Soalan:

Saya telah bersumpah dengan nama Allah untuk melakukan sesuatu perkara tetapi akhirnya tidak dapat melakukan perkara itu. Bolehkah saya memungkiri sumpah itu? 

Farhana, Melaka.


Jawapan:

Sumpah hendaklah dengan nama Allah sahaja sebagaimana amaran Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.” [Shahih Muslim, no: 153] Dengan itu sebelum seseorang itu bersumpah, dia akan berfikir beberapa kali kerana menyedari ia adalah satu tindakan besar yang melibatkan tuhannya. Berdasarkan kesedaran ini, sumpah bukan satu perbuatan ringan yang boleh dipandang mudah, apatah lagi dijadikan alat untuk berdusta.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan: ““Sesiapa yang mengambil hak seorang muslim dengan sumpahnya (yang dusta), maka sesungguhnya Allah mewajibkan baginya neraka dan mengharamkan ke atasnya syurga.” Lalu seorang (yang hadir bersama) bertanya kepada baginda: “Sekalipun terhadap sesuatu yang remeh ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “(Ya), sekalipun sebatang kayu arak (yang digunakan untuk bersiwak).” [Shahih Muslim, no: 137]

Jika seseorang memaksudkan sumpahnya lalu kemudian memungkirinya, maka dendanya adalah seperti dalam ayat 89 surah al-Maidah:

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.