Seorang lelaki pernah menghampiri Rasulullah s.a.w. dan mengucapkan “Assalamu’alaikum.” Rasulullah berkata: “Sepuluh (kebaikan).”

          Kemudian datang pula orang lain mengucapkan: “Assalamu’alaikum warahmatullah.” Rasulullah berkata: “Dua puluh (kebaikan).”

         Kemudian datang pula orang lain dengan mengucapkan: “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.” Rasulullah berkata: “Tiga puluh (kebaikan).” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2689]

          Hadis di atas mengajar kita ucapan salam yang terbaik, iaitu: “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.” Dalam bab ini terdapat sebuah riwayat yang menerangkan ucapan: “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratuh.” Akan tetapi riwayat ini memiliki kelemahan di dalamnya, oleh itu memadailah kita dengan riwayat yang sahih di atas.

 

Hukum Dan Cara Menjawab Salam.

          Hukum menjawab salam ialah wajib berdalilkan hadis berikut: “Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain ada lima, (salah satu daripadanya ialah) menjawab salam.” [Shahih al-Bukhari, no: 1240]

         Ada pun cara menjawab salam, maka Allah s.w.t. mengajar kita untuk membalasnya dengan sesuatu yang lebih baik. Allah berfirman, maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” [Surah al-Nisa’, ayat 86]

          Oleh itu apabila seseorang mengucapkan kepada kita: “Assalamu’alaikum”, balaslah ia dengan yang lebih baik seperti: “wa’alaikumussalam warahmatullah.” Jika kita diucap: “Assalamu’alaikum warahmatullah”, balaslah ia dengan: “wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.” Akan tetapi jika kita didahului dengan: “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh”, balasannya yang paling baik ialah: “wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.” Tidak lebih dari itu.

          Ingin saya gariskan, apabila kita mengucap atau membalas salam, hendaklah bersungguh-sungguh lagi benar-benar memaksudkannya. Jangan sekadar: “Saimaikum” atau mengucapkannya sekadar melepaskan batuk di tangga.

 

Sentiasa Mencari Peluang Mengucapkan Salam.

          Dalam tulisan sebelum ini, saya mengemukakan sekian banyak hadis yang menerangkan keutamaan dan kepentingan mengucapkan salam. Perkara ini adalah sesuatu yang benar-benar ditekankan oleh Islam sehingga Rasulullah s.a.w. menyuruh kita mengucapkan salam pada setiap peluang yang ditemui. Antaranya ialah sabda baginda: “Jika dua orang muslim jalan beriringan lalu mereka terpisah oleh pokok, batu atau lumpur, maka hendaklah salah seorang daripada mereka mengucapkan salam kepada yang lain (ketika beriringan kembali) dan mereka saling bertukar salam.” [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, no: 355]

          Pada ketika yang lain baginda menekankan: “Jika salah seorang daripada kalian datang ke suatu majlis, ucapkanlah salam … kemudian jika dia bangun (untuk balik), ucapkanlah salam. Salam yang pertama tidaklah lebih baik daripada salam yang kedua (maksudnya, kedua-dua ucapan salam adalah penting).” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2706]

          Demikian juga apabila kita memasuki rumah: “Jika kamu memasuki rumah maka ucapkanlah salam kepada penghuninya dan jika kamu keluar dari rumah maka ucapkanlah salam kepada penghuninya.” [al-Misykat al-Mashabih, no: 4651] Kita juga dituntut mengucapkan salam sebelum berbicara atau bertanya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Salam sebelum kalam (perbicaraan).” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2699]

          Bahkan baginda pernah menegaskan: “(Ucapkanlah) salam sebelum bertanya, sesiapa yang bertanya kepada kamu (sesuatu) sebelum mengucapkan salam (terlebih dahulu) maka janganlah kamu menjawab (soalan itu).” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 816] Dalam beberapa riwayat diterangkan apabila Rasulullah s.a.w. meminta jurutulisnya menulis surat, ia dimulai dengan ucapan salam. Justeru apa jua medium komunikasi, hendaklah kita mulakannya dengan salam. Baik emel, talifon atau pesanan ringkas (SMS) mulakanlah ia dengan salam yang sempurna.

          Kita juga dianjurkan mengirim salam sebagaimana hadis berikut di mana seseorang datang berjumpa Rasulullah s.a.w. dan mengkhabarkan bahawa ayahnya mengirim salam kepada baginda. Maka Rasulullah menjawab: “Alaikas salam wa ‘ala abikas salam (salam ke atas kamu dan salam ke atas ayah kamu).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 5231]

Ucapan Salam Kepada Orang Bukan Islam.

          Jika kita berhadapan dengan sekumpulan orang yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam, kita tidak perlu menyebut: “Assalamu’alaikum dan selamat pagi.” Sebaliknya memadai ucapan: “Assalamu’alaikum” untuk semua yang hadir dalam kumpulan itu berdasarkan hadis berikut: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah berjalan melintasi suatu majlis yang berhimpun di dalamnya orang Islam dan bukan Islam. Baginda mengucapkan salam kepada mereka.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2702]

          Ada pun terhadap orang bukan Islam sahaja, terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ilmuan tentang hukum mengucapkan salam. Mereka berbeza dalam menafsirkan hadis berikut: “Janganlah kalian mendahului salam kepada orang Yahudi mahu pun Nasrani. Jika salah seorang daripada kalian bertembung dengan mereka di satu jalan, maka persempitkanlah jalan mereka.” [Shahih Muslim, no: 2167]

          Sebahagian ilmuan berpendapat hadis di atas ditujukan kepada kepada semua golongan bukan Islam, maka tidak boleh mengucapkan salam kepada mereka. Sebahagian lagi berpendapat hadis di atas ditujukan kepada golongan bukan Islam yang memusuhi Islam sahaja. Ada pun bagi orang bukan Islam yang memiliki sikap yang damai terhadap Islam dan umatnya, kita dibolehkan mengucapkan salam kepada mereka. Saya lebih cenderung kepada pendapat yang kedua. Seterusnya jika orang bukan Islam mengucapkan salam kepada kita, maka balaslah ia dengan “Wa ‘alaikum.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika ahli kitab mengucapkan salam kepadamu, maka jawablah: wa ‘alaikum.” [Shahih Muslim, no: 2163]