Beberapa ketika yang lalu apabila saya menjadi salah seorang ahli forum anjuran sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), saya merasa sedikit tidak selesa. Sebabnya, ketika para ahli forum masuk ke auditorium bersama pihak pengurusan, para pelajar berdiri untuk menyambut kemasukan kami. Ini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi bagi sebuah IPTA yang menekankan ciri-ciri Islam di dalam silibus dan kalangan tenaga pengajar dan pelajar.

          Namun saya berbaik sangka, bahawa mungkin mereka terlepas pandang berkenaan hukum berdiri di dalam Islam. Iyya! Islam sebagai agama yang syumul menyusun setiap sesuatu perbuatan kita secara terperinci sehinggalah kepada hukum dan adab berdiri. Justeru pada kesempatan ini saya ingin berkongsi bersama para pembaca sekalian hukum dan adab tersebut.

rows_of_chairs_in_hall.jpg 

Mengharapkan Orang Berdiri Untuknya.

          Sesiapa yang suka atau berharap orang lain berdiri untuknya, maka dia sebenarnya menyukai atau mengharapkan sesuatu yang dilarang oleh Islam. Rasulullah saw melarang tegas dengan sabda baginda: “Sesiapa yang menyukai orang-orang berdiri untuknya, maka dia sebenarnya mengambil tempat duduknya di dalam neraka.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 5229]

           Sebab di sebalik larangan tegas ini ialah kerana orang yang suka atau berharap orang lain berdiri untuknya, dia sebenarnya memiliki sikap suka dihormati, disanjung, dipuja dan diagungkan. Ini bukanlah sikap yang baik kerana penghormatan dan sanjungan adalah sesuatu yang diusahakan dan bukan diharap-harapkan. Sementara pemujaan dan pengagungan adalah sesuatu yang tercela kerana boleh menyebabkan berlakunya syirik, iaitu apabila seseorang itu memuji dan mengagungkan sesama manusia setaraf atau lebih dari Allah swt. Justeru janganlah seseorang itu menyukai atau mengharapkan, apatah lagi memaksa, orang lain berdiri untuknya. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu memiliki sesuatu jawatan seperti pemerintah, menteri, ketua jabatan, pengerusi persatuan dan ahli jawatankuasa pertubuhan.

 

Berdiri Untuk Orang Lain.

          Bab ini terbahagi kepada beberapa kategori.

          Pertama: Berdiri kerana menyambut seseorang. Seperti berdirinya seorang anak menyambut ibubapanya, berdirinya seorang suami menyambut isterinya atau sebaliknya dan berdirinya seorang rakan untuk menyambut kedatangan rakannya yang lain. Maka berdiri seperti ini dibolehkan. A’isyah pernah menerangkan tentang akhlak mulia antara Rasulullah saw dengan anaknya Fatimah:

          “Apabila Fatimah datang kepada baginda, maka baginda berdiri untuk menyambutnya, mengambil tangannya, menciumnya dan mendudukkan Fatimah di tempat duduk baginda. Sebaliknya apabila Rasulullah saw mendatangi Fatimah, maka beliau berdiri menyambut baginda, mengambil tangannya, menciumnya dan mendudukkan baginda di tempat duduknya.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 4146]

          Kedua: Berdiri ketika berlalunya jenazah. Rasulullah saw bersabda: “Jika kalian melihat jenazah, maka berdirilah sehingga jenazah itu melintasi kalian atau diletakkan.” [Shahih al-Bukhari, no: 1272]

          Namun pada ketika yang lain Rasulullah sendiri pernah duduk ketika jenazah diiring melintasi baginda [Shahih Muslim, no: 962].

          Di antara kedua-dua hadis ini, sebahagian ilmuan berpendapat hadis duduk membatalkan hadis berdiri ketika berlalunya jenazah. Sementara sebahagian ilmuan lain berpendapat kedua-dua hadis tidak saling membatalkan, sebaliknya boleh digandingkan. Ertinya, berdiri apabila berlalunya jenazah hukumnya tidak wajib tetapi sekadar dianjurkan (sunat). Pendapat yang terakhir inilah yang lebih tepat. [Shahih Fiqh al-Sunnah, 2/398]

           Ketiga: Berdiri kerana pemimpin. Berdiri seperti ini dilarang. Rasulullah saw ketika uzur pernah solat sebagai imam dalam keadaan duduk sementara para makmum solat dalam keadaan berdiri. Melihat yang sedemikian, Rasulullah menegur: “Jika kalian melakukannya, bererti kalian melakukan apa yang dilakukan oleh orang-orang Parsi dan Rom. Mereka berdiri untuk pemimpin mereka sedangkan pemimpin mereka duduk. Maka janganlah lakukan seperti itu.” [Shahih Muslim, no: 413]

           Setelah teguran ini, mereka tidak lagi berdiri untuk Rasulullah saw, sekalipun baginda adalah pemimpin yang mengubah geografi agama dunia. Anas bin Malik berkata: “Tidak ada orang yang lebih mencintai Nabi saw berbanding para sahabat baginda. (Namun) mereka apabila melihat baginda tidak berdiri untuk baginda kerana mereka mengetahui bahawa perbuatan seperti itu tidak disukai oleh baginda.” [Shahih al-Adab al-Mufrad, no: 946]

           Apabila orang yang dipimpin berdiri untuk pemimpin mereka, ia akan menimbulkan rasa hebat dan bangga dalam diri pemimpin itu yang akhirnya – secara bertahap-tahap – akan merubah pemimpin itu kepada sikap angkuh, sombong dan zalim. Ini akhirnya akan menghasilkan mudarat kepada orang yang dipimpin itu sendiri. Maka Islam menutup pintu-pintu sebelum berlakunya kemudaratan tersebut kepada pemimpin dan yang dipimpin.

          Keempat: Berdiri untuk menggerunkan musuh. Berdiri atas tujuan ini dibolehkan, sebagaimana perintah Rasulullah saw kepada orang ramai untuk berdiri terhadap Sa’ad bin Mu’adz. Baginda bersabda: “Berdirilah untuk pemimpin kalian” [Shahih al-Bukhari, no: 6262]

            Ini berlaku terhadap kaum Bani Quraizah yang sebelum itu memusuhi Islam dan umatnya. Setelah kaum Bani Quraizah berjaya dikalahkan, Sa’ad bin Mu’adz ditugaskan menjaga urusan mereka dan perintah Rasulullah agar orang ramai berdiri terhadap Sa’ad menghasilkan perasaan gerun dan rendah diri di kalangan kaum Bani Quraizah.