Saya yakin kebanyakan media cetak edisi Ogos dan September 2010 memberi fokus kepada subjek agama, khususnya berkenaan berpuasa di bulan Ramadhan dan sambutan Hari Raya Aidil Fitri. Bagi mempelbagaikan subjek bacaan juga bagi mengelakkan perbincangan yang bersifat mono, saya ingin menghidangkan kepada para pembaca yang budiman sekalian suatu variasi yang lain.

Sedang saya terfikir-fikirkan topik yang sesuai, saya mendapat soalan daripada Roslina yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Beliau bertanya tentang taubat nasuha dan langkah-langkahnya. Ini soalan yang bagus dan tentu saja memerlukan penjelasan yang agak panjang. Maka saya memanfaatkan ruangan Cahaya Rohani bulan ini untuk topik Taubat Nasuha.

taubat.jpg

Taubat Nasuha.

Berkenaan Taubat Nasuha, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” [Surah al-Tahrim, ayat 8]

Perkataan “Nasuha” berasal dari kata akar yang sama dengan “nasihat”. Justeru Taubat Nasuha ialah orang yang berhenti melakukan kesalahan dan sentiasa menasihati dirinya agar tidak mengulangi kesalahan tersebut mahupun mendekatinya. Ini tentu lebih utama dari sekadar bertaubat kerana orang yang bertaubat adakalanya lalai sehingga kembali mengulangi kesalahannya yang awal pada masa kemudian. Taubat Nasuha memiliki beberapa langkah, iaitu:

 

Pertama: Menyesali Perbuatan Salah.

Langkah pertama untuk bertaubat Nasuha ialah mengakui bahawa dia telah melanggar perintah larangan Allah. Dengan pengakuan ini dia merasa bersalah dan menyesali pelanggarannya itu. Dalam al-Qur’an Allah menerangkan bagaimana perasaan tiga orang yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka sehinggalah mereka merasa bersalah dan menyesali kesalahan mereka. Firman Allah:

Dan tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. [Surah al-Taubah, ayat 118]

 

Kedua: Memohon Keampunan Kepada Allah.

Taubat Nasuha bukan sekadar merasa bersalah dan menyesal tetapi segera ingat kepada Allah dan memohon keampunan-Nya. Firman Allah: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). [Surah Ali Imran, ayat 135]

Cara terbaik ialah dengan solat sunat Taubat. Solat ini terdiri dari dua rakaat sepertimana solat-solat sunat yang lain. Di akhir solat seseorang itu berdoa kepada Allah agar mengampunkan dosa kesalahannya. Tidak ada bacaan niat, bacaan surah atau bacaan doa yang khusus untuk solat sunat Taubat.

 

Ketiga: Berhenti Melakukan Kesalahan.

Orang yang bertaubat juga perlu berhenti daripada melakukan kesalahannya. Perhatikan semula firman Allah dalam ayat 135 surah Ali Imran: "Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu......"

Seperkara lain yang penting dari langkah pertama, kedua dan ketiga di atas, seseorang yang ingin bertaubat Nasuha hendaklah mengetahui apa kesalahannya secara khusus seperti minum arak, tidak menutup aurat, derhaka kepada ibubapa, mengaibkan orang lain, mempercayai ramalan bintang tarikh lahir dan lain-lain. Taubat Nasuha tidak efektif kepada diri sendiri jika seseorang itu tidak tahu apa kesalahannya kepada Allah dan agama, lalu semata-mata ingin bertaubat sahaja.

 

Keempat: Beriman dan Beramal Salih.

Seterusnya orang yang bertaubat Nasuha hendaklah mengukuhkan semula imannya dengan menuntut ilmu agama yang sahih  dan melazimkan dirinya dengan amal-amal kebajikan, yakni amal shalih. Firman Allah: “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal shalih, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” [Ta-Ha 20:82]

Iman yang kukuh dan amal salih yang kerap menjadi umpama penasihat yang menhaga pentaubat daripada mengulangi kesalahannya yang awal. Tidak diragukan lagi bahawa antara punca seseorang itu cenderung kepada melakukan kesalahan adalah keimanan yang rendah dan lazim melakukan perkara yang sia-sia. Semua ini, secara bertahap-tahap akan menarik seseorang itu kepada melanggar perintah Allah.