Ziarah menziarah menjadi satu kebiasaan kita sesama umat Islam, khususnya sempena open_house.jpgsambutan Hari Raya Aidil Fitri. Ini adalah amalan yang baik lagi dianjurkan oleh Islam. Maka pada kesempatan ini saya ingin berkongsi beberapa adab ziarah menziarah, dimulai dengan adab-adab yang perlu dimiliki oleh tuan rumah oleh menerima tetamu yang menziarahinya.

Sebagai tuan rumah, menerima dan memuliakan tetamu bukan sekadar sesuatu yang dianjurkan oleh Islam tetapi menjadi petunjuk akan kebenaran dan kekuatan iman dirinya. Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka muliakanlah tetamunya” [Shahih al-Bukhari, no: 6018]

Memuliakan tamu dimulai dengan ucapan “Selamat Datang” kepada mereka, setelah berbalas ucapan salam [Shahih al-Bukhari, no: 6176] Jika di kalangan tetamu ada yang datang tanpa diundang, tuan rumah memiliki hak untuk menerima atau menolaknya [Shahih al-Bukhari, no: 5434]. Namun menerimanya adalah lebih baik mengingatkan kisah Nabi Ibrahim yang menerima tetamu yang tidak diundangnya:

“Sudahkah sampai kepadamu perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Dia menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.”

Kemudian dia masuk mendapatkan ahli keluarganya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan.” [Surah al-Dzariyat, ayat 24-27].

 

Menjaga Hak Tetamu.

Perhatikan sikap mulia Nabi Ibrahim dalam ayat di atas yang tetap melayan tetamu yang tidak dikenalinya dengan juadah yang istimewa. Sebagai tuan rumah, hendaklah dilayan tetamu dengan baik pada kadar yang berpatutan. Hendaklah berada dipertengahan antara berlebih-lebihan dan serba kekurangan. Di kalangan tuan rumah ada yang berlebih-lebihan sehingga mereka saling bersaing dengan jiran atau rakan dalam membuat jamuan hari raya atau “rumah terbuka”. Tuan rumah begitu khusyuk menjaga kadar persaingan sehingga hubungan dengan tetamu tidak dijaga dengan baik ketika penziarahan itu.

Persaingan ini amat tidak sihat sehingga Rasulullah s.a.w. melarang kita daripada menghadiri jemputan sedemikian. ‘Abdullah Ibnu ‘Abbas menegaskan: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. melarang daripada memakan jamuan dua orang yang saling bersaing (dalam mengadakan jemputan).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3754]

Di sebalik itu ada juga tuan rumah yang tidak menyediakan apa-apa hidangan untuk tetamu sekalipun seteguk air. Ini juga merupakan adab tuan rumah yang tidak baik. Ketahui bahawa jika tuan rumah tidak menyediakan apa-apa maka tetamu berhak mengambil sendiri apa yang mereka kehendaki pada batas yang berpatutan.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika kalian singgah di sebuah kaum lalu mereka melayan kalian dengan apa yang berpatutan sebagai tetamu, maka terimalah. Jika mereka tidak melakukan itu maka ambillah hak kamu (sebagai tetamu) daripada tuan rumah apa yang berpatutan bagi tuan rumah.” [Shahih Muslim, no: 1727] Maksud “apa yang berpatutan” ialah ukuran mengikut kadar kemampuan tuan rumah.

Bagi mengelakkan perasaan malu seandainya tetamu masuk sendiri ke dapur mengambil hak mereka, maka adalah lebih baik tuan rumah menyediakan juadah sekadar yang berpatutan. Jika benar-benar tidak ada, maka terangkan secara jujur bahawa tidak ada apa-apa yang hendak dihidangkan.

Termasuk dalam rangka menjaga hak tetamu ialah menghormati mereka seandainya mereka berpuasa. Di kalangan tetamu ada yang ingin menziarah tetapi bimbang suasana mereka yang sedang berpuasa, sama ada puasa ganti atau puasa sunat, menyebabkan tuan rumah tidak selesa. Mungkin tuan rumah akan “kecil hati” jika tetamu yang berpuasa tidak makan-minum juadah yang disediakan. Maka di sini tuan rumah perlu bersikap terbuka lagi menghormati seandainya ada di antara tetamunya yang berpuasa ketika datang menziarah.

Bagi tetamu pula, Rasulullah s.a.w. berpesan: “Jika salah seorang kalian diundang maka penuhilah undangan itu. Jika sedang berpuasa, maka doakanlah (tuan rumah) dan jika tidak berpuasa maka makanlah (apa yang dihidangkan oleh tuan rumah).” [Shahih Muslim, no: 1431] Selain itu tetamu juga memiliki pilihan: “Saudaramu telah mengundangmu dan menyediakan juadah untukmu, Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain, jika kamu mahu.” [Riwayat al-Baihaqi, Irwa’ al-Ghaleel, no: 1952]

 

Menjaga Perjalanan Majlis.

Tuan rumah tidak boleh membiarkan para tetamu berbicara atau membuat sesuatu yang sia-sia, apatah lagi sesuatu yang mungkar. Tuan rumah hendaklah menjaga perjalanan majlisnya agar para tetamu tidak berbicara atau berbuat melainkan sesuatu yang mengingatkan mereka kepada Allah, seperti saling menasihati, membicara persoalan agama dan keadaan umat Islam.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan: “Tidak ada sekumpulan orang yang bangun dari majlis yang di dalamnya Allah tidak diingati melainkan mereka bangun dari semisal bangkai keldai dan (jika tidak bangun, pasti) mereka akan menyesal.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4855]

Perhatikan bahawa baginda mengumpamakan orang-orang yang duduk di satu majlis yang tidak diingati Allah di dalamnya seperti orang yang duduk di atas bangkai keldai. Di Hari Akhirat kelak mereka pasti menyesal kerana banyak kesalahan mereka dalam majlis seumpama itu yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.