Pertama: Ayat al-Tath-hir
Perbahasan kita
dalam menganalisa dan menjawab ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan
hujah oleh Syi‘ah bermula dengan sebuah ayat yang masyhur
dikenali sebagai Ayat al-Tath-hir (التطهير).
Penamaan ini merujuk kepada perkataan “wa yuthah-hirukum
tath-hiran” dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak
menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan
kamu sebersih-bersihnya.
[al-Ahzab
33:33]
Kita mulakan
dengan Ayat al-Tath-hir kerana ia adalah hujah Syi‘ah
yang paling kuat lagi masyhur daripada al-Qur’an. Bahkan boleh
dikatakan wujud satu kesepakatan (ijma’) di sisi Syi‘ah
untuk menggunakan ayat ini sebagai hujah. Tidak ada juru dakwah,
ahli dialog, buku dan laman web Syi‘ah yang akan meninggalkan
Ayat al-Tath-hir sebagai hujah. Paling kurang terdapat tiga
peranan penting Ayat al-Tath-hir di sisi Syi‘ah:
1. Syi‘ah
menggunakan Ayat al-Tath-hir
untuk membataskan istilah “Ahl al-Bait” kepada empat orang
sahaja: ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum.
2. Syi‘ah
menggunakan Ayat al-Tath-hir
untuk menetapkan sifat maksum kepada ‘Ali, Fathimah, Hasan dan
Husain.
3. Dengan
sifat maksum ini, Syi‘ah bertegas bahawa kebenaran hanya
berada pada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain dan keturunan mereka
sahaja. Tafsiran al-Qur’an yang benar hanya berasal daripada mereka,
hadis yang sahih hanya berpunca daripada mereka, hukum yang benar
hanya bersumber daripada mereka dan hak kekhalifahan hanya berada di
tangan mereka. Dalam ertikata lain, yang benar hanyalah Syi‘ah
kerana ia adalah mazhab yang berdiri di atas kemaksuman Ahl
al-Bait Rasulullah.
Muhammad Mar‘i
al-Amin dalam bukunya Mengapa Aku Memilih Ahl al-Bait?
menulis:
al-‘Ismah
adalah syarat pada seorang imam menurut Syi‘ah kerana imam
yang diikuti selepas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bila
tidak maksum, tidak boleh dipercayai kata-katanya. Oleh itu sabitnya
‘ismah imam adalah seperti sabitnya ‘ismah Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam.
Ayat tersebut
juga (al-Ahzab 33:33) menunjukkan kemaksuman Amir al-Mukminin
(‘Ali) dan dua anaknya Hasan dan Husain ‘alahima salam.
Justeru terbukti bahawa jawatan khalifah adalah untuk mereka dan
bukan selain mereka …… Oleh itu berpegang kepada pendapat mereka
adalah wajib kerana orang lain tidak maksum. (Ini kerana) apabila
tidak wujudnya al-‘Ismah maka akan berlakulah kesalahan. Oleh
itu tidak sah untuk (sesiapa) menjadi khalifah yang mengendalikan
syari‘at Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tanpa
al-‘Ismah (kemaksuman).
Demikianlah
kepentingan Ayat al-Tath-hir sehingga tidak berlebihan untuk
dikatakan bahawa ia membentuk “tulang belakang” Syi‘ah.
Seandainya ia tegak maka tegaklah Syi‘ah, seandainya ia
runtuh maka runtuhlah juga mazhab Syi‘ah.
Berikut
diterangkan bagaimana Syi‘ah menjadikan Ayat al-Tath-hir
sebagai hujah:
Hujah
Syi‘ah
Syi‘ah
menggunakan beberapa
petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk menjadikan Ayat
al-Tath-hir sebagai hujah menetapkan sifat maksum kepada 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum. Pada waktu
yang sama Syi‘ah mengecualikan para isteri Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam, radhiallahu ‘anhum daripada sifat
maksum ini. Yakni mereka para isteri Rasulullah tidak termasuk dalam
perbahasan ayat 33 surah al-Ahzab. Petunjuk-petunjuk tersebut adalah:
Petunjuk daripada al-Qur’an.
Pertama:
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam memiliki dua keluarga, pertama
keluarga melalui ikatan pernikahan dan kedua keluarga melalui ikatan
nasab. Yang pertama disebut Bait Zawjiyyah manakala yang
kedua disebut Ahl al-Bait. Ayat 33 surah al-Ahzab menyebut
Ahl al-Bait, bererti ia merujuk kepada keluarga melalui ikatan
nasab yang terdiri daripada ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain
radhiallahu ‘anhum. Ini berbeza dengan ayat-ayat sebelum dan
selepas ayat 33 yang mana ia merujuk kepada para isteri Rasulullah
tanpa menggunakan istilah Ahl al-Bait.
Kedua:
Ayat 33 surah
al-Ahzab bersifat maskulin (muzakkar), bererti ia merujuk
kepada ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum.
Sekiranya ia merujuk kepada para isteri Rasulullah sahaja, pasti ia
akan bersifat feminin (mu’annas). Oleh itu sifat maksum yang
ditetapkan oleh ayat 33 surah al-Ahzab hanya terbatas kepada 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain sahaja.
Ketiga:
Para isteri
Rasulullah pernah menyakiti hati Rasulullah sehingga menyebabkan
Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat berikut menegur
mereka:
Jika
kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka
itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah
cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu
berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya,
(maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya
Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta
orang-orang yang salih dari kalangan orang-orang yang beriman dan
malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.
[al-Tahrim 66:04]
Sikap para
isteri Rasulullah dan teguran Allah dalam ayat 4 surah al-Tahrim di
atas jelas menunjukkan bahawa mereka tidak maksum. Maka dengan itu
sudah pasti mereka tidak termasuk sama dalam ayat 33 surah al-Ahzab.
Petunjuk daripada al-Sunnah.
Pertama:
Hadis al-Kisa’:
Syi‘ah
menggunakan sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh majoriti ahli hadis Ahl al-Sunnah
untuk menguatkan hujah bahawa para isteri Rasulullah tidak termasuk
dalam ayat 33 surah al-Ahzab. Hadis tersebut berasal daripada Umm
Salamah radhiallahu ‘anha, beliau berkata:
Diturunkan ayat ini kepada Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam: Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak
menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan
kamu sebersih-bersihnya
[al-Ahzab 33:33]
di dalam
rumah Umm Salamah.
Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam memanggil Fathimah, Hasan dan Husain dan menyelimuti mereka
dengan kain (Kisa’) manakala ‘Ali berada di belakangnya, lalu
diselimuti juga dengan kain.
Kemudian Nabi berdoa: “Ya Allah !
mereka adalah Ahl al-Bait aku maka hilangkanlah dosa dari mereka dan
bersihkanlah mereka dengan sebersih-bersihnya.”
Berkata Umm Salamah: “Dan aku
bersama mereka wahai Nabi Allah?” Rasulullah menjawab: “Engkau tetap
pada kedudukan engkau dan engkau selalu dalam kebaikan.”
Syi‘ah
menamakan hadis di atas
sebagai Hadis al-Kisa’, merujuk kepada kain yang digunakan
oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk
menyelimuti 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum.
Bagi Syi‘ah hadis di atas merupakan petunjuk terbaik
bahawa para isteri Rasulullah, sama ada Umm Salamah atau selainnya,
terkecuali daripada istilah Ahl al-Bait dalam ayat 33 surah
al-Ahzab.
Kedua:
Hadis Seruan Bersolat Subuh.
Syi‘ah
juga menggunakan hadis
berikut sebagai petunjuk tambahan bahawa ayat 33 surah al-Ahzab
diturunkan kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja,
radhiallahu ‘anhum.
Daripada Anas bin Malik radhiallahu
‘anh, bahawasanya Rasulullah sallallau ‘alaihi wasallam melintas di
hadapan pintu (rumah) Fathimah radhiallahu ‘anha selama enam bulan
apabila keluar untuk pergi bersolat Subuh. Baginda akan bersabda:
“Bersolatlah wahai Ahl al-Bait
(kemudian membaca ayat 33 surah al-Ahzab):
Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu
wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”
Ketiga:
Hadis Abu Sa‘id al-Khudri.
Petunjuk ketiga
daripada al-Sunnah yang digunakan oleh Syi‘ah ialah hadis
berikut daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh:
Diturunkan ayat ini kepada lima
orang: “Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan
dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu
sebersih-bersihnya” , iaitu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum.
Demikianlah
tiga petunjuk daripada al-Qur’an dan tiga petunjuk daripada al-Sunnah
yang menyebabkan Syi‘ah tanpa ragu berhujah bahawa ayat 33
surah al-Ahzab menetapkan sifat maksum kepada 'Ali, Fathimah, Hasan
dan Husain sahaja, radhiallahu ‘anhum. Sejauh manakah
kebenaran dakwaan dan hujah Syi‘ah ini? Marilah kita
menganalisa dan menjawab satu persatu dakwaan dan hujah mereka ini.
Jawapan Ahl al-Sunnah
Memandangkan
dakwaan dan hujah Syi‘ah ke atas Ayat al-Tath-hir agak
panjang lagi mendalam, penulis akan membahagikan analisa dan jawapan
ke atasnya kepada lima perbahasan:
1. Adakah
ayat 33 surah al-Ahzab membicara subjek kemaksuman?
2. Adakah
istilah Ahl al-Bait dalam ayat 33 surah al-Ahzab merujuk kepada
para isteri Rasulullah atau 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain?
3. Darjat
dan maksud Hadis al-Kisa’.
4. Darjat
dan maksud Hadis seruan bersolat Subuh.
5. Darjat
dan maksud Hadis Abu Sa‘id al-Khudri.
Pertama: Adakah
ayat 33 surah al-Ahzab membicara subjek kemaksuman?
Jawapannya tidak.
Para pembaca dijemput memerhatikan semula ayat 33 surah al-Ahzab:
Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu
wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
[al-Ahzab 33:33]
Perhatikan bahawa
Allah ‘Azza wa Jalla menggunakan perkataan Yuridu (يريد)
yang bererti “kehendak” atau “keinginan” atau “bermaksud”. Kemudian
perkataan Yuzhiba (يذهب)
didahului dengan huruf Lam (ل)
yang bererti “untuk” atau “supaya”. Justeru firman Allah:(إنما
يريد الله ليذهب)
hanyalah menerangkan “kehendak” Allah “untuk” menghilangkan dosa para
Ahl al-Bait.
Seandainya Allah
ingin menetapkan sifat maksum (bebas dari dosa dan suci), Allah
akan berfirman dengan sesuatu yang bersifat menetapkan, umpama:
“Sesungguhnya
Allah telah menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait
dan telah membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”
Oleh itu
Syi‘ah telah melakukan satu kesalahan yang amat besar lagi
fatal apabila mereka mendakwa ayat 33 surah al-Ahzab membicara
subjek kemaksuman. Yang benar ayat 33 surah al-Azhab tidak membicara
subjek kemaksumam, jauh sekali daripada berperanan menetapkan sifat
maksum kepada sesiapa, sama ada kepada para isteri Rasulullah atau
kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.
Timbul soalan
seterusnya, apakah maksud sebenar firman Allah dalam ayat 33 surah al-Ahzab?
Jawapannya akan diperolehi dalam perbahasan kedua seterus ini.
Sebelum itu untuk
memantapkan fahaman para pembaca, berikut dikemukakan contoh sebuah
ayat yang juga menggunakan perkataan (يريد)
dan (التطهير).
Ia adalah ayat berkenaan perintah wudhu’, firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala:
Wahai
orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal
kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan
kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari
kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali;
dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi
wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam
pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air,
atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk
berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah -
debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu
dengan tanah - debu itu.
Allah tidak
mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi
berkehendak untuk membersihkan
(طهر)
kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya
kamu bersyukur. [al-Maidah 5:06]
Perhatikan
perenggan kedua ayat di atas. Seandainya Syi‘ah menafsirkan
ayat 33 surah al-Ahzab sebagai menetapkan sifat maksum kepada Ahl
al-Bait, maka dengan itu juga setiap orang beriman yang berwudhu’
akan memiliki sifat maksum juga. Ini kerana kedua-dua ayat 33 surah
al-Ahzab dan ayat kelima surah al-Maidah mengunakan istilah Tahara
(طهر)
yang bermaksud “bersih” atau “suci”.
Di sisi Ahl
al-Sunnah, kedua-dua ayat 33 surah al-Ahzab dan ayat kelima surah
al-Maidah tidak membicarakan sifat maksum mahupun menetapkan sifat
maksum kepada orang yang dirujuk olehnya. Perhatikan, sebagaimana ayat
33 surah al-Ahzab, ayat di atas juga menggunakan perkataan Yuridu
dan tambahan huruf Lam: …tetapi (Allah) berkehendak
(يريد)
untuk membersihkan (ل
+ يطهر = ليطهر)
kamu dan…
Berdasarkan
penggunaan perkataan Yuridu (يريد)
dan tambahan huruf Lam (ل),
maka ayat kelima surah al-Maidah ini tidak berperanan menetapkan sifat
maksum kepada setiap orang beriman yang berwudhu’. Demikianlah juga
bagi ayat 33 surah al-Ahzab, ia tidak berperanan menetapkan sifat
maksum kepada Ahl al-Bait.
Jawapan
Kedua:
Adakah istilah Ahl al-Bait dalam ayat 33 surah al-Ahzab
merujuk kepada para isteri Rasulullah atau 'Ali, Fathimah, Hasan dan
Husain?
Jawapannya akan
diperolehi dengan mengkaji keseluruhan konteks perbincangan ayat dari
mula hingga akhir. Ia bermula dengan ayat 28 surah al-Ahzab:
Wahai Nabi,
katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan
kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka
marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati),
dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.
[al-Ahzab 33:28]
Dan
sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan Rasul-Nya serta (nikmat
kemewahan) di Negeri Akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi
orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar.
[al-Ahzab 33:29]
Wahai
isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu
perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya
dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi
Allah melaksanakannya.
[al-Ahzab 33:30]
Dan sesiapa
di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta
mengerjakan amal yang salih, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya
itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.
[al-Ahzab 33:31]
Wahai
isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan
yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu
berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)
kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada
penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan
sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
[al-Ahzab 33:32]
Dan
hendaklah kamu tetap di rumah kamu dan janganlah kamu berhias dan
bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu; dan
dirikanlah solat, tunaikanlah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan
RasulNya.
Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu
wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
[al-Ahzab 33:33]
Dan
ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari
ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis
Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus Tadbir-Nya, lagi Maha
Mendalam pengetahuanNya.
[al-Ahzab 33:34]
Jelas daripada
ayat-ayat di atas bahawa yang menjadi konteks perbincangan ialah
tunjuk ajar serta perintah dan larangan Allah ‘Azza wa Jalla
kepada para isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
radhiallahu ‘anhum. Firman Allah dalam ayat 33 ……Sesungguhnya
Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahl
al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya……
bukan suatu ayat yang terpisah daripada rangkaian ayat 28 hingga 34.
Akan tetapi ia termasuk sebahagian daripada ayat-ayat tersebut. Ia
berperanan menerangkan tujuan atau hasil yang ingin dikurniakan
oleh Allah kepada para isteri Rasulullah dengan segala tunjuk ajar,
perintah dan larangan tersebut.
Oleh itu
perkataan Ahl al-Bait dalam ayat 33 surah al-Ahzab tetap
merujuk kepada para isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
radhiallahu ‘anhum. Jika ditafsirkan ayat 33 ini merujuk kepada
‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain, ia bererti ‘Ali, Hasan dan Husain
diperintahkan untuk tetap berada di dalam rumah. Seterusnya mereka
dilarang berhias (tabarruj) apabila berada di luar rumah. Ini
adalah tafsiran yang menjauhi fakta yang benar dan pemikiran yang
sihat kerana sedia diketahui bahawa ‘Ali, Hasan dan Husain sentiasa
bergiat aktif di luar rumah dalam ekspedisi dakwah dan jihad. Lebih
dari itu mereka terdiri daripada kaum lelaki yang tidak berhias
sebagaimana kaum wanita. Justeru tidak mungkin menafsirkan perkataan
Ahl al-Bait dalam ayat di atas sebagai merujuk kepada 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain.
Adapun beberapa
petunjuk daripada al-Qur’an yang dikemukakan oleh Syi‘ah
sebagai bukti bahawa ayat 33 surah al-Ahzab hanya merujuk kepada 'Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum, ia dapat dijawab
dengan mudah seperti berikut:
Jawapan Kepada Petunjuk Pertama:
Istilah Ahl
al-Bait tidaklah mutlak merujuk kepada keluarga yang memiliki
ikatan nasab sahaja. Ia juga merujuk kepada keluarga yang memiliki
ikatan pernikahan. Berikut adalah satu contoh ayat al-Qur’an yang
menggunakan istilah Ahl al-Bait ketika merujuk kepada isteri
Nabi Ibrahim ‘alaihi salam.
Isteri (Nabi
Ibrahim) berkata: Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan
anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua?
Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan.
Malaikat-malaikat itu berkata: Patutkah engkau merasa hairan tentang
perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan
berkat-Nya melimpah-limpah kepada kamu, wahai Ahl al-Bait.
Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan
kemurahanNya. [Hud
11:72-73]
Jawapan Kepada Petunjuk Kedua:
Ayat 33 surah al-Ahzab
yang bersifat maskulin (muzakkar) bukan kerana ia mengecualikan
para isteri Rasulullah tetapi kerana ia merujuk kepada perkataan
Ahl (أهل)
yang sememangnya bersifat maskulin. Dalam kaedah bahasa Arab:
1. Apabila
istilah Ahl bersifat maskulin, maka seluruh ayat akan bersifat
maskulin juga sekalipun yang dibicarakan ialah berkenaan kaum wanita.
2. Ayat
yang bersifat maskulin tidak mengecualikan kaum wanita kerana lafaz
mazkulin boleh mewakili kedua-dua lelaki dan wanita.
Kedua-dua poin di
atas merupakan kaedah yang amat asas dalam ilmu bahasa Arab. Hal ini
mendapat perhatian Wan Zahidi Wan Teh di dalam tulisannya: Ahlul
Bait Menurut Pandangan Sunnah dan Syi‘ah sehingga beliau mengulas:
Hujah ini
sebenarnya menunjukkan kejahilan mereka (Syi‘ah) dalam bahasa
Arab kerana kebanyakan mereka daripada bangsa Parsi tidak memahami
bahasa Arab secara mendalam.
Jawapan Kepada Petunjuk Ketiga:
Syi‘ah
menggunakan teguran Allah kepada para isteri Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam, radhiallahu ‘anhum dalam ayat 4 surah al-Tahrim
sebagai hujah bahawa mereka (para isteri) tidak termasuk dalam
ciri-ciri kemaksuman yang ditetapkan dalam ayat 33 surah al-Ahzab.
Hujah ini tertolak dengan dua sebab:
1. Teguran
Allah kepada para isteri Rasulullah bukanlah untuk merendahkan mereka
tetapi kerana ingin memelihara mereka daripada sifat-sifat yang tidak
baik. Para isteri Rasulullah radhiallahu ‘anhum adalah ibu
kepada umat Islam seluruhnya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala:
Nabi itu
lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman
daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu
mereka. [al-Ahzab
33:06]
Sebagai “ibu”
umat Islam, para isteri Rasulullah menjadi teladan kepada para isteri
orang beriman seluruhnya. Justeru apabila Allah menegur dan memberi
tunjuk ajar, ia bukanlah kerana keburukan yang ada pada para isteri
Rasulullah tetapi kerana Allah ingin menjadikan mereka sumber teladan
atau rujukan kepada para isteri umat Islam seluruhnya.
2. Ayat
33 surah al-Ahzab tidak menetapkan sifat maksum kepada sesiapa, sama
ada kepada para isteri Rasulullah mahupun 'Ali, Fathimah, Hasan dan
Husain. Oleh itu sia-sia sahaja penghujahan Syi‘ah ini.
Demikianlah
jawapan Ahl al-Sunnah kepada petunjuk-petunjuk al-Qur’an yang
dikemukakan oleh Syi‘ah untuk mengecualikan para isteri
Rasulullah daripada istilah Ahl al-Bait. Kembali kita kepada
persoalan asal yang sedang dibahas: Adakah istilah Ahl al-Bait
dalam ayat 33 surah al-Ahzab merujuk kepada para isteri Rasulullah
atau 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain?
Jawapannya: Istilah
Ahl al-Bait dalam ayat 33 surah al-Ahzab merujuk kepada para
isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sahaja
radhiallahu ‘anhum.
Jawapan
Ketiga: Darjat
dan maksud Hadis al-Kisa’.
Umm Salamah
radhiallahu ‘anha berkata:
Diturunkan
ayat ini kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: Sesungguhnya Allah
hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait
dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya
[al-Ahzab 33:33] di dalam
rumah Umm Salamah.
Lalu Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam memanggil Fathimah, Hasan dan Husain dan
menyelimuti mereka dengan kain (Kisa’) manakala ‘Ali berada di
belakangnya, lalu diselimuti juga dengan kain.
Kemudian
Nabi berdoa: “Ya Allah ! mereka adalah Ahl al-Bait aku maka
hilangkanlah dosa dari mereka dan bersihkanlah mereka dengan
sebersih-bersihnya.”
Berkata Umm
Salamah: “Dan aku bersama mereka wahai Nabi Allah?” Rasulullah
menjawab: “Engkau tetap pada kedudukan engkau dan engkau selalu dalam
kebaikan.”
Perbicaraan ke
atas apa-apa hadis tidak memiliki nilai melainkan didahului dengan
darjat kekuatannya. Oleh itu kita mulakan dengan membahas darjat
kekuatan Hadis al-Kisa’.
Darjat Hadis al-Kisa’.
Hadis al-Kisa’
memiliki darjat yang sahih. Ia dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah,
Ahmad, al-Tirmizi, al-Bazzar, Ibn Jarir al-Thabari, Ibn Hibban, Ibn
Abi Hatim, al-Hakim, al-Thabarani, al-Baihaqi dan al-Hafiz al-Haskani,
di atas dengan lafaz al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani di
dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – no: 3787 (Kitab Manaqib, Bab
Manaqib Ahl Bait Nabi). Juga dikeluarkan oleh Muslim dalam
Shahihnya– no: 2424 dan lain-lain daripada ‘A‘isyah (عائشة)
radhiallahu 'anha
tanpa disertai oleh pertanyaan Umm Salamah.
Maksud Hadis al-Kisa’.
Merupakan satu
keajaiban bagaimana Hadis al-Kisa’ boleh dijadikan hujah
oleh Syi‘ah padahal ia adalah sebaik-baik dalil bagi menolak
dakwaan mereka bahawa ayat 33 surah al-Ahzab turun untuk ‘Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum.
Ini kerana
seandainya ayat 33 tersebut pada asalnya ditujukan kepada ‘Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain, tidak perlu lagi untuk Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam menyelimuti mereka berempat dan
mendoakan mereka. Namun Rasulullah berbuat yang sebaliknya,
menunjukkan bahawa baginda mengetahui bahawa ayat 33 tersebut pada
asalnya ditujukan kepada para isteri baginda. Lalu baginda mengingini
agar ia mencakupi juga ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain. Maka kerana
itulah baginda berdoa agar mereka turut serta.
Perlu diingatkan
bahawa Rasulullah dengan bimbingan wahyu yang diperolehinya tidak
sekali-kali melakukan perkara yang sia-sia. Sungguh amat jauh daripada
akal yang lurus dan logik yang sihat jika Rasulullah mendoakan ‘Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain dengan lafaz doa yang berasal dari ayat
yang ditujukan kepada mereka berempat – melainkan – ayat
tersebut sememangnya tidak ditujukan kepada mereka berempat lalu
Rasulullah berdoa dengannya agar mereka berempat termasuk sama.
Adapun pertanyaan
Umm Salamah: “Dan aku bersama mereka wahai Nabi Allah?”,
maka ia memiliki dua sebab tanpa yang ketiga:
1. Di
saat tersebut Umm Salamah tidak tahu berkenaan ayat 33 surah al-Ahzab
kerana ia baru sahaja diturunkan dan Rasulullah belum membacakannya
kepada beliau. Maka Umm Salamah bertanya dalam suasana beliau tidak
mengetahui keberadaan ayat 33 tersebut.
2. Jawapan
Rasulullah: Engkau tetap pada kedudukan engkau dan engkau selalu
dalam kebaikan bukanlah mengecualikan Umm Salamah daripada
ayat 33 surah al-Ahzab tetapi daripada doa baginda kepada ‘Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain. Bahkan di dalam jawapan Rasulullah sendiri
terkandung petunjuk bahawa baginda mengetahui Umm Salamah terdiri
daripada orang yang ditujukan oleh ayat 33 surah al-Ahzab.
Dalam sebahagian
kecil lafaz yang lain dari hadis yang sama, disebut bahawa Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam pada mulanya berdoa: “Ya
Allah! Mereka adalah Ahl al-Bait aku maka hilangkanlah dosa dari
mereka dan bersihkanlah mereka dengan sebersih-bersihnya”
kemudian barulah turun ayat 33 surah al-Ahzab. Perbezaan lafaz ini
tidak membawa apa-apa kesan positif kepada penghujahan Syi‘ah
kerana:
1. Riwayat
yang lebih terpelihara menerangkan bahawa ayat 33 surah al-Ahzab turun
dahulu kemudian diikuti dengan doa Rasulullah.
2. Sekalipun
Rasulullah sememangnya berdoa sebelum turunnya ayat, ia tetap tidak
memiliki apa-apa perbezaan kerana ayat 33 surah al-Ahzab yang turun
tidak bersifat menetapkan apa yang didoakan oleh baginda.
3. Doa
Rasulullah hanyalah merupakan satu doa dan tidak lebih dari itu.
Baginda mengharapkan agar ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain dibersihkan
daripada dosa dan disucikan. Paling tinggi doa tersebut mengharapkan
supaya mereka berempat menjadi golongan bertaqwa yang dihilangkan dosa
dan disucikan dengan sesuci-sucinya. Doa baginda tidak menetapkan
sifat maksum kepada mereka berempat.
Justeru tidak ada
beza sama sekali sama ada Rasulullah berdoa sebelum atau selepas
turunnya ayat 33 surah al-Ahzab kerana ia (ayat tersebut) dan doa
baginda tetap tidak bersifat menghapuskan dosa dan menyucikan
‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain, jauh sekali daripada menetapkan
sifat maksum kepada mereka berempat, radhiallahu ‘anhum.
Timbul soalan
seterusnya: Adakah doa Rasulullah dalam Hadis al-Kisa’
dimakbulkan oleh Allah sehingga ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain
menjadi manusia yang maksum sebagaimana dakwa Syi‘ah?
Jawapannya tidak.
Hal ini dibuktikan oleh sejarah di mana ‘Ali, Hasan dan Husain telah
berijtihad sebagai manusia biasa dalam menghadapi pelbagai cabaran dan
krisis pada zaman kehidupan mereka. Sebahagian daripada ijtihad mereka
benar dan sebahagian lagi salah sehingga akhirnya mereka gugur syahid
dan mendapat darjat yang mulia di sisi Allah.
Jawapan
Keempat:
Darjat dan maksud Hadis Seruan Bersolat Subuh.
Daripada
Anas bin Malik (radhiallahu ‘anh), bahawasanya Rasulullah sallallau
‘alaihi wasallam melintas di hadapan pintu (rumah) Fathimah
radhiallahu ‘anha selama enam bulan apabila keluar untuk pergi
bersolat Subuh. Baginda akan bersabda:
“Bersolatlah wahai Ahl al-Bait (kemudian membaca ayat 33 surah al-Ahzab):
Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu
wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”
Darjat Hadis Seruan Bersolat Subuh
Sekalipun hadis ini tercatit di dalam banyak
rujukan, ia tidak memiliki darjat yang sahih. Yang benar sanadnya
berdarjat dha‘if sekalipun dengan tiga jalan periwayatan yang
dimilikinya:
Jalan Periwayatan Pertama:
Dikeluarkan oleh
al-Thayalisi (الطيالسي)
di dalam al-Musnad – no: 2059 (Kitab isnad Anas bin Malik
al-Anshori, Bab ‘Ali bin Ziyad bin Jud‘an), Ibn Abi Syaibah di
dalam al-Musannaf – no: 32262 (Kitab Keutamaan, Bab apa yang
disebut berkenaan keutamaan Fathimah), ‘Abd bin Humaid (عبد
بن حميد)
di dalam al-Musnad – no: 1223 (Musnad Anas bin Malik),
Ahmad di dalam al-Musnad – no: 13728 & no: 14040 (Musnad
Anas bin Malik), al-Tirmizi di dalam al-Sunan – no: 3206
(Kitab tafsir, Bab tafsir surah al-Ahzab), Abu Ya’la di dalam
al-Musnad – no: 3978 (Musnad Anas bin Malik), Ibn Jarir al-Thabari
di dalam Jami’ al-Bayan – no: 21729 (tafsir ayat 33 surah
al-Ahzab), al-Thahawi di dalam Musykil al-Atsar – no: 784
(Bab penjelasan daripada Rasulullah berkenaan maksud ayat 33 surah
al-Ahzab), al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld.
3, ms. 56, no: 2671 & jld. 22, ms. 402, no: 1002, al-Hakim di dalam
al-Mustadrak – no: 4748 (Kitab Ma’rifah para sahabat, Bab
manaqib keluarga Rasulullah) dan al-Hafiz al-Haskani di dalam
Syawahid al-Tanzil li Qawa‘id al-Tafdhil – no: 637, 638, 639, 640,
641, 643, 644 & 773 (Asbab al-Nuzul no: 130).
Semuanya
dengan sanad yang berpangkal kepada ‘Ali bin Ziyad bin Jud‘an,
daripada Anas bin Malik. ‘Ali bin Ziyad bin Jud‘an Abu al-Hasan al-Quraisy,
berkata Ahmad bin Hanbal: Tidaklah dia kuat dan orang ramai
meriwayatkan daripadanya. Berkata Yahya bin Ma‘in dan Abu Zar‘ah:
Tidak boleh dijadikan hujah. Berkata Abi Hatim al-Razi: Tidaklah dia
kuat, ditulis hadisnya dan tidak boleh dijadikan hujah.
Jalan Periwayatan Kedua:
Dikeluarkan oleh
‘Abd bin Humaid di dalam al-Musnad – no: 475 (Bab Abu al-Hamra’
maula Nabi), Ibn Jarir al-Thabari di dalam Jami’ al-Bayan –
no: 21731 (tafsir ayat 33 surah al-Ahzab), al-Thahawi di dalam
Musykil al-Atsar – no: 785 (Bab penjelasan daripada
Rasulullah berkenaan maksud ayat 33 surah al-Ahzab), al-Thabarani
di dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 3, ms. 56, no: 2672 & jld.
22, ms. 200, no: 525, al-Tsa’labi di dalam al-Kasyf wa al-Bayan,
jld. 8, ms. 44 (tafsir ayat 33 surah al-Ahzab) dan al-Hafiz
al-Haskani di dalam Syawahid al-Tanzil – no: 694, 695, 696,
697, 698, 699, 701, 702, 703, 766, 771 & 772 (Asbab al-Nuzul no:
130).
Semuanya dengan
sanad yang berpangkal kepada Abu Daud, dia berkata aku mendengar Abi
al-Hamra’ radhiallahu ‘anh, dia berkata: Aku melihat
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam datang ke pintu (rumah)
Fathimah selama 6 bulan lalu baginda bersabda (dengan membaca ayat 33
surah al-Ahzab):
Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu
wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
Demikian mengikut lafaz al-Thabarani.
Abi
al-Hamra’, beliau ialah salah seorang budak kerja Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Abu Daud, nama sebenarnya ialah Nafi’
bin al-Harits al-Hamdani al-A’mi daripada Kufah, demikian terang Abu
Ja’far al-Thahawi dan al-Hafiz al-Haskani. Beliau ditinggalkan
hadisnya (matruk) manakala didustakan oleh Yahya bin Ma‘in.
Jalan Periwayatan Ketiga:
Dikeluarkan oleh
al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 8127 (Bab
yang bernama Musa), al-Tsa’labi di dalam al-Kasyf wa al-Bayan,
jld. 8, ms. 42 (tafsir ayat 33 surah al-Ahzab) dan al-Hafiz
al-Haskani di dalam Syawahid al-Tanzil – no: 665, 666, 667 &
668 (Asbab al-Nuzul no: 130).
Semuanya dengan
sanad yang berpangkal kepada ‘Athiyah, daripada Abu Sa‘id al-Khudri
radhiallahu ‘anh, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam datang ke pintu (rumah) ‘Ali selama 40 pagi dengan
mengucapkan salam: Assalamu‘alaikum Ahl al-Bait waRahmatullahi
waBarakatuh, bersolatlah semoga dirahmati Allah
(kemudian baginda membaca ayat 33
surah al-Ahzab):
Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu
wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
‘Athiyah,
beliau ialah ‘Athiyah bin Sa‘ad Abu al-Hasan al-‘Aufiy, seorang
Syi‘ah daripada Kufah. Beliau dihukum dha‘if oleh Hisyam,
Yahya bin Sa‘id al-Qathan, Ahmad bin Hanbal, Sufyan al-Tsauri, Abu
Zar‘ah al-Razi, Ibn Ma‘in, Abu Hatim al-Razi, al-Nasa’i, al-Jauzajani,
Ibn ‘Adiy, Abu Daud, Ibn Hibban, al-Daruquthni dan lain-lain lagi.
Selain itu beliau masyhur dengan sifat tadlis yang amat buruk.
Demikianlah
takhrij hadis atau semakan hadis berdasarkan sumbernya yang asal.
Ia memiliki tiga jalan periwayatan dengan yang pertama memiliki
kecacatan yang sederhana. Akan tetapi jalan yang kedua dan ketiga
memiliki kecacatan yang berat sehingga tidak boleh dijadikan penguat
untuk jalan periwayatan yang pertama. Justeru darjat sanad hadis
ini adalah dha‘if.
Maksud Hadis Seruan Bersolat Subuh
Jika sebelum ini
kita telah saksikan keajaiban Syi‘ah menggunakan Hadis al-Kisa’
sebagai hujah, kini kita akan saksikan keajaiban kedua pula. Ini
kerana, sebagaimana Hadis al-Kisa’, Hadis Seruan Bersolat Subuh
juga adalah sebaik-baik dalil bagi menolak dakwaan Syi‘ah
bahawa ayat 33 surah al-Ahzab turun untuk ‘Ali, Fathimah, Hasan dan
Husain radhiallahu ‘anhum. Bahkan ia juga menjadi dalil bahawa
ayat 33 tersebut tidak menetapkan sifat maksum kepada mereka berempat.
Sebabnya:
1. Istilah
Ahl al-Bait, sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini
dalam Perbahasan Kedua, boleh merujuk kepada keluarga ikatan
pernikahan atau keluarga ikatan nasab. Baginda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah berdiri di hadapan
pintu rumah ‘A‘isyah (عائشة)
radhiallahu ‘anha dan memanggil beliau dengan gelaran Ahl
al-Bait:
……maka
keluarlah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menuju ke bilik (rumah)
‘A’isyah dan bersabda:
“Assalamu‘alaikum Ahl al-Bait waRahmatullah!” ‘A’isyah menjawab: “Wa
‘alaika salam waRahmatullah!”……
Oleh itu tindakan
Rasulullah menyeru ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain dengan gelaran
Ahl al-Bait bukanlah kerana mereka telah dikhususkan oleh ayat 33
surah al-Ahzab tetapi kerana mereka pada asalnya tergolong di dalam
keumuman istilah Ahl al-Bait.
2. Penggunaan
ayat 33 surah al-Ahzab oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
adalah kerana keinginan baginda agar ‘Ali, Fathimah, Hasan dan
Husain radhiallahu ‘anhum tergolong sama dalam tujuan ayat,
iaitu agar dihapuskan dosa dan dibersihkan daripada pengaruhnya. Maka
kerana itu baginda mendahuluinya dengan perintah untuk bangun
menunaikan solat Subuh. Sama-sama kita ketahui daripada beberapa hadis
sahih yang lain bahawa satu solat fardhu ke solat fardhu yang lain
menghapuskan dosa di antaranya dan membersihkan pengamalnya daripada
pengaruh dosa umpama seorang yang mandi lima kali sehari.
3. Hadis
di atas membatalkan dakwaan Syi‘ah bahawa ayat 33 surah al-Ahzab
menetapkan sifat maksum kepada 'Ali, Fathimah, Hasan dan Husain
radhiallahu ‘anhum. Sebabnya, adalah mustahil seorang yang
dinobatkan sifat maksum, khalifah umat dan sumber rujukan syari‘at
tidak dapat bangun pagi dengan sendirinya untuk menunaikan solat Subuh
selama beberapa bulan berturut-turut.
4. Di
sisi Ahl al-Sunnah, hadis ini menunjukkan bahawa ‘Ali, Fathimah,
Hasan dan Husain adalah manusia biasa yang terkadang lewat untuk
bangun menunaikan solat Subuh, berbeza dengan Muhammad sebagai seorang
Rasul Allah yang maksum, khalifah umat dan sumber rujukan syari‘at,
baginda sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menunaikan solat
Subuh.
Kesimpulannya,
Hadis Seruan Bersolat Subuh dari sudut darjat, ia memiliki sanad yang
dha‘if manakala dari sudut maksud, ia membelakangi bahkan membatalkan
hujah yang cuba ditegakkan oleh Syi‘ah daripadanya.
Jawapan
Kelima:
Darjat dan maksud Hadis Abu Sa‘id al-Khudri.
Diriwayatkan
daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum bahawa beliau
berkata:
Diturunkan
ayat ini kepada lima orang: “Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud
hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak
membersihkan kamu sebersih-bersihnya” , iaitu Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam, ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain (radhiallahu ‘anhum).
Darjat Hadis Abu Sa‘id al-Khudri.
Hadis ini
dikeluarkan oleh al-Bazzar sebagaimana takhrij al-Haitsami di
dalam Majma’ al-Zawa‘id – no: 14976 (Kitab Manaqib, Bab ke
14) (Lihat Musnad al-Bazaar – no: 2611 sebagaimana di
catitan notakaki), Ibn Jarir al-Thabari di dalam Jami’ al-Bayan
– no: 21727, al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Shagheir, jld.
1, ms. 135 (Bab al-Ha’, yang bernama al-Hasan), al-Mu’jam
al-Ausath – no: 3456 (Bab yang bernama al-Hasan) & al-Mu’jam
al-Kabir, jld. 3, ms. 56, no: 2673 dan al-Hafiz al-Haskani di
dalam Syawahid al-Tanzil – no: 660, 661, 662, 663, 664, 767,
769, 770 & 774 (Asbab al-Nuzul no: 130). Ibn Abi Hatim
menyebutnya di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim Musnadan ‘an
Rasulullah wa al-Shahabah wa al-Tabi‘in – no: 17673 dari Abu Sa‘id
tanpa sanad.
Di atas dengan
lafaz al-Thabarani di dalam al-Kabir. Diperselisihkan riwayat
ini sama ada marfu’ (sabda Rasulullah) atau mauquf (kata-kata
Abu Sa‘id sendiri). Namun hal ini tidak menjadi masalah kerana semua
jalan periwayatan di atas berpangkal kepada ‘Athiyah, daripada Abu
Sa‘id al-Khudri. ‘Athiyah, beliau ialah ‘Athiyah bin Sa‘ad Abu al-Hasan
al-‘Aufiy, seorang Syi‘ah daripada Kufah. Beliau dihukum dha‘if
oleh Hisyam, Yahya bin Sa‘id al-Qathan, Ahmad
bin Hanbal, Sufyan al-Tsauri, Abu Zar‘ah al-Razi, Ibn Ma‘in, Abu Hatim
al-Razi, al-Nasa’i, al-Jauzajani, Ibn ‘Adiy, Abu Daud, Ibn Hibban, al-Daruquthni
dan lain-lain lagi. Selain itu beliau masyhur dengan sifat tadlis
yang amat buruk.
Berdasarkan
kecacatan di atas, hadis ini ditolak bukan sahaja kerana kedha‘ifan
dan sifat tadlis ‘Athiyah, tetapi juga kerana di sisi disiplin
hadis Ahl al-Sunnah, riwayat yang dibawa oleh seorang Syi‘ah
demi kepentingan mazhabnya adalah tertolak.
al-Hafiz al-Haskani
mengeluarkan riwayat yang seumpama daripada Ibn ‘Abbas (no: 700) dan
Umm Salamah (no: 756) tetapi dengan sanad yang tidak penulis temui
status al-Jarh wa al-Ta’dil bagi para perawinya.
Maksud Hadis Abu Sa‘id al-Khudri.
Hadis ini
memiliki maksud yang tertolak. Ini kerana apabila ia memasukkan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ke dalam cakupan ayat
33 surah al-Ahzab, ia bererti Rasulullah sendiri pada asalnya
merupakan seorang yang berdosa dan tercemar dengan kotorannya. Ini
jelas ditolak oleh iktikad yang tulen, nas yang sahih dan pengetahuan
yang benar.
Alhamdulillah,
selesailah perbahasan kita dalam menjawab dan menolak hujah-hujah
Syi‘ah ke atas Ayat al-Tath-hir. Terbuktikan bahawa semua
penghujahan Syi‘ah tidak ada yang benar. Bahkan sebahagian
“petunjuk” yang mereka gunakan sebagai penguat hujah sebenarnya
bertindak untuk membatalkan hujah itu sendiri. Insya-Allah seterusnya
kita beralih kepada ayat yang kedua terpenting dalam Mazhab Syi‘ah,
iaitu Ayat al-Wilayah.
Kesimpulan
mudah kepada para pembaca:
-
Sekalipun
ayat 33 surah al-Ahzab mencakupi ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain,
ia tetap tidak memberi mereka status maksum untuk dinobatkan sebagai
khalifah umat Islam dan sumber rujukan syari‘at selepas kewafatan
Rasulullah.
Kedua: Ayat al-Wilayah