kelemahan majalah atau memberi idea pembaikan. Akan tetapi lebih kepada mencari ilham tentang apa yang sepatutnya saya tulis, kupas dan persembahkan kepada para pembaca yang jumlahnya kini telah mencapai puluhan ribu orang.

          Beberapa minggu yang lepas, editor Majalah i, Ahmad Yani atau lebih dikenali dengan nama manjanya – Che Mat – telah menghubungi saya untuk memberikan saya satu ruang setiap bulan. “Alhamdulillah, ini tawaran yang baik” bisik hati saya. Ruangan tersebut panjangnya sekadar satu mukasurat, menyentuh isu-isu yang bersifat pemikiran dan semasa, secara santai dan mudah. Saya terfikir, macam mana hendak menggerakkan fikiran pembaca jika saya sendiri masih terfikir apa yang hendak disentuh dan dituliskan?
 
                                                                                           ***** 
 

          Senaskah surat khabar Hindustan Times diselitkan di bawah pintu bilik hotel. Dari meja tulis saya, jelas kelihatan gambar Barack Hussein Obama terpapar besar di muka depan surat khabar berbahasa Inggeris yang terluas edarannya di India.   “United States’ first black presiden – elect – carries the world’s hope that he can help” demikian antara yang ditulis dalam surat khabar tersebut. Menonton siaran TV satelit dari bilik hotel saya di Delhi pada tarikh 6 November itu menyaksi hampir semua saluran berita menonjolkan kemenangan Obama dan harapan yang diinginkan daripada beliau.

          Diakui, terdapat banyak sebab kemenangan Obama ditonjolkan. Antara yang patut diletakkan pada tangga pertama ialah bagaimana seorang berkulit hitam dapat menjadi presiden di sebuah negara yang mengutamakan kaum kulit putih. Sekalipun keturunan Obama tidak pernah menjadi hamba abdi di Amerika Syarikat, secara umumnya kaumnya yang disebut sebagai African-American pernah satu masa dahulu menjadi hamba abdi yang dikerjakan secara paksaan. Bagaimana seseorang dari kaum yang diperintah menjadi pemerintah patut menjadi renungan kita semua.

          Kehadiran Obama juga sangat-sangat diharapkan. Sebagai seorang berkulit hitam yang berpejabat di Rumah Putih (White House), beliau diharapkan untuk memulihkan kesihatan ekonomi negaranya kerana ia sangat berkaitan dengan kesihatan ekonomi negara sedunia. Lebih penting, beliau diharapkan untuk menyembuhkan dunia setelah lapan tahun luka parah dibawah pemerintahan yang digantinya.

          Namun disebalik semua harapan itu, ramai yang mengetahui bahawa corak pemerintahan beliau akan banyak dipengaruhi oleh tangan-tangan yang tersembunyi. Malah dikatakan tangan-tangan itulah yang memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan hala-tuju pemerintahan negaranya.

          Sejauh mana kebenaran hal ini, marilah sama-sama kita tunggu dan lihat. Saya sendiri telah meletakkan sebuah batu pengukur, bahawa kesan positif dari pemerintahan Obama paling awal akan dapat diukur dengan memerhatikan nasib kaum kulit hitam di Amerika Syarikat. Apakah mereka tetap ditahap yang sama atau ada perubahan yang membela mereka?                                                                    

 

*****  

 

          Antara yang direnungi oleh saya disebalik perubahan warna politik di bumi Amerika Syarikat ialah bagaimana azam dan usaha akan berakhir dengan keputusan yang diharapkan. Sekalipun keputusan itu pada awalnya dianggap agak mustahil untuk dicapai. Namun dengan kesabaran, ketabahan, keteguhan dalam berazam dan berusaha, keputusan yang diharapkan akan tercapai.

          Renungan ini saya kaitkan dengan usaha kita sebagai umat Islam. Kita mahu berubah daripada yang diperintah menjadi pemerintah. Akan tetapi sering kali kemahuan ini kita usahakan secara terburu-buru, emosi dan kejahilan. Jarang-jarang ditemui sifat kesabaran, ketabahan, keteguhan dalam berazam dan berusaha.

          Bahkan adakalanya kita memandang terlalu jauh ke hadapan sehingga melupakan apa yang berada di dalam diri sendiri. Kita hendak menjadikan Islam memerintah negara akan tetapi kita tidak menjadikan Islam memerintah diri kita. Bukan sepatutnya kita menegakkan Islam secara keseluruhan dalam diri kita, kemudian baru beralih kepada menegakkan Islam dalam pemerintahan negara?