Ada sebuah hadis menarik yang ingin saya kongsi bersama para pembaca sekalian. Hadis ini daripada Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu 'anh, di mana beliau menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Janganlah kalian duduk-duduk di jalan.” Mereka (para sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, itu sudah menjadi kebiasaan kami karena ia menjadi majlis (venue) kami bersembang-sembang.” Baginda bersabda: “Jika kalian tidak mau meninggalkan majlis seperti itu maka tunaikanlah hak jalan tersebut.” Mereka bertanya: “Apa hak jalan itu?” Baginda menjawab: “Menundukkan pandangan, menjauhkan halangan, menjawab salam dan menyuruh kebaikan serta melarang kemungkaran.” [Shahih al-Bukhari, no: 5761/6229]

Terdapat beberapa mutiara pengajaran daripada hadis ini yang ingin saya kupas untuk renungan dan amalan kita bersama. Pertama, perhatikan bahawa apabila Rasulullah menegah para sahabatnya daripada duduk-duduk di jalan, mereka menjawab dengan berkata: “Wahai Rasulullah, itu sudah menjadi kebiasaan kami karena ia menjadi majlis (venue) kami bersembang-sembang.”

melepak.jpg 

Jawapan mereka ini menunjukkan dibolehkan bertanya atau menganalisa sesuatu hadis bagi mencapai kefahaman yang lebih baik atau mencari sesuatu pilihan lain yang selari dengan syari’at Islam. Terdapat perbezaan antara bertanya kerana ingin tahu atau bertanya kerana membantah, meremehkan atau mengingkarinya. Pertanyaan dengan tujuan pertama dibolehkan, pertanyaan dengan tujuan kedua dilarang. Membantah, meremehkan dan mengingkari perintah larangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bakal membawa padah yang besar sebagaimana amaran Allah Subhanahu waTa'ala:

Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. [al-Ahzab 33:57]

Oleh itu hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63]

 

Menundukkan Pandangan

Apabila seseorang itu duduk di tempat lalu-lalang orang ramai, baik di jalan-jalan mahupun di tempat lain seperti kedai makan dan pusat membeli-belah, hendaklah dia menundukkan pandangan. Perintah menundukkan pandangan dikenakan ke atas lelaki dan perempuan, bukan lelaki sahaja seperti yang difahami oleh sebahagian orang. Selain hadis di atas yang berbentuk umum meliputi lelaki dan perempuan, perhatikan juga dua ayat berikut ini:

Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka. [al-Nur 24:30]

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka. [al-Nur 24:31]

Walau bagaimanapun, yang terlebih dahulu perlu menundukkan pandangannya ialah kaum lelaki kerana dalam tertib ayat di atas, Allah mendahulukan perintah-Nya kepada kaum lelaki kemudian barulah diikuti dengan kaum perempuan. Oleh itu kaum lelaki tidak boleh menyalahkan kaum perempuan sepenuhnya jika ada di antara mereka yang berpakaian singkat atau tidak sempurna dalam menutup aurat kerana sejak awal Allah telah memerintahkan agar mereka menundukkan pandangan.

Menundukkan pandangan amatlah penting kerana memandang merupakan jalan pertama kepada berlakunya kemungkaran lain seperti zina. Merupakan satu ciri yang telah ditetapkan ke atas semua manusia bahawa perzinaan itu bermula dengan beberapa langkah. Langkah pertama ialah mata yang memandang sehingga tertarik dengan apa yang dipandangnya. Langkah kedua, setelah tertarik di pandangan mata, berlakulah tegur menegur sehingga ke perbualan bebas. Langkah ketiga ialah nafsu yang mengingini, teringat-ingat atau mengkhayalkannya. Langkah keempat ialah pertemuan di antara dua kemaluan lelaki dan perempuan tersebut sehingga berlakulah perzinaan yang sebenar-benarnya.

Inilah yang diterangkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Allah menetapkan atas anak Adam bahagiannya daripada zina, dia pasti melakukan hal itu dengan tidak dimungkiri lagi. Zina mata adalah memandang, zina lisan adalah bicara, jiwa mengkhayal dan (akhirnya) kemaluan yang akan membenarkan semua itu atau mendustakannya. [Shahih al-Bukhari, no: 6122/6612]

Dalam sebuah hadis lain baginda menerangkan beberapa langkah tambahan yang turut lazim berlaku, yang menjadi jalan ke arah perzinaan yang sebenar: Sesungguhnya manusia itu telah ditentukan nasib perzinaannya yang tidak mustahil dan pasti akan dijalaninya. Zina kedua mata adalah melihat, zina kedua telinga adalah mendengar, zina lidah adalah berbicara, zina kedua tangan adalah menyentuh, zina kedua kaki adalah melangkah, dan zina hati adalah berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan semua itu akan dilanjuti atau ditolak oleh kemaluan. [Shahih Muslim, no: 4802/2657]

Amatlah benar langkah-langkah yang disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Oleh itu amatlah penting bagi diri saya dan para pembaca sekalian untuk menutup dan menjauhi langkah yang pertama, iaitu pandangan. Baik lelaki mahupun perempuan, hendaklah sentiasa menundukkan pandangan meskipun sedang berbicara urusan kerja atau sesuatu lain yang penting. Dikatakan gerak badan (body language) dan riak muka (facial expression) adalah penting dalam berkomunikasi, namun menjaga hati daripada fitnah memandang adalah jauh lebih penting.

Jika secara tidak sengaja terpandang, maka itu tidak mengapa. Namun jangan pula pandangan itu diteruskan untuk sekian lama. Apabila sedar dan teringat, teruslah menundukkan pandangan. Inilah pesanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh: Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan yang pertama dengan pandangan berikutnya, kerana yang pertama untukmu dan yang kedua bukan lagi untukmu. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2701/2777] 

Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anh berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengenai penglihatan yang tidak disengajakan (terhadap sesuatu yang dilarang). Maka baginda memerintahkanku supaya memalingkan penglihatanku. [Shahih Muslim, no: 4018/2159]

 

Menjauhkan Halangan

Dibolehkan duduk-duduk di jalan asalkan ia tidak menghalang lalu-lalang orang lain. Perkara ini bukan khusus kepada etika duduk di jalan, tetapi merupakan salah satu ajaran asas Islam kepada setiap muslim. Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Seorang muslim (yang sejati) adalah orang yang mana kaum muslimin lainnya selamat dari (bahaya atau gangguan) lisan dan tangannya. [Shahih Muslim, no: 58/41]

Kita sesama umat Islam hendaklah merasa tenang dan selamat apabila berada sesama kita, di dalam kelompok kita. Bukanlah sifat seorang muslim untuk mengganggu atau membahayakan muslim yang lain, baik melalui perbuatan fizikal atau ucapan lisan. Pada zaman kini yang serba canggih, seorang muslim tidak akan mengganggu muslim yang lain dengan panggilan talifon berulang-kali, panggilan talifon pada waktu tidur, emel yang menggandungi virus atau bahan lucah dan serangan peribadi dalam rangkaian-rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter.

Bahkan sebagai seorang muslim, kita juga tidak akan mengganggu orang-orang belum Islam yang tidak memusuhi atau memerangi kita. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08]

Selain tidak menghalang atau mengganggu lalu-lalang orang lain, kita juga dianjurkan untuk menjauhkan halangan di jalan-jalan seandainya ada. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menyatakan: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan, dia mendapati batang kayu yang berduri di jalan tersebut. Lalu dia mengambil dan membuangnya. Maka Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya. [Shahih Muslim, no: 4743/1914]

Oleh itu apabila seorang muslim menemui sesuatu halangan yang lebih besar daripada dahan berduri lalu mengalihkannya atau membuangnya, maka Allah akan lebih berterima kasih kepadanya dan lebih mengampuninya. Satu contoh yang kerap dihadapi ialah sebuah kereta yang rosak di tengah-tengah jalanraya lalu menghalang kelancaran lalulintas trafik. Alangkah tingginya kedudukan seorang muslim di sisi Allah apabila dia memberhentikan kenderaannya sendiri lalu turun dan tolong menolak kereta yang rosak itu ke tepi jalan. 

 

Keutamaan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar

Di antara macam-macam pesanan yang boleh diberikan sebagai hak di jalan-jalan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyampaikan pesanan untuk menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Pesanan terakhir ini memang penting kerana ia merupakan ukuran keimanan seseorang. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. [al-Taubah 9:71]

Berbeza pula dengan orang-orang munafik: Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka menyuruh kepada kemungkaran dan melarang kebaikan. [al-Taubah 9:67]

Adapun orang yang tidak mempedulikan kemungkaran, mereka berada dipertengahan di antara orang yang tinggi imannya dan munafik. Mereka disebut sebagai orang yang amat lemah (atau amat rendah) imannya sebagaimana hadis berikut yang masyhur: Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman. [Shahih Muslim, no: 70/49]

Lazimnya seseorang itu beralasan, yang melakukan kemungkaran itu bukanlah ahli keluarganya, sanak saudaranya atau kenalannya. Oleh itu kenapa perlu dia sibuk-sibuk melarangnya? Hadis berikut menjadi jawapan kepada alasan tersebut, juga menjadi penutup bagi penulisan ini.

Perumpamaan orang yang menegakkan perintah Allah (Amar ma’ruf dan Nahi mungkar termasuk perintah Allah) dan orang yang jatuh ke dalam larangan Allah ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk mendapat tempat di dalam sebuah kapal. Sebahagian daripada mereka mendapat tempat di tingkat atas manakala sebahagian lagi pada tingkat bawah. (Ketika dalam pelayaran), apabila orang di tingkat bawah inginkan air, mereka terpaksa pergi meminta kepada orang yang berada pada tingkat atas.

Lalu mereka (yang berada di tingkat bawah) berkata: “Jika kita membuat lubang pada tingkat ini nescaya kita tidak perlu lagi meminta daripada orang di atas kita.”

Jika (mereka yang berada di tingkat atas) membiarkan mereka (orang di tingkat bawah) melakukan apa yang mereka hendaki (melubangkan kapal), pasti semuanya akan musnah (tenggelam). Sebaliknya jika mereka (yang berada di tingkat atas) menahan dengan tangan mereka (rancangan melubangkan kapal), pasti mereka (yang di tingkat atas) akan selamat dan akan selamat juga semuanya (termasuk di tingkat bawah). [Shahih al-Bukhari, no: 2313/2493]