Soalan:
Apakah hukum melintas di hadapan orang yang sedang solat?

Najwa, Pasir Mas, Kelantan.

Jawapan:
Orang yang bersolat wajib mengadakan sutrah, iaitu satu pembatas yang lebih tinggi dari permukaan umpama tiang, beg, bantal, payung atau tongkat yang diletakkan di hadapannya, dengan jarak yang mencukupkan dirinya untuk sujud [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 788]. Jika orang yang sedang solat telah mengadakan sutrah, maka dilarang melintas melainkan di sekeliling luar sutrah itu. Jika tidak dapat, maka hendaklah tunggu hingga pensolat selesai [Shahih al-Bukhari, no: 510]. Sesiapa yang melintas di antara pensolat dan sutrahnya, maka kesalahan tercatat di bahu pelintas.

Namun jika seseorang itu solat tanpa mengadakan sutrah sehingga dilintasi oleh orang lain, maka kesalahan tercatat di bahu orang yang bersolat. Ini kerana pensolat itu telah mengabaikan apa yang diwajibkan oleh agama ketika bersolat.