Soalan: 
Apa pandangan Islam berkenaan mendermakan organ kepada orang lain? Bukankah apabila seseorang itu meninggal dunia, dia – termasuk organ-organnya – mesti ditanam?
Dafrina, Tangkak, Johor.
 
Jawapan:
Dalam disiplin ilmu Islam terdapat kaedah atau formula yang menyatakan bahawa apabila bertembung antara mudarat yang kecil dan manfaat yang besar, maka hendaklah diutamakan manfaat yang besar itu.
Mengeluarkan organ orang yang sudah meninggal dunia adalah satu mudarat, kerana ia menyebabkan mayat kelihatan cacat dan dikurangi kesempurnaannya. Sebaliknya mendermakan organ itu kepada pasakit yang memerlukannya adalah satu manfaat kerana ia membolehkan pesakit itu meneruskan kehidupan. Di samping itu, pendermaan organ dapat menjana pahala secara berterusan kepada pendermanya. Maka di sini jelas nampak perbezaan di mana mudarat mendermakan organ adalah jauh lebih kecil berbanding manfaatnya yang amat besar.

Justeru dibolehkan mendermakan organ, bahkan ia adalah satu amalan mulia yang patut diberi perhatian oleh semua muslimin dan muslimat.