Soalan:

Ayah saya tidak solat. Saya takut untuk menegurnya kerana ayah garang. Saya sentiasa berdoa agar dibukakan pintu hatinya sekaligus menjadi imam untuk kami solat jamaah di rumah. Bagaimana cara untuk saya sedarkan ayah saya ini?

Huda, Gemas, Negeri Sembilan.


 

Jawapan:
 

Jangan menegur tetapi ajaklah untuk solat. Teguran memiliki ciri ketegasan manakala ajakan memiliki ciri hikmah dan lemah lembut. Ada beberapa cara untuk mengajak ayah solat seperti membiarkan pintu bilik terbuka ketika anda sedang solat, sengaja membiarkan buku atau VCD berkenaan solat di ruang tamu dan secara tidak langsung berbicara tentang solat ketika bersama ahli keluarga. Namun yang terbaik ialah secara empat mata mengajak ayah bersolat. Dia mungkin akan marah namun jauh di hatinya dia akan menyayangi anak yang sudi mengajaknya kepada kebaikan.

Adapun berdoa agar Allah membuka hatinya ke arah mendirikan solat, maka ia betul. Namun mendoakan ayah menjadi imam di rumah adalah salah kerana tempat solat orang lelaki ialah berjama’ah di masjid atau surau sebagai makmum.