Soalan:

Saya ada membaca di internet bahawa beberapa produk yang memiliki tanda halal JAKIM dilaporkan memiliki bahan-bahan yang tidak halal di dalamnya. Apakah kita boleh terus menggunakannya?

Diana, Keramat, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Internet adalah satu sumber maklumat yang mudah lagi luas, namun tidak semestinya ia memiliki nilai yang tepat lagi benar. Sesiapa saja boleh meletak maklumat itu dan ini di dalamnya dan ramai pelayar alam maya yang terpedaya. Justeru sebagai seorang muslim yang bijak, jangan menerima maklumat daripada internet secara bulat-bulat melainkan disemak ketepatan sumber serta dikaji kebenarannya terlebih dahulu. Jika semakan dan kajian tidak dapat dilakukan, maka maklumat itu hendaklah diabaikan.

Kembali kepada soalan asal, tanda halal JAKIM atau mana-mana organisasi yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal lebih patut diyakini daripada laporan internet. Namun sebagai langkah pengguna yang bertanggungjawab, dianjurkan mengajukan laporan tersebut kepada pihak pengeluar sijil halal agar mereka dapat menyemaknya.