Soalan:

Seorang perempuan keluar rumah dengan mendedahkan aurat, dengan maksud mendedahkan kecantikannya. Adakah perempuan itu dianggap berzina?

Ain, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Hadis berikut menjadi rujukan: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas setiap anak Adam bahagiannya dari zina. Dia pasti mendapatkannya dan tidak dapat mengelak. Zina mata adalah melihat, zina lisan adalah berbicara, nafsu berangan-angan dan mengharapkan sementara faraj (kemaluan) membenarkan atau mendustakannya." [Shahih al-Bukhari, no: 6243].

Dalam hadis di atas Allah menerangkan bahawa sudah menjadi kebiasaan bagi lelaki dan wanita untuk saling melihat, berbicara dan berangan-angankan satu sama lain. Semua ini menghampirkan mereka kepada zina di mana langkah terakhir yang memuktamadkan perbuatan zina ialah bertemunya kemaluan lelaki dan wanita.

Hadis ini berperanan sebagai amaran dan pencegahan. Ketetapan atau kebiasaan yang dimaksudkan bukanlah bererti kita membiarkannya atau rela terhadapnya, tetapi agar kita lebih berwaspada dan berusaha sungguh-sungguh untuk menjauhinya. Umpama di katakan: "Sudah menjadi ketetapan berlaku banyak kemalangan jalanraya pada musim percutian, sukar untuk dielakkan". Ini bukan bererti kita boleh memandu secara cuai, sebaliknya bererti lebih berwaspada ketika memandu dan berusaha sungguh-sungguh untuk mengelakkan kemalangan. Pandangan, perbicaraan dan harapan nafsu semuanya akan mengarah kepada zina. Atas sebab inilah juga disebut sebagai zina. Justeru sebagaimana zina diharamkan, maka pandangan dan perbicaraan yang disengajakan tanpa sebarang keperluan adalah haram juga.

Demikian juga diharamkan lintasan nafsu dan khayalan.Seseorang yang keluar rumah dengan sengaja mendedahkan auratnya, dia melakukan zina kerana membuka peluang kepada zina mata. Maka hukumnya haram baginya yang mendedahkan aurat dan bagi orang yang memandang aurat itu.