Saya diminta menulis tentang malu. Permintaan ini bukan dua tiga hari yang lepas, tetapi dua tiga bulan yang lepas. Namun memandangkan saat itu merupakan musim untuk menulis berkaitan Ramadhan dan Aidil Fitri, maka saya menangguhkannya sehingga edisi bulan November ini. Saya tetap ingat akan tajuk “Malu” ini kerana pada pandangan saya, ia memang amat penting kepada umat Islam. Apatah lagi dalam suasana umat Islam masa kini yang terbahagi kepada dua ekstrim berkenaan sifat malu ini sendiri. Akan tetapi sebelum saya menerangkan tentang kedua-dua ekstrim tersebut, izinkan saya menerangkan terlebih dahulu maksud malu.

Erti Malu.

          Malu dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Haya’. Para ahli bahasa, sebagaimana nukil Imam al-Nawawi rahimahullah, berkata al-Haya’ berasal dari kata Hayah yang bererti kehidupan. Seolah-olah ia bermaksud, antara ciri utama yang menandakan kehidupan sesuatu ialah sifat malu yang ada pada dirinya. Dengan sifat malu inilah seseorang itu memiliki akhlak yang mulia, budi pekerti yang luhur, prinsip hidup yang tinggi, nilai kemanusiaan yang peka dan keprihatinan kepada apa jua perkara yang buruk lagi dilarang agama.

          Lawan kepada hidup ialah mati, maka orang yang tidak memiliki sifat malu seumpama robot yang tidak hidup. Dia mungkin memiliki tubuh manusia tetapi sikapnya lebih kepada sebuah jentera yang tidak memiliki sifat-sifat mulia sebagaimana yang saya sebutkan di atas. Justeru tidaklah memeranjatkan apabila Islam memberi penekanan yang amat tinggi terhadap sifat malu. Bahkan Rasulullah s.a.w. telah menyifatkan malu sebagai salah satu ciri keimanan seseorang. Baginda bersabda: “Iman terdiri daripada tujuh puluh bahagian dan malu ialah salah satu daripada bahagian itu.” [Shahih Muslim, no: 35] Tidaklah seseorang itu menghiasi dirinya dengan sifat malu melainkan ia membawanya kebaikan dalam kehidupan ini. Rasulullah s.a.w. menyatakan hakikat ini: “Malu tidak akan datang melainkan dengan kebaikan.” [Shahih Muslim, no: 35]

          Tentu saja hal ini akhirnya akan membawa seseorang itu ke syurga: “Malu ialah sebahagian daripada iman dan iman itu tempatnya ialah syurga. Sedangkan perkataan yang kotor ialah sebahagian daripada hati yang keras (yakni tidak malu) dan hati yang keras itu tempatnya ialah neraka.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2009]

 

Malu Kepada Siapa?

          Pertama sekali, sifat malu hendaklah ditujukan kepada Allah sw.t., yakni dengan cara menjalani hidup menurut cara yang Allah redhai. Seolah-olah sifat malu itu ialah akhlak seseorang kepada Allah yang sentiasa memerhatikan tingkah-laku kehidupannya. Seorang yang malu kepada Allah tidak akan melakukan satu perkara jua melainkan dia sedar bahawa Allah sedang memerhatinya, lalu dia malu untuk melakukan apa yang tidak diredhai oleh Allah, apatah lagi melakukan apa yang dilarang oleh Allah. Sifat malu seperti ini pernah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.:

          “Malulah kepada Allah dengan malu yang sebenar-benarnya!”

          Lalu para sahabat yang hadir bersama berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami memang malu, alhamdulillah.”

          Rasulullah membetulkan: “Bukan itu (malu yang dimaksudkan), akan tetapi (yang dimaksudkan) sebagai malu kepada Allah dengan malu yang sebenar-benarnya ialah dengan memelihara kepala dan apa yang ada padanya (yakni ilmu, pemikiran dan imaginasi), perut dan apa yang berhubung dengannya (yakni makanan, minuman dan gerak hati) dan mengingati mati serta kehancuran (yakni Kiamat). Sesiapa yang menginginkan (kejayaan) akhirat, maka hendaklah dia meninggalkan perhiasan dunia. Maka sesiapa saja yang melakukan semua itu, sungguh dia telah malu kepada Allah dengan malu yang sebenar-benarnya.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2458]

          Malu seorang manusia kepada manusia yang lain hanya akan menjadi benar jika dia terlebih dahulu malu kepada Allah. Ini kerana dengan malu kepada Allah, dia akan tahu bagaimana seharusnya dia malu kepada sesama manusia. Ketidaktahuan inilah yang menyebabkan manusia terbahagi kepada dua ekstrim tentang sifat malu.

 

Ekstrim Pertama: Tidak Malu.

          Sepertimana yang saya nyatakan di awal penulisan ini, umat Islam terbahagi kepada dua ekstrim berkenaan sifat malu. Ekstrim yang pertama ialah tidak malu langsung, sama ada kepada Allah mahupun kepada sesama manusia. Dia tidak merasakan kehadiran Allah memerhatikan tingkah-lakunya, sehingga dengan itu dia merasa bebas melakukan apa saja yang disukainya dalam kehidupan ini.

          Orang seperti ini ialah manusia yang hidup dari sudut jasmani, tetapi mati dari sudut rohani. Dia seumpama robot, bahkan mungkin lebih buruk dari robot. Ini kerana sebuah robot tidak akan melakukan tindakan yang buruk selagi mana perekanya tidak memprogramkannya untuk melakukan hal itu. Lebih dari itu sebuah robot tidak akan melawan perekanya kerana pereka itu telah berpesan, yakni memprogramkan robot itu, agar tidak melawannya. Berbeza dengan seorang manusia, dia berani melawan Penciptanya sekalipun Pencipta itu telah berulangkali berpesan dalam al-Qur’an dan melalui lisan Rasul-Nya, agar tidak melawan-Nya. Pencipta yang saya maksudkan ialah Allah s.w.t..

 

Ekstrim Kedua: Terlebih Malu.

          Iyya! Ekstrim kedua ialah terlebih malu sehingga dia lebih rela mendiamkan diri daripada melakukan sesuatu tindakan, sekalipun tindakan itu dituntut oleh Allah dan memiliki manfaat untuk dirinya dan manusia yang lain. Atas alasan malu, dia enggan mengajak orang lain ke arah kebenaran. Atas alasan malu, dia berdiam diri melihat orang lain melakukan kesalahan. Atas alasan malu, dia menzalimi dirinya sendiri dengan tidak bertanya tentang sesuatu ilmu, sekalipun dia mengetahui ilmu itu penting dan bermanfaat bagi dirinya.

          Sikap-sikap di atas bukanlah malu yang terpuji, yang dituntut oleh Islam. Sebaliknya ia adalah malu yang tercela kerana menyebabkan hak-hak Allah diabaikan. Padahal malu yang benar kepada Allah akan menyebabkan seseorang itu tidak rela membiarkan hak-hak Allah dilanggar, melainkan diusahakan sesuatu bagi membetulkannya.

          Selain itu, seseorang yang memiliki sifat malu yang benar tidak akan merelakan dirinya dizalimi oleh dirinya sendiri. Para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak pernah malu untuk bertanya soalan-soalan agama, sekalipun ia terhadap isu peribadi seperti mandi hadas dan haid. Sehinggakan Aisyah, isteri Rasulullah s.a.w., pernah berkata: “Sungguh bagus para wanita Ansar ini (warga Madinah) di mana sifat malu yang ada pada mereka tidak menghalang mereka daripada mempelajari ilmu agama.” [Shahih Muslim, no: 332-3].