Soalan:

Saya ingin bertanya, apakah fadhilat atau kelebihan kita mengamalkan Bismillah dalam kehidupan seharian?

Ainur, Seri Iskandar, Perak.

 

Jawapan:

Soalan ini kurang tepat kerana ia membuka ruang kepada petua-petua rekaan sendiri oleh agamawan selebriti, seperti kononnya membaca Basmalah 1000 kali di waktu pagi akan dapat sekian-sekian ganjaran, baca Basmalah 333 kali pada waktu malam akan dapat sekian-sekian keutamaan. Masyarakat kita sangat suka petua-petua agama maka kesukaan ini disambut sepenuhnya oleh sebahagian agamawan.

Soalan yang tepat adalah, bilakah waktu yang sesuai untuk membaca Basmalah (Bismillah) sebagaimana yang diajar oleh al-Qur’an dan hadis sahih?

Jika dirujuk dalam al-Qur’an, hendaklah memulakan penulisan surat dengan Basmalah. Ini berdasarkan etika penulisan Nabi Sulaiman: Berkatalah Raja perempuan negeri Saba’: Wahai ketua-ketua kaum! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): “Bismillahi Rahmanir Rahim, Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).” [al-Naml 27:29-31]

Apabila mengutus surat dakwah kepada pemimpin-pemimpin kaum lain seperti Raja Rom, Rasulullah juga memulakan surat baginda dengan Basmalah [Shahih al-Bukhari, no: 2723/2940].

Dalam hadis-hadis pula, Rasulullah menerangkan bahawa memulakan sesuatu urusan seperti membuka pintu rumah, menutup pintu rumah, membuka pakaian, makan, minum sehinggalah hubungan seks suami-isteri akan terpelihara dari gangguan syaitan jika dimulakan dengan bacaan Basmalah. Jemput menyemak buku saya 7 Tipudaya Syaitan Ke Atas Umat Islam bagi mengetahui hadis-hadisnya.