Soalan
Setahu saya tidak ada sembahyang sunat selepas sembahyang Subuh. Akan tetapi saya pernah melihat seorang rakan asrama saya yang melakukannya. Katanya ada hadis dalam bab ini. Betulkah?
Amirah,
Batu Pahat, Johor.
 
Jawapan:
Ya, memang tidak ada sembahyang sunat selepas sembahyang Subuh. Pengecualian adalah bagi sesiapa yang tidak sempat mendirikan sembahyang sunat dua rakaat sebelum Subuh, yang juga dikenali dengan sembahyang sunat Fajar. Maka dia boleh melaksanakannya sesudah sembahyang Subuh berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang hasan (hadis no: 1267).


Dalam hadis tersebut diterangkan bahawa seorang sahabat bernama Qais bin Qahd pernah melaksanakan sembahyang Subuh berjamaah bersama Rasulullah s.a.w., padahal sebelum itu dia tidak sempat melaksanakan sembahyang sunat Fajar. Maka sesudah sembahyang Subuh, dia bangun untuk melaksanakan sembahyang sunat Fajar. Rasulullah s.a.w. melihatnya tetapi tidak melarang perbuatannya itu.


Berdasarkan tindakan Rasulullah s.a.w. yang tidak melarang tindakan Qais bin Qahd, maka dibolehkan bagi seseorang yang tidak sempat melaksanakan solat sunat Fajar untuk melaksanakannya selepas solat Subuh.