Soalan:

Saya pernah bernazar iaitu berpuasa 20 hari setelah mendapat 2A dalam peperiksaan. Kini sudah enam tahun berlalu, tapi saya tidak menunaikan nazar. Saya pernah berpuasa tetapi diniatkan bersama puasa ganti. Adakah puasa saya terbatal? Bolehkah saya membayar fidyah, sedangkan saya sihat tubuh badan?

Fadilah, Pedas, Negeri Sembilan.

 

Jawapan:

Tidak boleh meniatkan dua atau lebih puasa dalam satu hari kerana setiap ibadah puasa tersebut memiliki hari-harinya yang tersendiri. Seandai boleh meniatkan dua atau lebih puasa dalam sehari, maka kita tidak perlu berpuasa Ramadhan 30. Memadai dengan puasa sehari tetapi dengan niat untuk 30 hari.

Apa pun, yang lepas biarkan lepas. Allah adalah tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi, moga-moga Allah menerima puasa ganti tersebut. Namun nazar adalah satu bentuk sumpah janji kepada Allah dan ia hendaklah dikotakan. Anda boleh membayar fidyah, yakni memberi makan sepuluh orang miskin makanan yang biasa anda dan keluarga anda makan [al-Maidah 5:89]

Akan tetapi jika anda menunaikan nazar tersebut adalah lebih utama, apatah lagi berpuasa selama 20 hari bukanlah sesuatu yang sukar. Dengan disiplin, keazaman dan berdoa memohon pertolongan Allah, pasti anda akan dapat menunaikannya.