Mutiara Doa: Penghilang Marah.

“Ya Allah! Ampunilah bagiku dosaku, keluarkanlah kemarahan daripada hatiku
dan lindungilah aku daripada syaitan.”

Beberapa Pengajaran Doa.

1. Pada satu hari Rasulullah masuk ke rumah dan mendapati isterinya – A’isyah – dalam keadaan marah. Maka baginda memegang rambut A’isyah dan mengajaknya membaca doa di atas. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Sunni, no: 457 dengan sanad yang hasan.

2. Marah merupakan satu sifat kelemahan manusia. Selain itu syaitan suka menghasut manusia agar marah kerana dengan kemarahan, banyak keburukan yang berlaku khasnya perlanggaran terhadap hukum dan etika yang digariskan oleh Islam.

3. Oleh itu jika kita marah, maka bacalah doa di atas agar Allah mengampunkan dosa kita, mengeluarkan atau menghalau kemarahan daripada hati kita dan agar dipelihara daripada hasutan serta gangguan syaitan.

4. Demikian juga, apabila kita mendapati ahli keluarga atau rakan dalam keadaan marah, ajaklah dia untuk membaca doa di atas sebagaimana Rasulullah mengajak isterinya.