Soalan: 

Saya ingin bertanya, bolehkah kita mandi bunga dengan alasan untuk tolak bala mahupun mencari pasangan hidup?

Citra, Melaka.

Jawapan:

Kepercayaan atau teori di sebalik mandi bunga ialah ia membersihkan sial atau nasib buruk yang dianggap wujud pada diri orang yang perlu dimandikan. Oleh kerana itulah selepas mandi bunga, orang yang menjalani rawatan ditegah mengutip atau membersihkan sisa-sisa bahan mandian dari lantai tempat mandi. Konon jika dia mengutip atau membersihkannya, sial atau nasib buruk yang sudah diserap keluar oleh bahan-bahan mandian itu akan masuk semula ke dalam dirinya.

Jika kita sudah faham kepercayaan atau teori di sebalik mandi bunga, kita akan faham ia adalah kepercayaan dan perbuatan yang merupakan syirik kepada Allah. Ini kerana tidak ada sial atau nasib buruk pada diri seseorang. Semuanya telah ditentukan oleh Allah, hanya kita perlu berusaha mencari apa yang telah ditentukan itu.