Akhir-akhir ini nama Allah menjadi rebutan. Banyak pandangan diberikan oleh para agamawan, pemikir dan pemimpin. Saya tidak bercadang menambah pandangan yang baru, namun sekadar mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan Allah secara lebih mendalam kepada para pembaca sekalian. Ini kerana tiada ertinya jika masing-masing pihak merebut Allah tetapi tidak tahu, tidak kenal dan tidak faham sifat-sifat Allah.

          Allah SWT telah memperkenalkan dirinya dalam al-Qur’an dalam surah al-Ikhlas, sebuahsurah_al_ikhlas.jpg surah yang saya yakini telah dihafal ramai sejak dari bangku sekolah. Ia bermaksud: Katakanlah, (Tuhanku) ialah Allah, tuhan yang satu; Allah Yang menjadi tumpuan hajat sekalian makhluk; Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya”. Marilah kita mengkaji secara ringkas maksud ayat-ayat di atas.

 

Allah Tuhan Yang Satu.
          Sifat pertama yang Allah perkenalkan tentang diri-Nya ialah “Allah tuhan yang satu”. Allah bukanlah tuhan yang berbilang-bilang, sebagaimana tuhan-tuhan dalam agama lain. Bagi sebahagian agama, tuhan mereka ada yang terdiri dari Ayah, Anak dan Ruh Suci. Ada agama yang tuhannya berbeza-beza mengikut kerja masing-masing hingga ada tuhan pahlawan, ada tuhan kebaikan, ada tuhan rezeki dan sebagainya. Maka dengan ayat yang pertama ini, Allah memperkenalkan sifat-Nya yang satu atau Esa. Allah tidak berbilang-bilang dan sifat ini membezakan Allah dari tuhan-tuhan yang lain.

 

Allah Tuhan Yang Tidak Berhajat.
           Allah ialah tuhan yang tidak berhajat, sebaliknya para makhluk-Nyalah yang berhajat kepada-Nya. Jika dibanding dengan agama-agama lain, Allah tidak memerlukan sebarang sembelihan korban seperti lembu, kambing dan ayam atau apa-apa pemberian seperti buah-buahan dan bunga daripada para makhluk-Nya. Adapun ibadah korban yang disyari’atkan ke atas umat Islam pada Hari Raya Haji, maka ia bukanlah sesuatu yang dihajatkan oleh Allah. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah:

          “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.” [Surah al-Haj, ayat 37]

 

Allah Tidak Dilahirkan.

          Sifat istimewa yang seterusnya bagi Allah ialah Dia tidak diukir, tidak dibentuk, tidak dilukis, tidak dibuat dan tidak dilahirkan. Tentu saja ini berlainan dengan tuhan-tuhan yang lain di mana hampir semuanya memiliki asal-usul, sekali pun asal-usul itu berbeza-beza di antara satu sama lain. Nah! Apabila dikatakan Allah tidak dilahirkan, kadangkala akan terlintas soalan di fikiran kita tentang asal usul Allah. Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita tentang lintasan ini:

          Syaitan mendatangi seseorang kalian dan bertanya: “Siapakah yang mencipta itu? Siapakah yang mencipta ini?” sehinggalah ia bertanya: “Siapakah yang mencipta tuhan kamu?” Maka jika ia bertanya soalan itu, mintalah perlindungan dari Allah (dengan membaca A’uzubillah…) dan sudahilah (dari melayani fikiran atau pertanyaan sedemikian).[ Shahih al-Bukhari, no: 3276]

 

Allah Tidak Melahirkan.

          Allah bukan sahaja tidak dilahirkan, malah Dia juga tidak melahirkan. Justeru Allah tidak memiliki anak. Ini tentu berbeza dengan agama yang cuba merebut penggunaan nama Allah, padahal tuhan dalam agama mereka memiliki anak. Malah lebih dahsyat anak itu terpaksa mengorbankan dirinya di papan salib demi untuk membersihkan dosa-dosa penganutnya. Berbeza bagi Allah, sesiapa yang berdosa kepada-Nya tidak perlu membunuh dirinya, sebaliknya cukup berhenti dari berbuat dosa itu dan memohon keampunan dari-Nya:

          Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah al-Zumar, ayat 53]

 

Allah Tidak Serupa Dengan Apa Jua.

          Sifat terakhir Allah yang membezakan-Nya dari tuhan-tuhan agama lain ialah Allah tidak serupa dengan apa jua. Allah tidak boleh diukir umpama patung sembahan, tidak boleh dianggap seperti lambang atau simbol tertentu, tidak boleh dilukis, dibentuk dan digambarkan. Jika direnung tuhan-tuhan agama lain, sedikit atau banyak akan didapati tuhan-tuhan mereka menyerupai sesuatu yang ada di alam ini, baik manusia, haiwan, tumbuhan, bulan dan bintang. Ertinya, tuhan mereka boleh diserupakan dengan sesuatu yang lain. Berbeza dengan Allah, Dia tidak serupa dengan apa jua.

          Sungguhpun begitu, tidaklah bererti kita umat Islam menyembah tuhan yang “kosong”. Di dunia ini kita dapat mengenali Allah berdasarkan nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang disebut dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Inilah yang dinamakan Tauhid al-Asma wa al-Sifat. Kemudian pada hari akhirat kelak, itulah masanya untuk kita melihat Allah sebagaimana firman-Nya:

          “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri melihat kepada Tuhannya.” [Surah al-Qiyamah, ayat 22-23]

          Kita akan dapat melihat dengan jelas sebagaimana janji Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kalian akan melihat tuhan kalian dengan mata kalian sendiri sebagaimana kalian melihat bulan purnama ini (yang mengembang penuh). Tiada sedikit jua kesulitan bagi kalian melihat-Nya.” [Shahih al-Bukhari, no: 554]

         

          Sekarang ini, yang penting ialah melayakkan diri untuk menjadi di kalangan orang yang dapat melihat Allah pada Hari Akhirat kelak. Selain itu jemputlah juga orang-orang belum Islam agar tidak sekadar merebut nama Allah, tetapi berebutlah untuk beriman dan menyembah Allah yang memiliki sifat-sifat sebagaimana yang dijelaskan di atas.