Soalan:

Apakah hukumnya jika saya berkenalan dengan lelaki yang bukan mahram di internet. Adakah berdosa jika saya memberikan maklumat peribadi kepadanya?

Safura Adli, Pulau Pinang.


Jawapan:

Di dalam Islam, perkara yang dilarang bukan sahaja apabila seseorang itu melakukan kesalahan tetapi turut dilarang ialah perkara-perkara yang boleh membawa ke arah kesalahan itu. Oleh itu sebagai contoh, Islam bukan sahaja melarang zina tetapi melarang apa-apa yang boleh menyebabkan seseorang itu menghampiri zina. allah berfirman:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." [Surah al-Isra', ayat 32].

Pada masa kini terdapat sangat banyak pendusta dan orang-orang yang suka mengambil kesempatan dengan cara yang salah. Jika berkenalan dengan cara bersemuka kita menghadapi kesukaran untuk mengukur kejujuran seseorang, maka bagaimana pula dengan orang yang berselindung di sebalik skrin komputer? Tentu lebih sukar. Orang-orang ini pada awalnya akan berpura-pura menampakkan kejujuran. Namun apabila kita mula yakin kepada mereka, ketika itulah mereka mengorak langkah untuk menipu, berbuat zalim dan sebagainya.

Oleh itu berkenalan dengan lelaki bukan mahram melalui apa cara jua pada dasarnya tidak salah. Namun ia berkemungkinan untuk mengarah atau menghampirkan kita kepada sesuatu yang dilarang oleh agama. Maka untuk mengelakkan diri dari menalukan perkara yang dilarang oleh agama, hendaklah kita sejak awal menjauhi perkara-perkara yang boleh mengarah kepada larangan itu.

Cara yang terbaik lagi selamat adalah berkenalan dengan lelaki yang bukan mahram melalui orang tengah yang kita yakini, yang juga mengenali kejujuran lelaki tersebut.