Soalan:

Apakah hukumnya jika seseorang itu membaca al-Quran di tepi-tepi jalan untuk dapatkan simpati supaya orang bersedekah kepadanya?

Ainur, Kapar, Klang.

 

Jawapan:

Membaca al-Qur’an ialah satu ibadah kita kepada Allah. Apa jua ibadah, yang penting ialah niat yang ikhlas. Maksud niat yang ikhlas ialah seseorang itu beribadah kepada Allah tanpa mempedulikan pengaruh daripada sesama makhluk, baik yang baik atau yang buruk.

Apabila seseorang itu membaca al-Qur’an di tepi-tepi jalan dengan harapan orang bersedekah kepadanya, bererti dia mengharapkan pengaruh daripada sesama makhluk dalam beribadah, yakni pengaruh memperolehi sedekah. Ini tentu saja satu kesalahan.

Di sini anda memiliki peluang untuk memberikan sedekah yang terbaik baginya, iaitu sebuah nasihat agar beliau tidak lagi membaca al-Qur’an di tepi-tepi jalan. Sebaliknya hendaklah dia berusaha untuk mencari rezeki Allah sebagaimana sabda Rasulullah:

Sungguh seseorang di antara kalian mengambil tali, lalu dia pergi dengan mengikat (dan memikul) kayu bakar di belakangnya lalu dijual, maka dengan itu Allah menyelamatkan air mukanya, adalah lebih baik bagi dia daripada meminta-minta kepada manusia, sama ada dia diberi atau tidak diberi (sedekah). [Shahih al-Bukhari, no: 1378]