FAHAMAN WAHABI MENULAR

SATU ANALISIS TERHADAP DAKWAAN YANG DITIMBULKAN OLEH

AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

 

Penulis

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 

 

PENDAHULUAN[1]

 

 

Sebahagian orang menganggap bahawa isu bid’ah adalah merupakan suatu isu yang remeh dan tidak perlu dibincangkan. Anggapan dan kepercayaan sebegini yang dikongsi oleh sebahagian besar ahli agama di negara kita membawa kepada sikap tidak ambil berat dan enggan ambil peduli terhadap persoalan bid’ah.

Bagi menghangatkan perbincangan ada baiknya jika tiga hadis sahih ini kita renungi bersama dengan semangat ingin mengambil peringatan dan pengajaran dan bukannya hendak menegakkan fahaman atau ideoloji tertentu yang telah berakar-umbi dalam hati dan sanubari seseorang. Hadis-hadis tersebut adalah seperti berikut:

 

1)    ‘Umar Al Khattab radhiallahu 'anh pernah mendatangi Hajar al-Aswad lalu menciumnya sambil berkata:

 

إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ لاَ تَضُرُّ وَلاَ تَنْفَعُ

 

وَلَوْلاَ أَنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ.

 

Sesungguhnya aku tahu bahawa engkau batu yang tidak memudaratkan dan tidak pula memberi manfaat. Dan kalaulah tidak kerana melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah menciummu nescaya aku tidak akan menciummu.[2]

 

2)    Seorang wanita pernah berkata kepada ‘Aeeshah radhiallahu 'anha:

 

"أَتَجْزِي إِحْدَانَا صَلاَتَهَا إِذَا طَهُرَتْ؟" فَقَالَتْ: "أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ؟"

 

كُنَّا نَحِيضُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلاَ يَأْمُرُنَا بِهِ."

 

“Adakah seseorang daripada kami perlu mengqadha solatnya bila dia suci (daripada haidh)?” Maka ‘Aeeshah radhiallahu 'anha berkata: “Adakah engkau dari golongan Haruriyyah (golongan Khawaarij)? Kami biasa didatangi haidh pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam namun Baginda shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah memerintahkan kami dengannya (mengqadha solat selepas suci).”[3]

 

3)    Diriwayatkan dari Naafi’:

 

أَنَّ رَجُلًا عَطَسَ إِلَى جَنْبِ ابْنِ عُمَرَ فَقَال:َ "الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ."

 

قَالَ ابْنُ عُمَرَ: "وَأَنَا أَقُولُ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَلَيْسَ هَكَذَا

 

عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَنَا أَنْ نَقُولَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ."

 

Seorang lelaki telah bersin di sisi Ibn ‘Umar radhiallahu 'anh lalu berkata: “Alhamdulillah Wassalam ‘ala Rasuulillah.” Ibn ‘Umar lantas berkata: Aku juga ada berkata, ‘Alhamdulillah Wassalam ‘ala Rasulillah’ (Akan tetapi) bukan begitu yang diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alahi wasallam kepada kami (selepas bersin). Baginda shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kami agar menyebut: Alhamdulillah ‘ala kulli haal.”[4]

 

Daripada hadis-hadis di atas terang dan jelaslah kepada kita bagaimana sikap para sahabat yang tidak akan melakukan sesuatu jika tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Malah apabila bacaan zikir yang dibaca tidak sama dengan zikir Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam keadaan tertentu pun nescaya akan ditegur oleh sahabat baginda shallallahu 'alaihi wasallam. Begitulah sikap golongan yang mendapat tarbiyyah langsung daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri. Berbeza sekali dengan telatah ramai guru-guru agama di negara kita yang apabila dipersoalkan tentang kenapa meninggalkan zikir-zikir amalan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam selepas solat dan beramal dengan zikir-zikir  yang tidak dapat ditentukan asal-usulnya dalam sunnah maka mereka akan menjawab, “Apa salahnya. Sekurang-kurangnya aku berzikir bukannya aku buat maksiat.” Begitu bertentangan sekali sikap kita dengan sikap para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam isu bid’ah.

Akibat daripada sikap sebeginilah agama Nasrani dan Yahudi telah hilang unsur-unsur keaslian dalam ajaran agama mereka. Tokoh-tokoh agama Nasrani telah memperkenalkan pelbagai bid’ah dalam agama mereka sehingga pada hari ini kita dengan yakin boleh mengatakan bahawa agama yang mereka anuti tidak sama dengan agama anutan Nabi ‘Isa ‘alahi al-Salam. Amalan penjualan surat ‘indulgences’ yang kononnya menghapuskan dosa para pengikut ajaran Nasrani merupakan contoh jelas tokok-tambah ahli agama Nasrani dalam urusan agama sehingga masyarakat kian lama kian hilang kepercayaan kepada agama mereka.

 Di dalam masyarakat Melayu pula sekarang kita lihat budaya mengupah orang bertahlil dan membaca al-Qur’an untuk orang mati semakin bermaharajalela di kalangan manusia yang menjual agama dengan harga yang murah. Walaupun hujjah demi hujjah diajukan kepada mereka ia bagaikan menyiram air ke atas daun keladi. Bilakah Imam al-Nawawi serta al-Raafi’iy, dua tokoh penentu qawl mu’tamad dalam mazhab Syafi’iyy menggalakkan mengambil upah untuk bertahlil dan membaca al-Qur’an atas orang mati? Mengapakah ajaran Imam Shafi’iy serta tokoh-tokoh besar mazhab Syafi’iy dibuang ke dalam tong sampah semata-mata kerana tidak cocok dengan kehendak dan selera nafsu si pelaku bid’ah? Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah melarang kita mengikut jejak-langkah Yahudi dan Nasrani. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah menyebut perumpamaan mengikuti golongan sesat dan dimurkai itu dalam hadis tentang lubang biawak yang begitu terkenal[5]. Apakah kita tidak pernah terfikir bahawa budaya mereka-reka bid’ah ini merupakan kesinambungan budaya masayarakat Yahudi dan Nasrani yang dimurkai Allah ?

Bid’ah merupakan ibu perpecahan di kalangan ummat Islam. Di atas dasar itulah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh agar pelaku bid’ah diperangi. Dalam sebuah hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللَّهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلاَ كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ.

 

ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لاَ يَفْعَلُونَ وَيَفْعَلُونَ مَا لاَ يُؤْمَرُونَ.

 

فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ

 

فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنْ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

 

Tiada seorang Nabi pun yang diutus oleh Allah pada suatu ummat sebelumku melainkan ada dari ummatnya penolong-penolong dan sahabat-sahabat yang mengambil sunnahnya dan mengikuti perintahnya. Kemudian mereka diganti oleh pengganti yang bercakap tidak seperti apa yang diperbuatnya dan berbuat dengan apa yang tidak diperintahkan (bid’ah). Barangsiapa yang berjihad kepada mereka dengan tangannya maka dia beriman dan barangsiapa yang memerangi mereka dengan lidahnya maka dia beriman dan barangsiapa yang memerangi mereka dengan hatinya maka dia beriman dan tiadalah selepas itu keimanan walau sebesar biji sawi.”[6]

 

Kaji dan lihatlah pemikiran firqah-firqah sesat di dalam Islam semenjak kurun-kurun awal lagi! Persamaan yang begitu jelas di antara mereka ialah kecenderungan untuk mencipta bid’ah terutamanya dalam soal ‘aqiidah.

Terjerumusnya seseorang ke dalam bid’ah merupakan langkah-langkah terawal yang boleh menolak seseorang ke dalam lembah kesesatan yang gelap dan tidak berpenghujung. Tidaklah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengaitkan bid’ah dengan kesesatan melainkan kerana hikmah yang begitu dalam dan tersembunyi. Sebagaimana berlebih-lebihan dalam memuja Nabi dan orang saleh telah menyesatkan kaum Nuh, pengikut agama Nasrani, dan pengikut agama Yahudi, maka begitu ramai penganut agama Islam dari kalangan ummat Muhammad shallallahu ‘alahi wasallam juga yang telah menempuh kesesatan yang sama.

 Sesetengah kaum sufi di Negara kita menggalakkan agar kubur-kubur orang saleh dijadikan tempat meminta hajat. Di dalam televisyen kadang-kadang terdapat program yang menyeru secara tidak langsung ke arah mengagungkan kubur orang-orang saleh dan si wartawan tersebut setiap kali mengunjungi kubur maka dia akan berdoa meminta hajat di sisi kubur tersebut. Bilakah Nabi shallallahu ‘alahi wasallam menyuruh kita meminta hajat daripada orang-orang mati? Kalaulah meminta daripada orang-orang mati merupakan salah satu cara termakbulnya doa tentulah para sahabat akan berebut-berebut berdoa meminta kepada Nabi shallallahu ‘alahi wasallam setelah baginda wafat. Dan tidak perlulah para sahabat berselisih pendapat dalam pelantikan khalifah jika benar Nabi Muhammad shallallahu ‘alahi wasallam dan Khidir ‘alaihi al-Salam boleh kembali memberi petunjuk sama ada dalam mimpi atau jaga kepada ummatnya seperti dakwaan sesetengah ekstrimis sufi seperti golongan al-Arqam.

Suatu perkara ajaib dan sangat menghairankan kita terhadap sebahagian besar masyarakat ialah sikap mereka yang suka menanggung risiko yang tidak perlu ditanggung. Setiap pelaku bid’ah dibebankan dengan suatu kemungkinan bahawa amalan mereka mungkin ditolak dan tidak diterima oleh Allah. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang telah mengaitkan perbuatan bid’ah dengan tidak diterimanya amal.[7] Wujud di antara mereka yang mengatakan bahawa bid’ah ada yang hasanah lalu berdalil dengan perbuatan seorang sahabat yang solat dua rakaat sebelum beliau dibunuh.[8] Maka jawab kita kepada mereka  adalah bahawa perbuatan ini berlaku sebelum penurunan ayat 3 suurah Al Maa’idah dan tindakan tersebut mendapat pengakuan (taqriir) dari Nabi shallallahu ‘alahi wasallam. Ini berbeza dengan banyak bid’ah di dalam masyarakat yang tidak pernah mendapat pengiktirafan daripada Nabi shallallahu ‘alahi wasallam akan kesahihannya. Bagaimanakah mungkin bagi golongan yang mencipta bid’ah lebih seribu tahun selepas kewafatan Nabi shallallahu ‘alahi wasallam boleh mengatakan dengan pasti bahawa amalan mereka itu akan diterima sedangkan orang yang beramal mengikut sunnah pun belum pasti penerimaannya di sisi Allah? Tidakkah golongan ini mahu mengambil i’tibaar  daripada  kata-kata Nabi shallallahu ‘alahi wasallam:

 

إن الله حجب التوبة عن صاحب كل بدعة.

 

Sesungguhnya Allah menghalang taubat dari pelaku bid’ah.[9]  

 

Salah seorang tokoh besar mazhab Syafi’iyy iaitu Al Imaam al-Nawawi rahimahullah pernah menyebut dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim bahawa telah ijmaa’ para ahli ilmu di kalangan ahli hadis, ahli fikah, dan ahli usuul bahawa ahli bid’ah yang bid’ahnya membawa kepada kekufuran tidak diterima kesaksiannya dan periwayatannya. Seterusnya beliau menyebut bahawa para ahli ilmu berselisih pendapat sama ada ahli bid’ah yang bid’ahnya tidak membawa kepada kekufuran diterima riwayatnya atau tidak lantas mengunggulkan pendapat yang mengatakan bahawa riwayatnya diterima jika dia tidak mengajak orang kepada bid’ahnya.[10] Di satu ceruk tokoh mazhab Syafi’iyy ini telah membincangkan sama ada terpakai atau tidak ilmu dari ahli bid’ah tetapi di satu ceruk lain mereka yang mendakwa bermazhab Syafi’iyy di negara kita langsung tidak pernah jemu-jemu mengambil ilmu dari para tokoh bid’ah terutamanya apabila berpeluang melanjutkan pelajaran ke sesetengah negara yang memang terkenal dengan pelbagai bid’ahnya. Mengapakah ilmu dari para pendukung bid’ah diambil dan ilmu para ‘Ulama’ Ahlus Sunnah seperti Imam Ash-Shafi’ee dipinggirkan begitu sahaja? Di manakah kewarasan kita?

Di antara kekejian bid’ah ialah ia menjadikan para pengamalnya suka menyembunyikan kebenaran dan sanggup berbohong asalkan hakikat bid’ahnya tidak diketahui. Terdapat seorang penulis bernama Mustaffa Suhaimi yang cukup memusuhi Ibnu Taimiyyah dan telah menulis buku bertajuk Solat Rasulullah lalu menyertakan di dalamnya amalan melafazkan niat sebelum setiap solat. Wahai saudara penulis! Di manakah di dalam kitab-kitab hadis disebutkan bahawa Nabi shallallahu ‘alahi wasallam pernah melafazkan niat sebelum solat? Di manakah dalam kitab-kitab athar menyebutkan bahawa para sahabat pernah melafazkan niat sebelum solat ataupun Imam Ash-Shafi’ee pernah melakukannya? Bertaqwalah kepada Allah! Sekiranya ingin mengerjakan amalan bid’ah janganlah sehingga berani menyatakan Nabi shallallahu ‘alahi wasallam juga mengamalkannya! Siapakah yang akan membela anda di hari akhirat kelak setelah anda berdusta di atas nama Nabi shallallahu ‘alahi wasallam?

Banyak di antara amalan bid’ah yang dicipta kononnya untuk membawa kebaikan-kebaikan tertentu kepada si pengamalnya. Tetapi di sinilah terletaknya antara kesalahan besar si pelaku bid’ah apabila tidak dapat membezakan antara bid’ah dengan masaalih al mursalah. Memahami masaalih al mursalah membawa kepada tindakan seperti mengumpulkan al-Qur’an yang berlangsung di zaman para sahabat. Berlakunya pengumpulan al-Qur’an adalah kerana para penghafaz al-Qur’an telah ramai terbunuh dan pengumpulan al-Qur’an memang merupakan cara yang paling praktikal dan berkesan untuk memeliharanya. Tambahan pula pada zaman tersebut tidak terdapat kaedah lain yang lebih efektif dalam menangani persoalan tersebut pada mata para sahabat.

Ini cukup berbeza dengan rekaan melafazkan niat sebelum solat, puasa serta ibadat-ibadat lain. Di manakah kebaikannya? Apa yang jelas hanyalah keburukannya. Keburukannya termasuk menyusahkan pelajar yang terpaksa menghafal pelbagai jenis lafaz niat dalam bahasa yang tidak difahami, mencipta golongan was-was yang memenuhi setiap masjid di negara kita, mengganggu orang di sebelah yang sedang solat, membuang masa mengajar pelbagai lafaz niat serta menyebabkan ramai orang meninggalkan pelbagai ibadat seperti solat janazah kerana tidak tahu lafaz niat solat tersebut. Bilakah golongan yang mengajar lafaz niat akan sedar bahawa Nabi shallallahu ‘alahi wasallam, para sahabat serta Imam Shafi’ee sendiri tidak pernah melafazkan niat sebelum solat?

Tidak ada kesan yang begitu menyedihkan bagi pencinta sunnah lebih daripada melihat bagaimana bid’ah telah meresapi seluruh lapisan masyarakat sehingga sunnah banyak yang telah dimatikan oleh para penegak bid’ah. Lihat sahaja amalan para imam di negara kita yang selepas solat terus sahaja mahu berdoa beramai-ramai tanpa mengamalkan zikir yang diajar oleh Nabi shallallahu ‘alahi wasallam. Ramai pula yang selepas solat mengamalkan membaca ‘Alhamdulillah allazhi lam yattakhizh walada….’ lalu meninggalkan hadis-hadis sahih tentang apa yang dibaca oleh Nabi shallallahu ‘alahi wasallam sejurus selepas salam. Tidak dinafikan bahawa terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tabraniyy dalam hal ini namun hadis tersebut adalah berstatus dha’eef.[11] Lagipun keadaan hadis tersebut tidak terdapat dalam sembilan kitab-kitab hadis utama malah As-Suyuti tidak memasukkannya dalam Al Jaami’ mahupun Ad Durr Al Manthuur menunjukkan betapa terpencilnya hadis ini. Mengapakah Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Nasa’ii, Sunan Abu Dawuud,  Sunan al-Tirmizhiyy dan Sunan Ibn Maajah tidak dijadikan rujukan utama dalam hal ini? Renungkanlah wahai pemilik hati dan akal yang mahu merenung!

‘Abdullah Al Qasimiyy, seorang pemikir dari Arab Saudi yang pernah belajar di al-Azhar ada menyebutkan suatu perbincangan di antaranya dengan salah seorang Syaikh di al-Azhar di mana Syaikh tersebut menyatakan bahawa di antara cara-cara membezakan bid’ah hasanah daripada bid’ah dholalaalah ialah dengan tiga sifat iaitu:[12]

 

1)    Bid’ah hasanah harus dari segi agama manakala bid’ah qabiihah (sayyi’ah) tidak.

2)    Bid’ah yang harus adalah hasanah dan yang dilarang adalah sayyi’ah.

3)    Bid’ah hasanah tidak ada kemudaratan di dalamnya berbeza dengan bid’ah sayyi’ah.

 

Bagi menjawab persoalan ini kita kemukakan beberapa persoalan senang tentang hukum solat zuhur lima raka’at, solat maghrib empat raka’at serta berpuasa Ramadhan di bulan Sya’ban kerana takut tidak sempat mendapatkan bulan Ramadhan. Di manakah larangan di dalam agama terhadap 3 perbuatan ini dan di manakah mudharatnya dalam agama ataupun dunia bagi orang yang melakukannya? Inilah persoalan terbesar yang tidak mampu dijawab oleh seorang tokoh al-Azhar dan tidak akan mampu ditangani oleh mana-mana tokoh pro bid’ah hasanah. Oleh sebab itulah zaman-berzaman tokoh-tokoh pro bid’ah hasanah sentiasa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan di antara seorang dengan yang lain. Beberapa contohnya adalah seperti berikut:

  1. Al-Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdussalam, tokoh paling terkenal menyokong istilah bid’ah hasanah mengatakan dalam fatawanya ms. 392 bahawa tidak disunnahkan mengangkat tangan semasa doa qunut, menyapu wajah selepas berdoa merupakan perbuatan orang jahil dan melarang berselawat ke atas Nabi shallallahu ‘alahi wasallam dalam qunut. Beliau juga mengatakan bahawa Solat al-Raghaa’ib merupakan bid’ah. Ini bertentangan dengan pendapat Ibn Solaah, Abu Talib al-Makki dalam Quut al-Quluub[13] serta Imam Al Ghazzali dalam Ihya’.[14]

     

  2. Imam An Nawawi menyebut di dalam Al Majmuu’: “Berkata Syaikh Abu Muhammad al-Juwaini: Aku melihat manusia setelah selesai melakukan sa’ee mereka solat dua raka’at di atas Marwah. Dia berkata: Ini baik dan penambahan dalam taat namun perbuatan demikian itu tidak thaabit dari Rasulillah shallallahu ‘alahi wasallam. Demikianlah perkataan Abu Muhammad!”[15]

     

  3. Imam As Suyuti yang juga merupakan salah seorang tokoh besar mazhab Syafi’iyy melarang solat di atas masjid yang dibina di atas qubur dan mengingkari perbuatan melafazkan niat sebelum solat walaupun beliau mengatakan bahawa bid’ah hasanah wujud[16].

     

  4. Syaikh Mutawalli Ash-Sha’raawi, tokoh tafsir Mesir mengingkari perbuatan mengangkat suara dalam berselawat selepas azan (Al Fatawa ms. 487).[17]

     

  5. Syaikh Hasanaain Muhammad Makhluuf, bekas Mufti Mesir pula mengatakan bahawa tidak mengapa meninggikan suara dalam berselawat selepas azan bagi para mu’azzhin. Walaubagaimanapun ketika ditanya tentang hukum solat shukur maka beliau menjawab: “Tidak warid nas dalam Al Qur’an mahupun al-Sunnah yang menunjukkan bahawa solat ini disyari’atkan secara individu atau berjama’ah. Dan urusan ibadah terhad kepada apa yang warid daripada Ash-Shaari’ (Allah Subhanahu wa Ta'ala) dan tidak boleh menggunakan qiyaas atau pendapat, dan sesungguhnya apa yang ma’thur dari Nabi shallallahu ‘alahi wasallam adalah sujuud kepada Allah sebagai tanda syukur apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakannya …”[18]

Dari apa yang telah disenaraikan di atas maka jelas bahawa tokoh-tokoh yang mengatakan wujud bid’ah hasanah tidak dapat menggariskan suatu panduan tentang cara membezakan bid’ah hasanah dengan bid’ah sayyi’ah. Mereka sentiasa mengeluarkan pendapat yang bertentangan di antara satu sama lain lantaran mengeluarkan pendapat yang membolehkan bid’ah hasanah. Kita tidak berniat mendedahkan kelemahan mereka namun sebagai manusia yang tidak maksum alangkah baiknya jika kita tidak berpegang dengan buah fikiran yang bertentangan dengan hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alahi wasallam yang terang bagaikan matahari.

Sebagai penutup marilah kita merenung sebuah hadis di mana Nabi shallallahu ‘alahi wasallam bersabda:

 

لَيَرِدَنَّ عَلَيَّ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِي الْحَوْضَ حَتَّى عَرَفْتُهُمْ اخْتُلِجُوا دُونِي فَأَقُولُ: "أَصْحَابِي!"

 

فَيَقُولُ: "لاَ تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ."

 

Sebahagian dari sahabatku akan datang kepadaku di al-Haudh (kolam Nabi shallallahu ‘alahi wasallam) dan selepas aku mengenali mereka, mereka akan dibawa dariku lalu aku berkata: “Sahabat-sahabatku!” Maka akan dikatakan (kepadaku), “Engkau tidak tahu apakah yang telah mereka cipta (dalam agama) selepas kewafatanmu.”[19]

Marilah kita sedaya-upaya beramal dengan hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alahi wasallam serta athar para sahabat yang mengharamkan bid’ah dalam agama. Berhentilah mencari pelbagai alasan untuk menghalalkan bid’ah[20].  Mudah-mudahan kita tidak menyesal di hari penyesalan kelak.

 

 


 

[1] Kata pendahuluan ini adalah hasil karangan saudara Muhammad Imran Ahmad.

[2] Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam Kitaab Al Hajj dan lafaz hadis adalah lafaz Bukhari.

[3] Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam Kitaab Al Haidh dan lafaz hadis adalah lafaz al-Bukhari.  

[4] Sahih. Riwayat al-Tirmizhi no: 2738 dan Riwayat al-Haakim dalam al-mustadrak jld 4, Kitab al-Adab, no 265 dan lafaz ini adalah bagi al-Tirmizhi.

[5] Riwayat al-Bukhari dalam Kitaab Al Anbiyaa’ dan Riwayat Muslim dalam Kitab Al  ‘Ilm.

[6] Riwayat Muslim dalam Kitaab al Iman.

[7] Riwayat al-Bukhari dalam Kitaab Al I’tisom Bi Al Kitaab wa As Sunnah dan Riwayat Muslim dalam Kitaab Al Aqdiyyah

[8] Riwayat al-Bukhari dalam Kitaab Al Jihaad wa As Siyar

[9] Riwayat Al-Tabraniy dalam Mu’jam Al Awsat no: 4713. Dan berkata Al Haithamiyy dalam Majma’ Az Zawaa’id  jld 10, Kitaab At Tawbah : Rijaalnya merupakan rijaal as sahih kecuali Harun bin Musa yang thiqah. Al-Albaani mensahihkan isnadnya dalam Sahih At Targhiib no: 54 dan Kitaab As Sunnah no: 37.

[10] Al-Imaam Al-Nawawi , Syarah Sahih Muslim, Jilid 1, ms. 176.

[11] Diriwayatkan oleh Al-Tabraaniyy dalam Kitaab Ad Du’aa. Punca kedha’eefan hadis adalah kerana dua sebab iaitu ‘an‘anah Ibnu Ishaaq serta status perawi al-Salams ini yang tidak diketahui keadaannya. (‘An‘anah bermaksud hadis diriwayatkan menggunakan kalimah ‘an dan ini merupakan kaedah yang sangat rendah dalam periwayatan hadis) Lihat Silsilah Ad Dha’eefah no: 6317.

[12] Seperti yang dinukil oleh Abu Mu’aazh al-Salafi dalam  al-Baraahin ms. 20 dari kitab Shuyuukh al-Azhar wa al-Ziyaadah fi al-Diin ms. 20-21.

[13] Ibid ms. 22

[14] Ihyaa’ ‘Uluum al-Diin, Jilid 1, Asraar al-Solaah, Bab 7, Bahagian 3

[15] Al-Majmuu’ Sharh Al-Muhazzhab, jilid 8, ms. 38

[16] Seperti yang dinukil oleh Abu Mu’aazh al-Salafi dalam al-Baraahin ms. 24 dari kitab al-Amr bi al-Ittiba’ Wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ oleh al-Suyuti ms. 134 dan 295.

[17] ibid ms. 24.

[18] Seperti yang dinukil oleh Abu Mu’aazh al-Salafi dalam al-Baraahin ms. 25 dari Fatawa Shar’iyyah wa Buhuuth Islamiyyah karangan Hasanain Muhammad Makhluuf.

[19] Riwayat al-Bukhari dalam Kitaab al-Riqaaq dan Riwayat Muslim dalam Kitaab al-Fadhaa’il.

[20] Nabi shallallahu ‘alahi wasallam bersabda dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang mafhumnya: “Apa-apa yang telah aku larang kamu akannya maka jauhilah dan apa-apa yang telah kuperintahkan akannya maka lakukanlah sedaya-upaya kamu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kamu kerana terlalu banyak bertanya dan suka berselisih-pendapat dengan Nabi-nabi mereka.”