Soalan
Saya sering keliru dengan jumlah rakaat bagi Solat Terawih. Ada yang berkata 8 rakaat dan ada yang berkata 20 rakaat. Mana satukah yang betul?

Jawapan:

Persoalan jumlah rakaat bagi Solat Terawih telah menjadi tumpuan para ilmuan Islam sejak dari dulu. Mereka telah mengkaji dalil-dalil yang ada serta membandingkan antara pelbagai pandangan yang wujud. Hasilnya membuahkan tiga pendapat. Pendapat pertama berkata jumlah rakaat solat Terawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat Witir. Pendapat kedua berkata jumlahnya ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat Witir. Pendapat ketiga berkata jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan solat Terawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutupi dengan solat Witir.

Ketiga-tiga pendapat di atas memiliki dalil dan hujah di sebaliknya. Anda boleh memilih mana-mana pendapat di atas. Yang penting, anda perlu menghormati orang lain seandainya mereka memilih pendapat yang berbeza dengan anda.

Persoalan yang lebih penting dalam solat Terawih ialah tatacara melaksanakannya. 8 atau 20 rakaat, yang penting ialah anda membaca surah al-Fatihah dan bacaan-bacaan solat yang lain dengan sempurna, betul dan khusyuk. Jangan disingkatkan, jangan dibaca senafas dan jangan baca dengan tujuan mengejar jumlah rakaat. Demikian juga dengan Thama’ninah, yakni kekal di dalam sesuatu pergerakan solat sehingga merasa tenang di dalamnya. Yang penting ialah kualiti dan bukan kuantiti.