Soalan Saya amat rapat dengan ibubapa saudara sejak kecil dan kami sering bersalaman. Akan tetapi kini bila telah dewasa, saya keliru hukum bersalaman dengan orang yang tidak memiliki pertalian darah dengan saya. Apakah hukum bersalaman dengan bapa saudara saya itu? Fatimah, Jitra, Kedah.  Jawapan: Pada zaman Rasulullah s.a.w., ada sekumpulan muslimah yang datang untuk memberikan janji taat setia (bai‘ah) kepada baginda. Setelah melafazkan janji-janji itu, mereka bermaksud untuk bersalaman dengan Rasulullah sebagai pengikat janji taat setia. Rasulullah s.a.w. menerima janji taat setia mereka tetapi tidak bersalaman dengan mereka, seraya bersabda: “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita.” [Shahih Sunan An-Nasa’i, no: 4192] Berdasarkan hadis ini, timbul dua penafsiran hukum. Pertama, keengganan Rasulullah bersalaman dengan para wanita itu menunjukkan bahawa hukum bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah haram. Kedua, keengganan Rasulullah bersalaman dengan para wanita itu sekadar menunjukkan adab yang dianjurkan dalam Islam. Tindakan asal para wanita itu hendak bersalaman dengan Rasulullah menunjukkan budaya bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah suatu kebiasaan pada zaman itu. Di sebalik budaya bersalaman itu, tidak ada nas yang tegas dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang melarangnya. Seandainya ia haram, Rasulullah akan terus menegur para wanita yang ingin bersalaman dalam hadis di atas atau pada ketika-ketika yang lain. Semua ini menunjukkan bahawa hukum bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tidak haram, hanya ia tidak sesuai dengan adab Islam. Dalam bab ini terdapat sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya lebih baik kepala seseorang di antara kalian ditusuk dengan jarum besi daripada menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” [Mu’jam al-Kabir al-Thabarani, 20/211 dengan sanad yang hasan]. Namun perkataan “menyentuh” dalam bahasa Arab boleh bererti sentuhan biasa dan boleh juga bererti zina. Hadis ini tidak boleh dijadikan sumber hukum mengharamkan bersalaman kerana berdasarkan kaedah usul fiqh, tidak boleh mengeluarkan satu hukum yang pasti terhadap nas yang memiliki beberapa pengertian. Kesimpulannya, adab Islam tidak menganjurkan bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Akan tetapi jika bersalaman dalam beberapa suasana terpencil memiliki kemaslahatan di sebaliknya, maka tidak mengapa untuk bersalaman.