Soalan:

Saya berasa sangsi dengan kawan saya yang beragama Islam ingin menyertai kumpulan koir sempena Hari Natal. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Ustaz tentang perkara ini.

Naini, Segamat, Johor.

 

Jawapan:

Sebagai umat Islam, kita menghormati agama lain termasuklah perayaan-perayaan agama tersebut. Kita tidak menghalangnya atau mencelanya. Akan tetapi kita tidak boleh turut serta atau menyokongnya kerana tindakan sedemikian bererti mengakui kebenarannya.

Sebagai umat Islam, kita berakidah bahawa hanya ada satu tuhan iaitu Allah. Kita tidak berakidah bahawa wujud tuhan-tuhan lain selain Allah atau Allah memiliki anak. Apabila kita menyertai atau menyokong agama lain, bererti kita mengakui wujud tuhan-tuhan selain Allah. Apabila kita menyertai atau menyokong Hari Natal dengan menyertai kumpulan koir umpamanya, bererti kita mengakui Allah memiliki anak (Jesus) yang disambut hari lahirnya pada 25 Disember setiap tahun. Sudah tentu ini satu kesalahan.

Allah berfirman: Dan mereka berkata: Allah mempunyai anak. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dialah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. [al-Baqarah 2:116]

Oleh itu tidak boleh menyertai kumpulan koir sempena Hari Natal. Sikap yang benar ialah anda menasihati kawan tersebut agar beliau memahami persoalan ini dengan baik.