watershower.jpg          Pada edisi kali ini saya ingin mengajak para pembaca sekalian untuk mengulangkaji sebuah subjek fiqh, iaitu mandi wajib. Ia adalah sesuatu yang lazim dilakukan ketika suci dari haid dan dari sesuatu yang penting kerana ia menjamin ibadah kita adalah sah dan diterima Allah. Ulangkaji ini merujuk kepada sebuah hadis sepertimana berikut:

          Asma' binti Syakal bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan mandi wajib ketika suci dari haid, maka baginda menjawab: "Siapkan air dengan campuran daun bidara lalu berwudhu'lah dengan baik. Kemudian tuanglah air ke atas kepala sambil menggosoknya dengan sungguh-sungguh sehingga air merata ke pangkal rambut. Kemudian ambillah kapas yang telah dilumuri minyak kasturi dan gunakanlah untuk membersihkan diri."

          Asma' bertanya: "Bagaimana cara membersihkan dirinya itu?" Rasulullah SAW menjawab: "Subhanallah! Kamu bersihkanlah dengannya." Aisyah (isteri Rasulullah yang ada ketika itu) berkata dengan perlahan kepada Asma': "Kamu bersihkan tempat bekas darah dengan kapas itu."

          Asma' (kemudian) bertanya tentang mandi wajib selepas junub. Maka Rasulullah menjawab: "Ambillah air dan berwudhu'lah dengan baik. Kemudian tuanglah air ke atas kepala sambil menggosoknya dengan sungguh-sungguh sehingga air merata ke pangkal rambut. Kemudian tuanglah air ke atas badan (lalu menggosok badannya)."

          Berkata Aisyah: "Sebaik-baik wanita ialah kaum Anshar. Perasaan malu tidak menjadi penghalang untuk mereka bertanya dalam rangka memahami agama." [Shahih Muslim, no: 33-2]

          Berdasarkan hadis di atas, dapat kita pelajari beberapa perkara penting berkenaan mandi wajib.

          Pertama: Siapkan air yang dicampur dengan daun bidara. Pada masa kini sabun dapat diganti dengan sabun buku atau sabun cecair (shower cream). Ia adalah apa yang biasa kita gunakan untuk membersih dan mengharumkan badan.

          Kedua: Berwudhu' dengan baik. Cara berwudhu' yang diajar oleh Rasulullah SAW telah kita ulangkaji dalam Dara.com edisi Mac 2010.

          Ketiga: Menuang air ke atas kepala dan menggosoknya dengan sungguh-sungguh sehingga air sampai ke pangkal rambut. Menuang air adalah bagi mereka yang mandi menggunakan gayung atau penceduk air.

          Bagi yang menggunakan pancuran air (shower), memadai dengan berdiri di bawahnya. Bagi wanita yang mengikat rambut atau menggunakan klip rambut, tidak perlu membukanya jika air dapat sampai ke pangkal eambut. Namun jika ikatan atau klip rambut tersebut menjadi penghalang, hendaklah dibukanya. Ini berdasarkan sebuah hadis lain di mana Umm Salamah telah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku ialah seorang wanita yang memiliki ikatan rambut yang kuat. Adakah aku perlu meleraikannya ketika mandi wajib selepas junub?" Rasulullah menjawab: "Tidak, cukup bagi kamu menuang air tiga kali ke atas kepala kamu, kemudian kamu menuang air ke atas badan dan bersihkanlah dengannya." [Shahih Muslim, no: 330]

          Keempat: Menuang air ke atas badan dan membersihkan badan dengannya. Sekali lagi, menuang air adalah bagi mereka yang mandi menggunakan gayung atau penceduk air. Bagi yang menggunakan pancuran air (shower), memadai dengan berdiri di bawahnya.

          Dianjurkan untuk membersihkan bahagian kanan badan kemudian barulah bahagian kiri. Aisyah menerangkan: "Apabila salah seorang daripada kami ingin mandi wajib selepas junub, dia mengambil air dengan kedua tangannya lalu menuang di atas kepala sebanyak tiga kali, lalu menuang ke bahagian kanan (badannya) dengan sebelah tangan dan menuang ke bahagian kanan (badannya) dengan tangan satu lagi. [Shahih al-Bukhari, no: 277]

          Dalam sebuah hadis lain diterangkan: Menjadi kebiasaan Nabi SAW memulai dengan yang kanan ketika memakai kasut, menyikat rambut, bersuci dan setiap urusan yang lain. [Shahih al-Bukhari, no: 168]

          Kelima: Khusus bagi mandi wajib selepas suci dari haid, hendaklah mengambil kapas yang dilumuri dengan minyak kasturi dan membersihkan kemaluannya (vagina). Kapas boleh diganti dengan kain atau tisu sementara minyak kasturi boleh diganti dengan apa-apa minyak, losen atau krim lain yang harum baunya.

          Imam al-Nawawi menjelaskan hikmahnya: "Para ilmuan berbeza pendapat mengenai hikmah memakai minyak kasturi. Pendapat yang sahih lagi terpilih yang dikemukakan oleh majoriti rakan-rakan kami dan selainnya adalah untuk memberikan wangian pada tempat keluarnya darah dan untuk menghilangkan bau yang tidak sedap (darinya)." [Syarah Shahih Muslim, 1/499]

          Berkenaan perkara kelima ini, terdapat pendapat yang mewajibkan wanita untuk memasukkan kapas tersebut ke dalam vaginanya. Ada yang sehingga mensyaratkan wanita duduk dalam posisi sekian-sekian agar pembersihan dapat disempurnakan jauh ke dalam. Ada juga yang mengubah tertib mandi wajib ini, di mana langkah membersihkan vagina didahulukan sebelum mandi wajib dan bukan diakhirkan sebagaimana hadis di atas.

          Semua ini adalah pendapat yang berlebih-lebihan lagi memberatkan umat Islam. Memadailah kita dengan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam hadis di atas di mana pembersihan hanyalah di luar kemaluan (vagina), tidak di dalamnya. Ia juga dilakukan selepas mandi wajib dan bukan sebelumnya.