Soalan:

Kemusykilan saya mengenai memakan daging mentah. Menurut pendapat sesetengah pihak, ia haram dan ada pula mengatakan makruh. Manakah yang betul?

Raja Amalina Raja Hasan, Ara Damansara, Selangor.

 

Jawapan:

Perkara asas yang perlu diketahui ialah, dalam urusan manusia semuanya adalah halal (harus, dibolehkan) kecuali apabila terdapat dalil yang menyatakan sebaliknya. Rasulullah bersabda: Yang halal adalah apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitabnya dan yang haram adalah apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitabnya. Dan apa yang didiamkan oleh Allah maka ia adalah sebuah kelapangan daripada-Nya.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1726]

Oleh itu boleh memakan daging yang mentah kerana tidak ada dalil di dalam al-Qur’an mahu pun al-Sunnah yang mengharamkannya. Pendapat yang menyatakan ia haram atau makruh, mereka mempertimbangkan kemungkinan wujudnya darah yang masih mengalir pada daging mentah tersebut. Ini berdasarkan firman Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah najis.” [al-An’aam 6:145]

Namun jika sudah dipastikan tidak ada darah yang mengalir pada daging mentah tersebut, maka ia halal untuk dimakan.