Tarikh 14 Februari lazim dikaitkan dengan sambutan hari kekasih, atau masyhur disebut sebagai Valentine's Day. Sebahagian umat Islam turut menyambutnya, konon sebagai hari mereka menzahirkan kasih sayang, memperbaharui kasih sayang atau mengukuhkan semula ikatan kasih sayang yang telah luntur terhadap pasangan masing-masing. Agaknya apa dan bagaimana sejarah Valentine's Day ini? Marilah kita masuk sebentar ke dalam bilik kuliah sejarah.

Sejarah Valentine's Day.

lost_by_crowd.jpgDikatakan Valentine's Day merujuk kepada kisah seorang paderi atau wali Kristian yang berusaha untuk menghubungkan kasih sayang di antara lelaki dan wanita. Konon pada zamannya, pemerintah melarang lelaki dari berkasih sayang kerana memerlukan mereka sebagai tentera. Tentera hendaklah fokus kepada peperangan dan bukannya kekasih. Namun terdapat seorang paderi bernama “Valentine” yang melanggar perintah ini dan berusaha untuk menghubungkan kasih sayang di antara lelaki dan wanita. Dia ditangkap dan dipenjarakan, namun tetap meneruskan usaha menghubungkan kasih sayang ketika di dalam penjara. Akhirnya dia dihukum bunuh pada 14 Februari. Diriwayatkan bahawa sebelum hukum dijatuhkan, dia menulis sebuah kad kasih sayang yang dialamatkan kepada anak gadis orang yang memenjarakannya. Dalam kad itu tertulis: “From your Valentine”.

     Demikian cerita yang masyhur tersebar berkenaan asal-usul Valentine's Day. Walaubagaimanapun, pakar-pakar sejarah menyatakan tidak ada bukti kukuh untuk menyokong cerita tersebut. Dalam sejarah Kristian, terdapat tiga orang paderi yang bernama “Valentine”. Setiap mereka hidup pada tempat dan masa yang berlainan. Lebih penting, tiada apa-apa kisah “kasih sayang” yang secara khusus dapat dikaitkan kepada mereka. Konsep hari kasih sayang dan tarikh 14 Februari hanya bermula pada kurun ke 14 masihi, beratus-ratus tahun selepas ketiga-tiga paderi tersebut meninggal dunia.

     Berdasarkan hakikat ini, dapat disedari bahawa orang-orang yang mengkhususkan tarikh 14 Februari sebagai hari kasih sayang atau Valentine's Day sebenarnya tidak memiliki apa-apa sebab di sebaliknya. Mereka hanya mengikuti orang ramai yang turut meraikannya sementara mereka sendiri tidak memiliki apa-apa sebab di sebaliknya. Mereka hanya meraikannya berdasarkan sangkaan sementara Islam sejak awal telah melarang kita dari mengikuti sangkaan orang ramai. Allah berfirman:

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” [al-An’aam 6:116]

 

Apa Salahnya?

     Mungkin di antara pembaca yang cenderung meraikan Valentine's Day pada 14 Februari akan bertanya: “Apa salahnya untuk kami menyambutnya?” Terdapat beberapa jawapan untuk persoalan seperti ini. Pertama sekali, Islam melarang kita dari mengikuti sesuatu yang kita tidak tahu apakah hujah dan fakta di sebaliknya. Allah berfirman: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [al-Israa' 17:36] 

     Apatah lagi jika yang diikuti itu merupakan perayaan atau ciri golongan yang bukan beragama Islam. Tidak ragu lagi bahawa Valentine's Day asalnya merupakan sambutan orang-orang Kristian sekalipun mereka tidak memiliki bukti sejarah yang cukup untuk menyokongnya. Setiap umat memiliki jalan atau syari’at agama mereka sendiri dan Islam melarang kita dari mengikutinya. Allah menyatakan larangan ini:

Dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syari’at dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). [al-Maidah 5:48]

     Oleh itu kita umat Islam memiliki syariat dan jalan agama tersendiri, maka hendaklah kita mengikutinya dan berterusan berada di atasnya. Jangan kita mengikut syariat atau jalan agama yang lain.

     Kedua, orang Islam yang ikut meraikan Valentine's Day sebenarnya adalah orang yang miskin diri. Dirinya kosong dari perkara yang bermanfaat, nilai-nilai positif dan ciri-ciri kecemerlangan. Atas kemiskinan dan kekosongan inilah dia mencari-cari sesuatu untuk mengisinya seperti ikut meraikan Valentine's Day.

     Berbeza dengan orang yang kaya diri lagi penuh dengan manfaat, nilai positif dan kecemerlangan, dia tidak perlu mencari-cari sesuatu dari sumber lain atau sesuatu yang sia-sia. Dia berbangga dengan agama Islam yang sedia dipegangnya disamping “mencipta” sendiri apa yang diingininya, asalkan tidak bertentangan dengan agama Islam.

     Justeru orang yang kaya diri akan mengucapkan kepada pasangannya “Saya sayang kamu” pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu tarikh 14 Februari. Orang yang dipenuhi dengan nilai positif akan memberikan hadiah kepada pasangannya pada kekerapan yang disukainya tanpa perlu menunggu hari kasih sayang. Dia ingat kepada pesanan Rasulullah: “Salinglah kalian memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.” [al-Adab al-Mufrad, hadis no: 594 dengan sanad yang hasan] Orang yang cemerlang juga akan memperbaharui kasih sayangnya – andai ia telah luntur – secepat mungkin tanpa menunggu tarikh 14 Februari. Apakah jika dia merasakan kasih sayang terhadap pasangannya sudah luntur pada 16 Februari 2011, dia hanya akan mengukuhkannya semula pada 14 Februari 2012?

Pasangan Yang Berkasih Sayang.

Sebelum berpisah, ingin saya tegaskan bahawa pasangan berkasih sayang yang saya maksudkan dalam artikel ini ialah lelaki dan wanita yang sudah bernikah (suami-isteri). Maka bagi mereka Islam menghalalkan, bahkan menganjurkan untuk berkasih sayang. Adapun bagi mereka yang belum bernikah, maka ditegah dari berkasih sayang kerana lebih kerap dari jarang ia membawa kepada perbuatan yang dibenci Allah.