Salah satu jenis makhluk ghaib yang patut kita berkenalan dengannya ialah malaikat. Beriman kepada malaikat merupakan salah satu daripada rukun iman sementara berkenalan lebih lanjut dengan malaikat diharapkan dapat meningkatkan lagi keimanan kita kepadanya. Selain itu ia juga dapat menjawab soalan sama ada malaikat memiliki pengaruh dalam mengganggu manusia seperti rasukan, penyakit dan histeria.

Malaikat ialah kata jamak (plural) daripada kata mufrad (singular) Malak. Di dalam al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih, tidak diterangkan sejarah asal usul malaikat. Apabila Allah dan Rasulullah tidak menerangkannnya, bererti ia bukanlah sesuatu yang penting untuk kita tahu. Justeru usah diberi perhatian kepada cerita-cerita asal-usul malaikat yang kadang-kala disampaikan oleh penceramah atau penulis buku.

angeliclight

Lebih penting, malaikat bukanlah anak Allah. Masyarakat dahulu sering menyandarkan malaikat sebagai anak perempuan Allah. Ada juga yang berkata malaikat ialah anak lelaki dan anak perempuan Allah. Semua ini adalah tidak benar. Maha Suci Allah daripada memiliki anak, baik lelaki mahupun perempuan. Apa yang benar, malaikat ialah salah satu daripada sekian banyak makhluk ciptaan Allah. Allah menegaskan:

Dan mereka berbohong (dengan mengatakan): “Allah mempunyai anak lelaki dan perempuan” tanpa (berdasar) ilmu pengetahuan . Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari sifat-sifat yang mereka berikan. (Padahal) Dia-lah Pencipta langit dan bumi. Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri? Dia menciptakan segala sesuatu dan Dia mengetahui segala sesuatu.

(Yang memiliki sifat-sifat yang) demikian itu ialah Allah Tuhan kamu; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia; Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu. [al-An’aam 6:100-102]

Dicipta Sebelum Manusia Daripada Cahaya

Meskipun tidak diketahui asal-usul malaikat, kita mengetahui bahawa malaikat sudah ada sebelum manusia. Ini berdasarkan ayat berikut: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (Nabi Adam) di muka bumi.” [al-Baqarah 2:30]

Selain itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menerangkan bahawa malaikat diperbuat daripada cahaya: Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada api yang menyala-nyala dan Adam diciptakan daripada sesuatu yang telah disebutkan (ciri-cirinya) untuk kalian. [Shahih Muslim, no: 5314/2996]

Apabila dikatakan malaikat diperbuat daripada cahaya, tidaklah bererti malaikat itu dapat kita lihat dengan mata kasar sebagai sesuatu yang bersinar atau bercahaya. Apa yang benar, malaikat tidak dapat dilihat oleh mata manusia. A’isyah, isteri Rasulullah pernah menerangkan bahawa Rasulullah pernah berkata kepadanya: “Wahai A’isyah, ini ada malaikat Jibrail menyampaikan salam kepadamu.” Aku katakan: “Wa ‘alaihis salam Warahmatullahi Wabarakaatuh. Anda dapat melihat apa yang aku tidak melihatnya.” [Shahih al-Bukhari, no: 3484/3768]

Pun begitu, sebahagian haiwan dapat melihat malaikat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: Jika kalian mendengar ayam berkokok, maka mohonlah karunia Allah kerana pada saat itu ayam tersebut melihat malaikat. Dan jika kalian mendengar keldai meringkik, maka mohonlah perlindungan Allah daripada syaitan kerana pada saat itu keldai tersebut melihat syaitan. [Shahih al-Bukhari, no: 3058/3303]

Atas tujuan tertentu, malaikat dengan izin Allah dapat menjelma sebagai manusia. Perkara ini pernah berlaku kepada Maryam ibu Nabi Isa, sebagaimana yang tercatat dalam al-Qur’an: Dan ceritakanlah (kisah) Maryam di dalam Al Qur'an, yaitu ketika dia menjauhkan diri dari keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur, maka dia mengadakan tabir (yang melindunginya) dari mereka. Lalu Kami mengutus roh Kami (Jibrail) kepadanya, maka ia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia yang sempurna. [Maryam 19:16-17]

Oleh itu kita beriman bahawa malaikat boleh menjelma sebagai manusia. Namun jelmaan ini hanya dengan izin Allah atas urusan yang dikehendaki Allah. Adapun dakwaan segelintir orang bahawa dia dapat melihat malaikat atau malaikat menjelma kepadanya sebagai manusia, maka itu hanyalah dakwaan kosong lagi penipuan di atas nama agama. Bahkan tidak aneh jika yang sebenarnya dia lihat atau menjelma ialah jin syaitan.

Bentuk Malaikat

Sebagai manusia yang dapat melihat malaikat, Rasulullah pernah menerangkan sebahagian ciri malaikat Jibrail. Baginda menjelaskan: Aku melihat Jibrail di sisi Sidratul Muntaha, ia memiliki tujuh ratus sayap yang bertaburan dari bulunya, warna warni mutiara dan yaqut. [Musnad Ahmad, no: 3720/3915 dengan sanad hasan] Dalam riwayat lain, baginda menerangkan pernah melihat malaikat Jibrail dengan 600 sayap. [Shahih al-Bukhari,no: 4479/4857]

Sebenarnya, malaikat yang berbeza memiliki jumlah sayap yang berbeza-beza jumlahnya. Ada yang memiliki dua sayap, tiga sayap, empat sayap dan ada yang memiliki lebih dari itu. Allah menerangkan hakikat ini: Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. [Fatir 35:01]

Selain itu malaikat juga bersaiz besar. Rasulullah pernah menerangkan: Aku melihatnya (Jibrail) turun dari langit, saiznya sangat besar sehingga memenuhi ruang antara langit hingga bumi. [Shahih Muslim, no: 259/177] Dalam sebuah hadis yang lain, baginda menjelaskan: Aku telah diberi izin (oleh Allah) untuk menceritakan tentang ciri satu malaikat daripada malaikat-malaikat Allah yang bertugas membawa Arasy. Sesungguhnya, jarak antara hujung telinga dengan bahunya adalah perjalanan tujuh ratus tahun (penerbangan burung). [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4102/4727]

(insya-Allah bersambung)